SEINDAH MAWAR BERDURI
TINTA PENGARANG
Selaut pujian Alhamdulillah buat Allah S.W.T yang memilih saya sebagai asbaab untuk menghasilkan
karya ini. Penyayangnya Allah S.W.T dengan segala idea yang diilhamkan-Nya. Subhanallah Alhamdulillah
waLailahaillallah Allahuakbar...
Senandung kasih buat ayahbonda tercinta, tak lupa buat seluruh ahli keluarga...kalianlah
penyemarak obor mujahidah dalam hidup saya. Teristimewa buat kakanda Farah Najah Mohd Noordin,
kakaklah cerminan peribadi Khazinatul Asrar buat saya. Seterusnya buat sahabat-sahabat tersayang, terima
kasih atas segalanya.
Menyedari hakikat dugaan cinta adalah dugaan paling besar melanda setiap jiwa remaja, sehinggakan
setiap naluri remaja, tak terkecuali, pasti merasainya, saya rasa terpanggil untuk melebarkan sayap da'wah
dalam dunia cinta remaja melalui mata pena. Cinta yang fitrahnya kudus dan suci sering disalah erti dan
diselewengkan jauh daripada falsafah asalnya.
Lantaran itu, saya berasa bertanggungjawab untuk membetulkan falsafah sebenar cinta yang
dikatakan kudus dan suci dan boleh membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.Walaubagaimanapun, saya
mengakui bahawa usaha kecil saya ini sarat dengan kelemahan dan saya amat mengalu-alukan kritikan
membina daripada sidang pembaca sekalian.
Oleh sebab remaja sukakan bahan bacaan berbentuk majalah, cerpen dan novel, saya lantas mengambil
inisiatif untuk menerbitkan Islamic-love story ini yang bermotifkan penyebaran kefahaman sebenar tentang
cinta sejati. Moga-moga ianya diterima Allah sebagai satu method tarbiyyah dan dakwah yang diredhoi-Nya.
Buat akhirnya, secebis harapan daripada saya...
Taman Firdausi...di situlah destinasi cinta yang abadi. Pimpinlah cinta itu ke sana kerana cinta itu buta, tak
mengenal destinasinya. Semoga, novel ini boleh membantu perjalanan untuk menunjuk jalan, memandu ke arah
musafir cinta kita ke Taman Syurga, mendapat tempat di sisi yang Esa, Raja pemilik segala rasa cinta.....amin.
FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
SINOPSIS
Khazinatul Asrar...khazanah kerahsiaan.
Seorang gadis yang menyimpan rahsia kesucian hati yang takut dan cinta pada Ilahi di sebalik tabir aurat yang
menghijab diri. Dia menjadi siulan ramai lelaki namun falsafah cinta yang dipegangnya menyebabkan dirinya
tidak mudah untuk dimiliki. Dia tetap teguh dengan falsafahnya biarpun didatangi dugaan cinta silih
berganti.
Khazinatul Asrar mendapat keistimewaan itu kerana rahsia falsafah cintanya pada Ilahi. Cinta yang
kudus dan suci.Kehebatan falsafah cintanya itu menyebabkan banyak kumbang yang akur tewas. Mereka tak
terdaya menempuhi ranjau dan duri sepanjang perjalanan untuk menyunting mawar idaman.
Apakah sebenarnya falsafah cinta Khazinatul Asrar?
Adakah cintanya semata-mata untuk Ilahi lalu meminggirkan lelaki?