Shima melabuhkan punggung di atas bangku batu yang disediakan di platform menunggu . Lega rasanya dapat meluruskan kaki melepaskan kelenguhan sementara menunggu keretapi transit ringan yang seterusnya tiba. Sempat dia membelek akhbar yang mungkin tertinggal oleh tuan punya badan di atas bangku ini. Mata Shima terpaku sejenak bila terpandang tajuk berita di mukasurat ke dua akhbar tersebut. "Mayat seorang wanita ditemui ditempat parkir disebuah bangunan," Shima membaca perlahan isi kandungan berita itu.
Terbantut bacaannya apabila kedengaran suara rakaman automatik mengumumkan keretapi akan tiba sebentar sahaja lagi. Diletakkan akhbar itu kembali, sebaik sahaja dia berdiri untuk bergerak kehadapan kelihatan dua orang gadis tiba di platform menunggu. "Ni budak-budak ofis tempat aku bekerja," bisik hati Shima sendirian.
Shima menghadiahkan senyuman pada mereka berdua. Di balas kembali dengan wajah ceria dari dua gadis tersebut seraya melambaikan tangan. Tidak lama kemudian muncul seorang gadis dari belakang Shima menuju kearah dua gadis itu. "Lambai kat kawan dia rupanya, aku pulak yang perasan," getus hati Shima. Dia tersenyum malu sendiri.
Di dalam keretapi dia berdiri berhampiran dengan tiga gadis itu. Berkerut dahi Shima mendengar perbualan mereka bertiga. "Sekarang ni kecoh pasal cerita hantu kat parkir B2," air muka gadis pertama kelihatan serius. "Itulah aku pun dengar cerita yang sama. Cleaner pun takut nak bersihkan kawasan B2 sebab asyik ternampak kelibat je," gadis kedua yang turut mengakui kebenaran khabar angin itu.
Selesai membersihkan diri dan menyarung pakaian tidur, Shima merebahkan tubuhnya ke atas katil. Fikirannya masih ligat memikirkan apa yang dibincangkan oleh tiga orang gadis dalam keretapi tadi. "Tak pernah pulak dengar apa-apa cerita pasal hantu kat B2. Kalau ada mesti Ida dah bercerita," gumam Shima. Sekarang ini yang lebih merunsingkan hati Shima adalah Ida. Dah seminggu dia tak balik ke rumah. Kemana dia pergi pun Shima tidak tahu. Tidak pernah pula Ida bersikap begini.
"Hissyy..Ida kau kalau nak balik kampung cakaplah dengan aku. Itu pun susah ke?" Omel Shima sendirian.
Hari ini Shima sampai kerja agak awal. Dia masuk ke dalam bilik yang menyediakan loker pekerja. Dia menggapai unifom khas yang disediakan lalu disarungkan ditubuhnya. Shima kemudian bergerak menuju ke bilik penyelia untuk melihat jadual kerja yang ditampalkan di pintu bilik. Pagi ini dia ditugaskan membersihkan pantri dan bilik pengarah di tingkat 10. Waktu petang pula dia perlu membersihkan kawasan parkir B2.
" B2...betul ke khabar angin tu?" perasaan curiga mula terbit di dalam hati.
Pintu bilik dibuka, dua orang pekerja pembersih masuk dan menuju ke loker masing-masing. "Dah seminggu Ida cuti sakit...kesian dia," ujar salah seorang pekerja pembersih. "Eh! Betul ke aku dengar Ida kena demam panas sebab terjumpa hantu kat B2?" soal seorang lagi pekerja dalam keadaan berbisik.
"Aku pun dengar cerita macam tu jugak. "Kecoh dah sekarang ni! B2 berhantu sejak kematian si...," perbualan dua pekerja tersebut terhenti apabila penyelia mereka melangkah masuk ke dalam bilik pekerja. Bergegas mereka bersiap dan keluar setelah mencapai peralatan yang perlu untuk memulakan tugasan pagi itu.
Shima yang mendengar perbualan dua orang pekerja tadi membuatkan hatinya semakin resah. Baru dia tahu Ida cuti sakit. Selesai kerja nanti Shima akan buat panggilan untuk bertanya keadaan sahabat baiknya. Shima memulakan rutin kerja seperti biasa, cuma ketiadaan Ida menyebabkan dia lebih suka makan bersendirian di kafeteria. Sebenarnya Shima baru sahaja sebulan bekerja disini itupun kerana bantuan Ida yang mengenali rapat penyelia syarikat pembersihan. Maka dia masih belum mesra dengan pekerja yang lain.
Tiba-tiba dua pengawal keselamatan berlari masuk ke dalam kafeteria memanggil beberapa orang pekerja pembersih. Di dalam keriuhan itu terdengar beberapa orang pengawal keselamatan menyebut parkir di B2 mengalami banjir kecil akibat kebocoran paip. Shima bergegas bangun dan terus mengikuti mereka memasuki lif untuk turun ke B2.
YOU ARE READING
Tragedi B2
Mystery / ThrillerShima melabuhkan punggung di atas bangku batu yang disediakan di platform menunggu . Lega rasanya dapat meluruskan kaki melepaskan kelenguhan sementara menunggu keretapi transit ringan yang seterusnya tiba. Sempat dia membelek akhbar yang mungkin te...