Awan pagi itu tenang berarak. Perlahan. Mengikut rentak angin. Burung-burung berterbangan membelah tiupan angin yang perlahan. Nyaman.
Mat Daud, pemuda yang berumur hampir mencecah 30-an. Bujang. Pendidikan hanya SPM Tahap 2. Namun begitu, dia seorang yang tenang. Walau apa-apa pun yang terjadi, dia tak mudah panik. Kemahiran berfikirnya agak rendah, tetapi tetap tenang.
Usai bangun dari tempat tidurnya, dia mengambil rokok dari poket seluar. Dicucuh pada mulutnya dan menarik asap rokok Dunhill merahnya itu sedalam yang mungkin. Dihembusnya tenang.
Perutnya mulai berkeroncong. Dia menyelongkar plastik biskut tiger ditepi tilamnya, namun hampa. Habis dia kerjakan tadi malam sebelum tidur. Dia mengeluh panjang disusuli dengan menarik asap rokoknya.
Kalau aku ada bini sekarang ni kan sedap. Celik mata pagi-pagi, dah siap kopi panas dengan mee goreng.
Mat Daud bermonolog.
"Daud! Ooo Daud!".
Mata Mat Daud sedikit membesar. Dia seakan kenal dengan suara yang memanggilnya. Cuma kebiasaan pagi-pagi, otak manusia agak lembab untuk berfikir. Tambahan pula Mat Daud memang seorang yang malas berfikir.
"Haaa..Radzi, masuk la dulu. Aku baru bangun ni." Mat Daud memanggil dari dalam biliknya.
"Radzi tengkorak kau! Kawan tu meninggal dah 3 bulan lepas. Aku ni, Yusub."
Mat Daud menepuk dahinya sedikit kuat sambil menutup matanya. Tangannya meraba-raba ke arah dinding biliknya mencari towel mandinya.
"Aduh! Haa..Sub, masuk la dulu. Aku baru nak mandi." Pelawa Mat Daud. Towel dicapai dan dia berjalan perlahan keluar dari biliknya.
"Cepat sikit mandi bersiap apa semua. Kita ada mesyuarat JKKK kampung kita ni. Dengar cerita ada karipap-karipap sikit."
Mendengar ada juadah sikit, nyawa Mat Daud ligat.
"Aku dah siap dah. Jom!".
"Woih! Takde kecepur kecepur air kolah. Bila masa kau mandi?!". Tanya Yusub terkejut.
"Aku okey je macamni". Mat Daud berpatah balik dari bilik air dengan towel dibahu.
"Acik kau! Pergi mandi dulu la. Badan dah kena langkah dengan matahari, bau badan macam kongkang. Aku tunggu ni. Siap deras."
Mat Daud memandang kelat ke arah Yusub. Dia memalingkan kembali badannya ke arah bilik air.
Kecepurrr...kecepurrr...kecepurrr.
Air kolah dicedok deras.Usai mandi, dia bergegas ke dalam biliknya. Dicapai baju kemeja kotak-kotak lengan panjang, disarungnya terus ke badan. Seluar jeans Levi's nya yang khas untuk functions function kecil dikampungnya di sarung kemas. Dia berjalan keluar biliknya sambil mengezip seluar.
"Ok dah. Jom Sub, gerak!".Anak mata Yusub terbeliak memandang Mat Daud. Dia seperti mahu menangis.
"Lap la air kat badan ko tu dulu Ud. Macam budak-budak la ko ni." Yusub mengeluh perlahan.
Mat Daud hanya tersengih kerang. Rambutnya basah, disikat menggunakan jarinya. Kemas. Kemas pada pandangan matanya.
Motor EX-5 Yusub diboncengi Mat Daud.
"Dah?" Tanya Yusub
"Ok. Dah."
Brrrrrrrr.....
Motornya menyelusuri jalan Kampung Sepat Siam yang sunyi dan tenang itu. Bersahaja.