Lapar dan lapar

38 1 2
                                    


Suasana tidak banyak berbeza. Lorong-lorong di tepi jalan dipenuhi manusia yang berjalan pantas menuju entah ke mana. Di hujung jalan terdapat gerai-gerai kecil menjual makanan gorengan dan tteokpokki bercampur dengan sundae. Manusia-manusianya berambut hampir sama, pakaian fesyen yang sama namun tidak berpandangan sesama sendiri selain telefon pintar Samsung, LG dan Iphone 4 mereka yang baru. Muzik-muzik rancak berdendang di kedai-kedai jalanan, hampir kesemuanya memasang lagu yang hampir sama. Barangkali lagu ini adalah lagu terhangat pada musim ini dan saya bakal mengingati muzik ini hingga terngiang-ngiang dalam kepala.

Saya ditempatkan di Universiti Silla yang berada dalam kawasan Sasang. Saya tidak langsung ada perasaan kagum terhadap persekitaran university ini. Saya pernah datang ke Korea untuk program pertukaran pelajar dua tahun sebelum itu, maka tiada apa perkara yang baru dan menakjubkan. Dalam fikiran saya hanyalah perasaan berdebar untuk menghadapi hari-hari baru tanpa mengetahui apakah masalah yang saya bakal hadapi sendirian di negara asing.

Sebelum ini, dua tahun yang lepas saya telah pergi ke Pukyong National Universiti dan menjalani hidup sebagai orang asing yang tidak tahu apa-apa tentang Korea serta isi negaranya. Saya sekadar datang suka-suka dan langsung tidak ada persediaan mental untuk menghadapi perbezaan budaya dan persekitaran meskipun ketika itu merupakan kali pertama saya pergi jauh dari Malaysia. Sikap semberono dan tidak ambil peduli itu membawa saya kepada pelbagai masalah yang lazim bagi seorang asing alami seperti masalah komunikasi, salah faham antara budaya dan masalah makanan serta kewangan. Makanan merupakan masalah yang paling kritikal ketika itu kerana rasa makanan serta perasaan sangsi terhadap makanan Korea sangat menebal dalam diri saya. Manakan tidak, hari pertama saya tiba di Pukyong National Universiti, saya dihidangkan dengan roti serta sayur lembik bercili yang berair-air. Makanan lain yang ada di situ adalah daun-daun yang kelihatan seperti daun dari pokok, dan biji-biji hitam yang tidak dapat dikenalpasti sama ada ia adalah kacang atau benih pokok sakura.

Saya dan beberapa orang kawan yang lain memboikot makanan di cafeteria asrama Pukyong National Universiti kerana tidak memuaskan hati. Ramai yang geram kerana tidak diberikan makanan yang sesuai untuk selera pelajar antarabangsa. Tambahan pula, rasa makanan mereka amat mengembangkan tekak dan saya terbayangkan kesengsaraan rakyat Korea untuk makan makanan sebegini setiap hari. Bagi pelajar Muslim yang menginginkan makanan Halal, terdapat satu mangkuk kecil berisi ikan yang kelihatan seperti dipotong kecil-kecil bersaiz 7cm setiap satu dan rasanya seperti ikan hangus. Saya pernah mencuba ikan itu dan rasanya jijik. Seolah-olah makan makanan yang disediakan untuk kucing.

Oleh kerana tidak tahan dengan makanan yang disediakan oleh pihak asrama, saya pernah mencuba untuk membawa keluar nasi dengan membungkuskannya ke dalam bekas makanan plastik untuk dimakan di dalam bilik bersama ikan bilis sambal yang dibawa dari Malaysia. Perbuatan saya itu dilakukan secara terang-terangan dan mengundang kemarahan makcik cafeteria yang sedang bekerja di situ. 'Andwe!' mak cik itu menghalang saya membungkus nasi dan menyilangkan tangannya seperti satu tanda pangkah yang besar. Suaranya yang kuat menarik perhatian pelajar-pelajar lain yang sedang makan di situ. Saya menjadi gelabah kerana tidak sukakan atmosfera yang sebegitu. Makcik itu pula tidak menjawab persoalan saya untuk sebab nasi dilarang dari diambil dari cafeteria itu. Saya terus berlalu dari cafeteria dengan muka merah padam kerana dimalukan di hadapan ramai orang.

Sejak itu saya dan beberapa orang kawan lain yang sudahpun boikot makanan di cafeteria sering makan bersama pada waktu tengahari dan malam di dalam bilik saya ataupun di satu bilik pantri terletak di paling hujung bangunan aras kami. Alif, dia sudah tekad untuk tidak makan makanan Korea lagi. Makanan hariannya hanyalah coklat Kitkat dan mi segera. Kadangkala, kami berdua akan membeli roti kosong dan dimakan bersama ikan bilis sambal yang saya bawa dari Malaysia.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 17, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sepetang di BusanWhere stories live. Discover now