Waktu itu kedai sedang lengang. Maklumlah hari bekerja dan semua orang sedang berlumba. Saya juga sedang berlumba menggunakan telefon pintar. Permainan video lumba kereta memang mengasyikkan. Jika di hari lain, saya akan gunakan waktu suasana kedai yang sedang lengang dengan menghabiskan bacaan buku. Kali ini saya memilih untuk bermain permainan video, mungkin untuk menghadirkan mood membaca. Entahlah. Saya kurang pasti sama ada aktiviti ini berkesan atau tidak. Rasanya lebih melekakan.
Dua orang wanita dengan gaya urban memasuki premis saya. Urban mereka pada pakaian kasual, bahasa badan dan juga vokal. Slank Inggeris agak kuat. Mujurlah kedai saya telah dipasang pendingin hawa. Tidak terdengar mereka mengeluh panas. Malah dua orang itu bersyukur kerana bahang yang dibawa dari luar telah dinyah oleh kedinginan di dalam kedai. Mereka mula menjelajah ruang di dalam kedai. Dari lorong ke lorong. Dari rak ke rak yang lain. Satu persatu buku dijenguk. Ditatap dan dibelek. Mereka merayap di dalam kedai kecil saya sambil memegang, membelek dan turut kedengaran, dua orang itu turut berbicara tentang penulis dan penerbit buku. Mungkin mereka ialah golongan pembaca tegar berbanding rakyat biasa yang banyak membaca gosip di laman web. Mungkin juga mereka pembaca baharu yang berkobar-kobar mahu membaca buku pelik dan lari dari kebiasaan bahan bacaan yang ada di pasaran.
Sekali sekala saya ada terdengar di antara mereka berdua memanggil nama masing-masing. Erra dan Ella. Saya terfikir, mungkin mereka ialah Erra Fazira hijabis baharu dan Ella ratu rock. Tapi ketika itu mereka memakai cap dan bukan snapback. Saya agak risau jika Erra kembali meninggalkan amalan memakai tudung (shawl). Wajah mereka juga nampak muda. Wajah Erra seperti ketika dikahwini Yusry dan Ella masih berpewatakan seperti dalam Maria Mariana. Saya tidak puas hati dan berasa perlu buat sesuatu. Persoalan tentang identiti mereka terus bersawang dan perlu dibersihkan.
"Cik cari buku apa?" Saya memulakan perbualan.
"Kitorang suka buku tulisan RIdhwan Saidi. Sekarang tengah kumpul tulisan dia la," jawab Ella dengan suara serak basah.
"Awak ada buku dia?" Erra menyambung dengan pertanyaan.
"Ada. Tapi bukan untuk dijual, cik," jawab saya.
"Aduh, rugi betul!" mereka mengaduh dan menghadirkan wajah kekesalan.
"Boleh pinjam tak?" Erra menaruh harapan.
"Tak boleh cik. Buku rare tu, saya sayang sangat. Tapi kalau nak baca kat kedai ni boleh je. Nanti free datang la," saya mengambil kesempatan untuk cuba berkenalan dengan mereka berdua.
"Kitorang tak boleh lama sebab kejar masa ni, awak. TV tengah tunggu," Erra memberi jawapan yang agak canggung.
"Yela. Kitorang keluar dari TV kejap je sebab nak cari buku Ridhwan Saidi. Tak tau bila lagi boleh keluar, you," Ella masih boleh membuat suara manja walaupun mereka mengejar masa.
Memang tidak syak mereka ialah Erra dan Ella yang saya jangka. Selepas mereka pergi, saya cuba mencari buku-buku yang mengandungi gambar Erra dan Ella. Saya sempat meminta Erra memberi cenderahati berupa tisu yang dicop dengan gincu dan tandatangannya. Manakala saya merakam suara Ella menyanyikan lagu Cindai versi serak basah. Cukuplah untuk dijadikan modal berniaga di Mudah.my.
YOU ARE READING
Cerita Rawak Seorang Penjual
RandomSeorang pemilik dan merangkap pemilik kedai kecil. Macam-macam orang, macam-macam hal saya jumpa.