BAB 12

9.4K 25 0
                                    


MESIN rumput yang sejak tadi digalas, diletakkan di tepi tangga batu rumah Imam Long. Farel kemudiannya berdiri di tepi tangga sambil mengesat peluh di lehernya dengan tuala 'good morning' putih yang sering dibawa ketika memesin rumput.

"Naik dulu Farel, kita minum air," ajak Imam Long yang berdiri di muka pintu.

Farel angguk lalu memanjat empat anak tangga batu lalu melabuhkan duduk di kerusi berhadapan Imam Long yang sudah pun duduk. Sejak kebun pisangnya musnah, dia tiada pendapatan tetap, cuma kadangkala mengambil upah memesin rumput di kebun-kebun orang. Dan hari ini Imam Long meminta dia tolong mesinkan rumput di laman rumahnya.

"Nah upah kamu." Imam Long hulur duit RM100 kepada Farel.

"Banyak sangat ni Imam Long, biasa saya ambik enam puluh je."

"Tak apalah Farel, Long ikhlas," kata Imam Long lagi. Faham dengan dilema Farel yang kehilangan punca pendapatan.

Farel serba salah namun dia ambil juga. Segan hendak menerima namun lebih segan hendak menolak kerana dia tahu Imam Long akan bertegas supaya dia ambil sahaja upah yang diberi.

"Terima kasih Long."

Imam Long angguk.

"Minum dulu," pelawanya seraya menyorong gelas yang sudah berisi mangga ais ke hadapan Farel.

Tanpa segan silu Farel ambil gelas dah hirup perlahan airnya. Dahaga kerana hampir dua jam baru dia habis mesin semua rumput yang tumbuh meliar di sekeliling rumah Imam Long.

"Tentang kebun kamu tu, dah tahu siapa yang khianat?"

Farel hanya menggelang.

"Tak tahulah siapa yang dengki dengan saya." Farel hanya bermenung jauh saat menuturkan kata-kata itu.

"Biarlah Farel, nak menuduh, kita pun tak tahu siapa. Biar Allah saja balas perbuatan jahat orang pada kita."

Farel hanya angguk dalam senyum. Dia bukan sesabar Imam Long. Kalau dia tahu siapa, memang lembik dia belasah. Namun kata-kata itu hanya terletus dalam hatinya sahaja.

"Kamu dah fikirkan nak buat apa selepas ni?" tanya Imam Long lagi. Kasihan melihat anak muda seperti Farel. Bersungguh-sungguh namun nasib tidak menyebelahinya.

"Tak tahulah Long." Farel kedengaran mengeluh. Buntu sudah dia berfikir sehingga akhirnya dia malas lagi berfikir.

"Kamu jangan putus asa, tertutup satu pintu rezeki, Allah buka pintu lain untuk kita. Yang penting usaha."

Farel cuba mengambil positif kata-kata Imam Long. Memang benar kata orang tua itu, muka bumi Allah ini luas, mana-manapun ada rezeki, yang penting rajin usaha. Namun tika ini dia benar-benar hilang ikhtiar.

"Saya balik dulu Long." Farel minta diri sejurus menyisip habis airnya. Dia tidak boleh berlama, tadi Juwita ada berpesan supaya dia singgah ke kedai untuk membeli sabun basuh pinggan yang sudah habis.

"Yalah." Imam Long turut bangun apabila Farel bangkit berdiri. Dia kemudiannya menghantar Farel sehingga ke muka pintu. Dan sejurus melihat Farel sudah mengangkat mesin rumputnya, dia menghilang semula ke dalam rumah.

Ketika berjalan menghampiri lori, mata Farel bertemu dengan mata Solleha yang tika itu sedang menyidai pakaian di ampaian bersebelahan dengan pili air. Farel terpegun namun dia larikan segera matanya apabila teringat yang tika itu dia berada di rumah Imam Long.

Farel angkat mesin rumput jenama Tanaka itu lalu diletakkan di belakang lori yang diparkirkan berhampiran dengan ampaian baju Imam Long. Namun saat dia hendak menolak mesin itu ke tengah ruang, tiba-tiba sahaja bekas minyak petrol mesin itu tercabut lalu minyak tertumpah.

Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now