Ogos 2015.
MAJLIS pelancaran drama adaptasi novel Suamiku Bukan Anak Dato', Suamiku Anak Tan Sri nampaknya diraikan secara besar-besaran. Maklumlah, produser yang memilih novelnya itu bukan calang-calang orangnya. Siapa yang tak kenal dengan Datin Julia Iskandar. Drama dan filem di bawah bumbung syarikatnya semua berbajet besar, latar di luar negara, props mewah.
Tengok saja novel rakan penulisnya, Rara Lawa yang diangkat menjadi filem tahun lepas. Novel Pukat Cinta Abang Nelayan Hanyut di Muara Kasihku dijual berpuluh-puluh ribu cetakan. Dengar-dengarnya bakal masuk cetakan ke 37. Semuanya kerana dipilih oleh produksi datin.
Jen senyum puas. Berbaloi rasanya saban malam bersengkang mata menyiapkan manuskrip. Tidur cuma dua hingga tiga jam saja setiap hari. Makan dan minum dilakukan di dalam bilik, di hadapan desktop.
Lihat saja barisan pelakon yang sedang duduk di meja di atas pentas. Rata-ratanya mempunyai nama besar dalam bidang lakonan. Sampaikan extra pelakon pun bukan yang biasa-biasa. Sudah punya nama yang kuat.
Senyuman Jen makin lebar. Matanya langsung tak dialihkan daripada memandang hero drama adapatasi novelnya, Adi Saputra. Sudahlah mempunyai paras wajah yang kacak. Berketinggian model setinggi 187 sentimeter, kacukan Belanda, Siam dan Melayu. Tubuh badannya tegap bagaikan anggota penyelamat.
Semua maklumat berkaitan Adi Saputra itu dia perolehi di lama sesawang Wikipedia. Dia cari maklumat itu apabila diberitahu yang novelnya telah dipilih oleh produksi datin. Sebelum ini, Jen tak kenal pun siapa Adi Saputra. Hanya kenal Aaron Aziz, Adi Putra dan Beto Kusyairi.
Maklumlah, Jen lebih suka berimiginasi watak-watak ceritanya menggunakan pelakon-pelakon Hollywood. Mencipta watak-watak yang tak masuk akal.
Itu yang sepupu merangkap teman serumahnya, Liza bisingkan. Kata Liza, dia dah jauh hanyut dengan dunia ciptaan sendiri.
Jen senyum sehingga barisan giginya kelihatan. Selepas ini pasti Liza tak akan bising-bising lagi. Yalah, Liza pernuh juga sekali dua memuji ketampanan Adi Saputra.
Mungkin saja selepas ini drama adaptasi novelnya itu akan menjadi bualan rakan-rakan di hospital Liza. Tentu saja Liza berbangga mengatakan bahawa penulis Jen Ali itu adalah sepupunya sendiri. Dan, Liza pasti tak akan merungut dengan kerja menulis sepenuh masanya ini.
Bayangkan nanti, semua novelnya nanti diulang-ulang cetak, royalti yang diterimanya pasti lumayan.
Jen hanyut dengan angan-angannya. Kedua-dua matanya sudah bertukar menjadi lambang $.
Di dalam hati, Jen berteriak suka.
YOU ARE READING
Magis
RandomApabila yang ditulis menjadi apa yang kau alami. Tentu saja ia adalah mimpi yang ngeri.