Bab 5

4.3K 67 13
                                    

Aku menyusuri jalan kecil yang bertar. Kiri dan kanan aku menyajikan pemandangan sawah yang menghijau. Aku membuka tingkap kereta untuk mengambil udara dan angin petang. Nyamannya.

Senyuman aku mati serta-merta dek sengihan Alif, rakan sepermainan aku. Alif yang sedang menunggang motosikal lantas memberhentikan motosikalnya dan memberi laluan kepada aku. Aku melewati Alif lalu memberhentikan kereta di sebelah motosikal Alif.

"Terima kasih, Alif," ucap aku. Alif tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang kelihatan kekuningan. Kuat merokok!

"Lama cuti, Zara?" soal Alif. Aku terdiam seketika. Otak aku ligat memikirkan tempoh aku akan berada di kampung.

"Tak lama kut. Tiga hari aje. Tak boleh tinggal lama-lama cik abang kat KL. Nanti meroyan satu KL cari aku," seloroh aku dengan perkataan cik abang. Alif ni sebenarnya menaruh hati kepada aku. Tetapi, awal-awal lagi aku dah tolak! Bukan kerana memilih, tetapi disebabkan Alif ni dah berkahwin.

"Cik abang?" soal Alif semula. Aku mengangguk laju.

"Anak sihat?" Sepantas mungkin aku cuba mengalih topik perbualan kami berdua.

"Anak-anak sihat. Alhamdulillah," balas Alif. Terlopong aku mendengar jawapan Alif. Anak-anak?

"Dah bertambah seorang lagi ke?" teka aku. Alif mengangguk kecil dengan senyuman malu. Malu la sangat. Dalam hati bangga gila!

"Wah! Semakin bertambah anak kau, Alif. Rezeki Allah nak bagi!" sambung aku lagi.

"Alhamdulillah. Terfikir juga nak tambah 'cawangan' baru. Itu pun kalau kau bagi lampu hijau la. Malam ni juga kita bernikah. Tak payah nak membazir masa," seloroh Alif tanpa rasa malu. Buntang mata aku dengan lawak selamba Alif.

"Kau sanggup nak bertumbuk dengan cik abang aku? Cik abang aku bukan calang-calang orang. Sekali dia debik kau, tersungkur pengsan dua hari." Kalau lawak selamba ni didengar dek Bazli mahu dikejarnya Alif di tengah-tengah petak sawah dengan pelepah kelapa. Nak cari nahas! Barannya jangan diusik.

"Eleh... Aku tak takut la. Ni Alif! Sekali aku buka kekuda, dia yang tersungkur atas tanah," jawab Alif dengan penuh rasa riak.

"Weh! Aku blah dulu. Perut aku memulas la. Dah tak sabar nak termenung dalam jamban rumah mak lang aku." Aku memintas sebelum Alif meneruskan niatnya untuk mengayat aku lagi.

Tanpa menunggu jawapan daripada Alif, segera aku memasukkan gear dan menekan pedal minyak. Kereta mula bergerak meninggalkan Alif yang terkulat-kulat ditinggalkan aku. Tak padan anak dah dua, ada hati nak tambah 'cawangan' lagi. Memang nak kena bedal dengan pelepah kelapa dek Bazli la tu.

Aku memasuki simpang kecil ke rumah mak lang yang terletak di tengah-tengah sawah. Island house! Itu yang aku dan Kak Dina gelarkan. Rumah mak lang terletak di tengah-tengah sawah, tak ubah seperti pulau yang berada di tengah laut.

Bunyi deruman enjin kereta yang memasuki halaman rumah kelihatan seperti mengejutkan mak lang dan pak lang. Kedua-duanya menjenguk melihat aku dari tingkap yang terbuka luas. Melebar senyuman di kedua-dua wajah yang sudah aku anggap seperti ibu bapa aku sendiri setelah kehilangan ibu dan abah.

Aku mematikan enjin kereta lalu melolos keluar dari perut kereta. Mak lang menapak laju menuruni tangga apabila terlihat kelibat aku. Dia menerpa ke arah aku lalu memeluk tubuh aku. Aku membalas pelukan mak lang.

"Ya Allah! Rindunya mak lang kepada Zara. Rindu sangat!" luah mak lang, masih tidak melepaskan pelukan.

"Zara pun rindukan mak lang," sahut aku. Terasa pelukan sedikit regang. Wajah aku dipegang oleh mak lang. Bertalu-talu ciuman sayang mak lang mendarat di wajah aku. Mak lang rindu sangat kepada aku nampaknya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 25, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cinta Si Wedding PlannerWhere stories live. Discover now