SUAMI, ISTERI, DAN BOMOH

15.6K 12 1
                                    


Sophie nampak cantik petang zuhur itu. Wajah yang disolek lembut ditambah pula dengan tudung putih yang menutupi kepala nampak ayu sekali pada tuan empunya diri. Selesai sembahyang zuhur tadi, Pak Imam sudah bersiap-siap untuk menikahkannya dengan bakal suami tercinta. Keluarga terdekat yang hadir semuanya sudah memenuhi kawasan masjid. Ada yang sibuk membaca yasin, ada pula yang duduk di luar menghisap rokok, dan tak kurang juga yang berbisik, bercerita apa yang terkurang atau terlebih.

"Pengantin dah datang!" jerit satu suara di luar. Semua mula berkumpul mengerumuni Pak Imam yang sudah siap sedia menunggu. Sophie mula merasakan darah gemuruhnya menyerap ke seluruh anggota. Jari-jemarinya sejuk meramas jari-jemari tua ibunya di sebelah.

Mulutnya pula dari tadi tak henti-henti membaca doa untuk menghilangkan darah gemuruh yang diajar ibunya dulu. Makin lama makin ramai kaum kerabatnya membanjiri ruang masjid itu. Sophie mula sesak. Hatinya yang berdebar-debar semakin berdegup kencang hingga kepala terasa sakit sedikit.

"Assalamualaikum," kata pengantin lelaki yang baru tiba.

Sophie tersenyum. Iqram kacak dengan baju melayu warna putih beserta sampin warna perak. Nampak sedondon dengan baju kurung satin dan selendang sutera yang dipakainya. Sophie mula memasang telinga pada suara-suara perempuan yang berbisik di belakang.

"Dah berumur la. Tapi handsome jugak. Macam Dato K..."

"Suami orang, kan?"

"Lah, suami orang ke? Mesti orang kaya..."

"Kaya pun..."

"Syyy..."

Pak Imam mula membaca doa sebaik saja Iqram melabuhkan punggung. Sophie tidak pasti doa apa yang dibacanya, tapi cukuplah dia mengerti bahawa tentunya doa itu untuk kesejahteraan ikatan perkahwinan yang bakal terjalin.

Selesai membaca doa, Pak Imam memulakan khutbah pendek tentang perkahwinan dan tanggungjawab suami isteri di dalam membentuk institusi kekeluargaan Islam yang sempurna.

Kemudian Iqram ditanya dengan rukun nikah.

"Ada lima," jawabnya pendek. "Pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, dan ijab dan kabul," sambungnya lancar.

Pak Imam tersenyum. Iqram sudah dua kali berumahtangga. Masakan dia lupa rukun nikah yang mudah begini. "Baiklah. Kau orang pun nak kahwin, tak payah berlengah lagi. Kita mulakan je sekarang."

Lantas dia memulakan acara. Salam dihulur, nafas ditarik panjang, lafaz akad nikah dibaca. "Mohd Iqram bin Mukhsin, aku nikahkan engkau dengan Sophie binti Sulaiman dengan mas kahwinnya sebanyak RM100 tunai..." Dan tangan Iqram kuat digegar.

"Aku terima nikahnya Sophie binti Sulaiman dengan mas kahwinnya sebanyak RM100 tunai," jawab Iqram sekali nafas.

"Sah?"

Dua orang saksi di belakang mengangguk perlahan.

"Amin."

*****************************************************************************

Di petang zuhur yang sama....

Anak-anak kecil sedang leka bermain kejar-kejar di halaman rumah usang bomoh itu. Ibu mereka, Bidan Limah, bekas bidan di kampung itu, berkemban sambil menyidai kain basahan pada ampaian yang tiangnya tertanam di dalam busut tua. Balqis dan Kak Yah, masing-masing menghulurkan senyuman. Perempuan itu mengangkat kepalanya sedikit.

"Assalamualaikum, Kak!"

"Kumsalam. Hei, budak-budak! Pergi kejutkan ayah. Ada orang datang!" arahnya pada anak-anaknya yang masih leka berlari-lari itu.

SUAMI, ISTERI, DAN BOMOHWhere stories live. Discover now