BAB 16

10.2K 20 0
                                    


FAREL sudah pun memulakan tugas secara rasmi di pejabat milik Dato' Arbain. Setelah berminggu-minggu berhempas pulas menimba pengetahuan daripada Emad, dia mulai faham akan selok belok syarikat namun harus diakui yang masih banyak perkara yang dia tidak tahu. Segala-galanya terasa asing.

Selama ini dia hanya bermain dengan pohon-pohon pisang tanpa perlu bersusah payah menelaah fail namun kini segalanya berubah. Dia perlu mempertingkatkan ilmu demi mengambil alih tugas bapanya itu. Kalau tidak difikirkan keinginan membuaknya untuk mengubah diri dan nasibnya, tidak ingin dia menyusahkan diri begitu namun dia sedar, syarikat Dato' Arbain ialah pilihan terakhirnya, sesusah manapun halangan yang ada, dia harus tempuhi juga.

"Dah habis study?" Soalan lunak dari muka pintu mengganggu khusyuk Farel. Pantas diangkat kepala memandang empunya diri. Riyanita berdiri penuh yakin di hadapannya.

"Belum," jawab Farel lantas melarikan anak mata. Seperti biasa, ibu tirinya ini memang tidak segan silu berpakaian seksi. Sejak pertemuan kali pertama mereka, tingkah Riyanita yang manja membuatkan dia berfikiran bukan-bukan.

Riyanita berjalan dengan lenggok menggoda ke arah Farel. Kental benar iman anak tirinya ini. Selama ini tidak pernah ada mata yang mengelak dari memandang penampilannya. Baik perempuan mahupun lelaki, semuanya tidak berkelip memandang tubuh langsingnya. Tetapi dapat dirasakan Farel seakan-akan tidak peduli dengan semua itu.

"Dah lunch?" soal Riyanita seraya melabuhkan duduk dihadapan Farel tanpa dijemput.

"Saya masih kenyang." Farel menentang mata Riyanita. Sudah tahu niat Riyanita masuk ke biliknya. Sudah pasti hendak mengajaknya makan kerana sejak awal dia masuk ke pejabat, memang Riyanita sering mengajaknya meneman makan. Tidak pernah berputus asa walaupun sudah berkali-kali dia menolak.

Riyanita tersenyum. Dia faham apa yang bermain dalam hati Farel. Pasti Farel menjaga jarak antara mereka. Sayangnya dia bertemu dengan si ayah dahulu, kalaulah Farel yang pertama ditemui, sudah dipastikan lelaki itu berada dalam pelukannya tika ini.

"You ni pelik tahu. Seingat I pagi tadi you tak makan pun breakfast yang Kak Mona tu sediakan. Ni, takkan lah dah pukul 12.30 macam ni you masih kenyang." Riyanita jongketkan keningnya.

"Saya dah makan roti dan kalau auntie tak kisah, saya nak sambung study." Farel kembali menatap fail di tangannya. Sejak melihat telatah Riyanita yang membahasakan diri dengan I dan you sahaja, dia putuskan untuk memanggil wanita tu dengan panggilan 'auntie'. Dia lebih selesa dengan panggilan itu berbanding memanggil mummy atau mama pada Riyanita yang hampir sebaya dengannya.

"Okey." Riyanita angkat bahu seraya bangun. Walaupun rasa hatinya sedikit sakit dengan reaksi Farel namun dia tidak harus cepat melatah. Kalau dia bijak mengatur permainan, pasti harta Dato' Arbain akan terpecah dua. Dan kalau dia bersabar, mana tahu, suaminya akan melebihkan bahagiannya.

Riyanita tersenyum memikirkan perkara itu. Sudah tidak lama lagi, hanya empat bulan sahaja menurut kata doktor. Dia akan terus bersabar.

Usai menelaah, Farel mengajak Emad minum petang. Pukul 11.00 pagi, dia makan empat keping roti dan segelas milo. Menjengah tengah hari, perutnya masih kenyang dan sekarang pukul 3.00 petang, dia terasa perutnya mula pedih.

"Encik Farel, apa yang encik termenung lagi, minumlah." Emad yang sedari tadi memerhatikan Farel menegur.

Farel yang tersentak terus memandang wajah sahabat yang baru sebulan dikenalinya ini. Rimas pula dia mendengarkan Emad membahasakan dirinya 'encik'.

Maklumlah, selama ini dia bergelumang dengan kebun pisang, tidak biasa apabila orang terlalu formal bercakap dengannya, lebih-lebih lagi orang terlalu menghormatinya. Janggal rasanya walaupun semenjak hari pertama dia masuk, Emadlah yang banyak menunjuk ajarnya selok belok syarikat dan memperkenalkan dia kepada semua staf di setiap bahagian.

Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now