Hembusan Nafas Terakhir

88 2 0
                                    


Dalam kepayahan, aku cuba untuk membuka mataku. Hanya mendapati diriku dikelilingi manusia-manusia asing yang tidak pernah aku kenali. Mereka tetap sama sepertiku, spesies yang sama tetapi ada kelainan dari warna kulit, lenggok bahasa dan variasi budaya. Aku yakin! Walaupun aku melihat dengan pandangan yang sempit. Tidak sampai sebesar butir kacang keluasan pandangan yang dapat aku bentangkan. Itupun dengan susah payah. Cukup sukar dan memenatkanku. Aku berharap ini hanya satu mimpi ngeri dan bukan realiti yang sedang beraksi dengan penuh misteri.


Langit di atasku adalah bumbung yang melindungi bangunan ini dari Sang Mentari yang rakus membakar, atau titisan embun yang mendinginkan tulangku. Aku tidak pasti adakah saat ini merupakan malam atau siang buatku. Sukar untuk aku membuat satu agakan yang tepat. Sejuk yang melebihi dinginnya butir-butir salji dari kepulan awan di bumi Amerika. Juga melebihi dinginnya Laut Celabes yang menjadi taman permainanku sejak aku mula bergiat aktif menyelam skuba. Mungkinkah malam sedang bertandang? Atau mungkin juga siang yang sedang bersedih meratapi siksa yang sedang aku tanggung pada ketika ini. Sang Mentari tersipu malu di balik roti awan yang berbuku gebu, semakin menjadi obes, menghitam menjadi raksasa dan lantas memanah bumi dengan titisan air hujan yang bertubi-tubi.


Wayar bersimpang siur di tubuhku. Angin yang tidak henti-henti terjun keluar dari corong topeng oksigen yang terikat kemas pada mukaku sesekali menambahkan lagi bebanan untuk aku bernafas. Angin yang kurasa begitu kering sekali dan lantas turut sama membuatkan segala cecair pada rongga hidung, mulut dan tekakku menjadi kontang.


Sesekali, cecair dari paru-paruku membuak keluar dari saluran anak tekakku dan cuba mengisi kekontangan yang dibawa bersama angin mengandungi oksigen itu. Ia tidak langsung mendamaikanku sebaliknya membuat aku semakin sukar untuk bernafas. Bunyi guruh yang dihasilkan cecair itu menarik perhatian tangan manusia asing itu untuk memasukkan satu tiub ke dalam hidung dan mulutku dan lantas menggunakan pam vakum untuk menyedutnya. Ia menyedut bersama dengan rasa geli yang ditinggalkan trek laluan tiub tersebut kerana aku tidak mempunyai kudrat lagi untuk batuk biar sekali dua.


Aku cuba menggerakkan seluruh anggota tubuhku. Tapi, hujung kuku ku turut melakukan protes, enggan mengikuti kehendak akalku. Mujurlah akalku masih ligat berputar pada kenangan ruang dan waktu kehidupanku. Aku tertanya-tanya, sampai bila aku mampu untuk bertahan.


Sesekali, urat tanganku terasa sakit tatkala ditujahi cecair yang bertalu-talu masuk melalui jarum branulla yang dipasang pada tangan, kaki dan leherku.


Dan manusia aneh disekelilingku terus berbicara dalam lenggok bahasa yang tidak aku fahami biarpun sepatah. Bunyi pekikan mesin yang tidak aku ketahui namanya sesekali menenggelamkan suara manusia aneh itu. Dari celahan bukaan mataku, terpampang kad mereka yang menunjukkan bahawa mereka adalah doktor perubatan.


"Mungkin apabila saya mati, baru awak nak bercakap dengan saya kan?"


Lantas ia bersambut tanpa berlengah.


"Sikit-sikit kau bercakap pasal mati. Itu sahaja yang kau tahu untuk mengugutku kan?"


Satu ayat akhirnya memecahkan sunyi yang ditinggalkan Unggu berminggu lamanya sejak kami memutuskan hubungan pertunangan kami.


Unggu seorang gadis yang menawan. Biar bertubuh genit dan pendek, seri terpancar dari wajahnya yang mulus dan jernih. Senyuman yang dihiasi dengan dua lesung pipitnya sering membuat aku tenggelam dalam angan-anganku untuk menjadikan dia permaisuri taman hatiku yang sedang dipenuhi kuntuman bunga yang mekar mewangi.


Tapi, aku ternyata telah mensia-siakan kesetian dia. Berkali-kali dia memberiku peluang untuk berubah. Ternyata cinta seorang gadis itu cukup agung sekali sehingga sanggup membiarkan hatinya terluka berpuluh kali oleh lelaki durjana sepertiku. Aku tahu, jauh disudut hatinya, dia mahu aku menjadi pencinta yang setia. Hanya setia kepadanya tanpa memandang rama-rama lain yang sedang mengepak sayap merentasi kuntuman bunga mawar bewarna merah jambu.


Aku tidak pernah menjaga hati dan perasaannya. Membuat dia cemburu dengan kenakalanku bergembira dengan gadis-gadis yang biarpun kurang cantik berbandingnya. Biarpun aku sudah melafaz ikrar untuk setia bersamanya, tetapi dia tetap meraguiku. Bukan salahnya. Tetapi salah memori silamnya yang dilukai manusia bernama lelaki. Dan kini, dia memperjudikan perasaannya untuk bersama dengan lelaki sepertiku. Yang turut sama menambah kedalaman luka yang masih belum kering di hati kecilnya.


Aku sering mengugut dia dengan perkataan mati. Seakan aku akan terus masuk syurga tanpa hisab andai aku meninggalkan dunia yang fana ini. Seakan mati itu hanya sedetik dan selepas itu aku akan kembali bangkit dan mencapai abadi. Dan kata-kata itulah yang membuat dia kembali memaafkanku biarpun hatinya tidak henti-henti menangis. Itulah setia seorang wanita yang sering dipersiakan lelaki sepertiku.


Dalam kesukaran aku bernafas, ternyata renggekan suaranya menjadi irama yang paling aku rindui. Imbasan otakku tentang kemanisan senyumannya membuatkan aku lupa bahawa aku kini sedang bersedia untuk bertemu Ilahi. Pemilik cinta paling agung. Adakah Tuhan menerima taubatku ini yang sering berbuat binasa pada tubuhku?


Hari ini adalah hari malang buatku. Setelah dia memecah kesunyian rajuk hatinya dengan persoalan cliché ku, dia kembali menyepi. Diam membatu sebagai tanda bahawa hatinya masih dalam kekecewaan. Dan diamnya membuat hatiku resah memikirkan saat aku kehilangannya. Ya, aku sayang padanya tapi tidak pada diriku. Mungkin itu kesilapan diriku apabila menyintai seorang wanita melebihi cintaku pada diri sendiri dan Tuhan.


Kekecewaan yang membuatkan aku akhirnya tumbang bersama piala-piala berisi kilauan emas jernih air Carlsberg di sebuah pub. Dalam keadaan separuh mabuk, aku rakus membaham kelembutan tubuh seorang GRO tanpa ada sedikit malu yang bertakhta di akalku yang mula menghilang ke alam fantasi. Mungkin ada rakanku yang nakal merakam detik-detik aku bercumbu mesra. Dari mula aku bercumbu sehingga aku merasakan satu kenikmatan yang sangat mengujakan hatiku.


Dari separuh mabuk, aku terus hilang pertimbangan warasku. Kepalaku mula memberat tetapi kakiku semakin lama, semakin ringan dan membuatku sentiasa ingin terbang. Seakan tumbuh sepasang sayap di belakang tubuhku dan aku terus terbang di udara. Aku mengibar sayapku, melintasi tingkap kaca tidak bergeriji pada bilik pub tempat kami berhibur. Dan sayapku terus patah, lantas aku menyembah bumi tanpa segan dan silu.


Bunyi Ambulans sayup kedengaran di telingaku sewaktu aku cuba membuka mataku sebelum kembali tidur. Dan kini, mataku masih berat untuk terbuka. Dari seluas biji kacang, aku kembali menutup mata. Taubatku masih belum tentu diterima Ilahi dan bunyi mesin semakin lama semakin menghilang. 


Bunyi cecair dari peparuku kembali rancak menari dan melompat keluar ke dalam mulutku. Lantas ia membuak-buak keluar dari mulutku bersama pancutan darah yang entah dari mana datangnya. Aku dapat rasakan tubuhku menjadi begitu ringan sekali. Mungkin kerana sudah terlampau banyak darah yang memancut keluar menjauhi rumah mereka di dalam salur darahku. Dan nafasku semakin memberat, seberat dosaku yang menggunung setinggi Gunung Kinabalu. Mataku sudah berputus asa untuk kembali melihat. Begitu juga dengan denyut jantungku yang semakin lama semakin perlahan, hingga akhirnya berhenti.

Hembusan Nafas TerakhirWhere stories live. Discover now