Kalimat pertama dijerit ditelinga ku. Tangisan kedengaran berselang ucapan kesyukuran. Aku masih menjerit menangis-nangis. Tubuh ku di serah ke dakapan seseorang. Mendamaikan pabila ku dipelukannya. Mata dia dan aku bertaut.
"Kakak..stokin atas meja kopi. Jangan lupa.." dari dapur dia menjerit. Aku merengus kasar. Aku yang letak, masakan aku lupa pula.
Pantas aku menyarung stokin. Beg sekolah direntap kasar. Waktu itu aku di usia remaja. Hati sering panas. Memberontak.
"Kakak dah salam ummi?" suara garau, namun lembut. Insan yang aku panggil abah semenjak aku pandai bicara.
Berlari kecil aku ke dapur. Tangan wanita itu aku sambut, dicium kedua belah pipinya. Dahi aku masih berkerut. 'Moody' kata remaja seangkatan aku. Entah apa dibisik oleh ummi sambil tersenyum-senyum. Aku hanya tersengih. Tidak ikhlas.
Perjalanan ke sekolah adalah perjalanan yang paling menggembirakan. Walaupun hanya kaki yang menapak, dan keletihan yang aku dapat, tapi aku puas. Sebaik saja kaki aku melangkah keluar dari rumah, aku sudah gembira. Terasa bebas.
Dan apabila bangunan sekolah sudah kelihatan, senyuman aku hilang. Aku rasa terperangkap jika duduk dalam bangunan. Itu pegangan aku ketika itu.
Hari-hari aku sama seperti pelajar seusia aku, 17 tahun yang lain. Ya, aku tingkatan lima, usia penentuan semua remaja. Dimana hala tuju selepas sekolah, Matriks, tingkatan 6, Diploma dan macam-macam lagi yang dunia telah sajikan pada kami. Keputusan SPM yang akan menentukan kami layak atau tidak memilih sajian itu, atau hanya mencapai apa yang disaji jika keputusan SPM kami teruk.
Aku pandai? Tidak, sederhana. Kadang ada di kelas, kadang baring di padang berdekatan stor sukan sekolah. Itu aku. Masalah dsiplin? Tiada, melainkan buang sampah di dalam meja. Pelajar contoh? Semestinya bukan. Gadis popular? Percayalah, ada rakan sekelas aku tidak kenal aku siapa. Malahan mereka lupa aku rakan sekelas mereka.
Wujudnya aku hanya untuk memenuhkan watak sampingan di dalam hidup setiap rakan sekelas aku. Mungkin juga bagi memenuhi nama dalam jadual bertugas harian. Nanti siapa hendak kosongkan tong sampah kelas, kalau bukan aku.
Sudah dapat bayangan hidup aku. Aku mungkin seperti kau, yang sedang membaca huruf yang disusun menjadi perkataan dan diolah menjadi ayat seterusnya di 'goreng' menjadi tulisan ringkas. Teruskan membaca. Mungkin ada hikmah kau memilih tulisan ini menjadi bacaan kau.
YOU ARE READING
Dan Jalan Aku
Short StoryBismillahirrahmanirrahim.. "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), karena itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat." [QS. Al-Insan ayat 2] Aku dalam...