BAB 3

13.4K 32 0
                                    


Kipas yang berpusing laju ditenung lama. Sesak dadanya teringatkan sikap Raina. Masih terbayang-bayang lagi dia memukul belakang anaknya siang tadi. Dia juga tidak sampai hati namun Raina yang degil. Sudah diingatkan supaya Raina berhenti bertemu dengan Aznor namun masih juga Raina ingkar.

Kalau setakat berjumpa di tempat ramai orang tidaklah dia kisah mana tetapi bertemu di kebun pisang, penyudahnya ditangkap orang kampung sedang berdua-duaan. Apa lagi, melentinglah dia bila orang mengheret anak daranya ke laman rumah. Malu mukanya ini, tidak tahu lagi hendak diletak mana. Kalau sebelum ini orang sudah menyindir-nyindir perangai Raina, entah selepas ini apa pula kata nista yang ditempek ke mukanya nanti.

"Huh..." keluhnya tanpa sedar.

Norita yang masih tidur-tidur ayam buka matanya. Dia pun tidak dapat tidur dek peristiwa siang tadi dan apabila mendengar keluhan suaminya, dia berpaling menghadap suaminya.

"Nak dibuat macam mana lagi anak kita tu bang?" Soalnya seolah-olah orang yang berputus asa. Dia tahu perkara itu jugalah yang membuatkan suaminya masih tidak tidur. Selalunya waktu begitu, suaminya sudah berdengkur tidak sedarkan diri.

Borhan masih merenung kipas yang berputar perlahan. Dia dari tadi memikirkan hal itu sebenarnya. Dia sudah menimbang tara tindakannya. Dan dia sudah membuat keputusan nekad.

"Abang nak nikahkan dia dengan Haji Meon." Borhan tenang. Memang dia pernah terfikirkan hal itu sebelum ini. Malah pernah menggertak Raina.

Norita yang terkejut angkat sedikit tubuhnya dan memandang tepat ke wajah suaminya. Entahkan lawak, entahkan serius suaminya ini. Tapi tak mungkin pula lewat-lewat malam begitu masih mahu berseloroh. Kan tidak kena masanya.

"Abang serius?"

"Saya ada nampak macam main-main ke?" Soalan berbalas soalan pula.

"Eh, takkan la abang serius, Haji Meon tu dah dekat sebaya umur abang. Takkan la nak dibuat menantu." Norita rebahkan kembali tubuhnya ke tilam. Tidak mungkin suaminya itu bersungguh-sungguh. Barangkali hanya berseloroh sahaja.

"Apa salahnya? Haji Meon tu pun dah lama menduda. Anak pun tak ada. Kalau kahwin bukannya timbul masalah anak atau sebagainya. Saya fikirkan yang itu la."

Norita semakin terperanjat. Serius rupa-rupanya suaminya ini!

"Abang ni, dah macam tak ada lelaki lain lagi dalam kampung ni. Ramai aje yang muda-muda. Boleh saja awak jodohkan dengan Rai."

"Ramai tu memanglah ramai. Tapi semuanya tak boleh pakai. Si Aznor tu kalau budaknya baik, nak aje saya jadikan menantu awak tapi dia tu nak makan pun minta duit Bahar lagi. Macam mana nak tanggung bini."

"Saya tak setujulah bang. Malu pulak Haji Meon tu jadi menantu kita. Apa kata orang nanti. Lelaki muda ramai tapi duda tua pulak yang awak berkenan."

"Habis tu, cuba awak bagi cadangan, anak muda mana yang berkenan nak buat bini Si Raina tu. Orang baik-baik dah tentu tak ingin dengan kupu-kupu malam awak tu."

"Alah bang, ramai lagi bang. Bukan Haji Meon je. Ha Si Farel tu pun boleh. Dia pun baik juga. Rajin usahakan kebun pisang dia tu. Boleh aje jadikan menantu awak tu."

"Kalau Si Farel tu selisih malaikat. Sampai ke mati saya tak berkenan." Borhan cebikkan bibirnya dengan wajah benci.

"Ha, itulah masalah abang." Norita sudah faham dengan sikap Borhan. Memang dari dulu suaminya membenci keluarga Farel.

"Saya bukannya apa Ita, saya benci dengan keturunan Tumin tu. Kalau dah bapak perogol, anak perompak. Silap-silap hari bulan cucu kita jadi pembunuh pulak."

Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now