Ustaz Kamal mundar mandir di bahagian hardware sebuah pasaraya. Sekejap bertinggung, sekejap berdiri, fokus betul memilih sesuatu macam penting sangat lagaknya. Hampir 30 minit terbuang di bahagian yang sama, akhirnya dia memegang dua benda sambil tersenyum berjalan ke kaunter pembayaran. Sambil beratur menunggu giliran membayar, tiba-tiba dia rasa seperti mahu menukar fikiran memikirkan respon yang bakal diterimanya nanti, mungkinkah dia akan digelar orang luar yang penyibuk.
'Astaghfirullahal azim, tak baik berburuk sangka.'
Bisik hatinya memujuk diri agar meneruskan hasrat murninya itu. Dia menyelesaikan urusan pembayaran dan bergegas untuk kembali ke rumah Aqif semula.
"Assalamualaikum...Aqif...." Ustaz Kamal mengetuk pintu rumah. Beberapa detik kemudian pintu dibuka.
"Waalaikumsalam....eh Ustaz!!!" Aqif menjawab salam sedikit terjerit akibat terlalu gembira melihat wajah seseorang yang mengalirkan rasa hangat dan selamat dalam hatinya. Laju tangan Ustaz Kamal diraih dan dicium-cium. Ustaz menggosok-gosok rambut Aqif penuh rasa sayang.
"Eh tadi ustaz cakap jaga ibu, saya dah tukar baju dah, kejap ye ustaz saya bersiap balik." Pantas Aqif ingin menarik diri untuk pergi bersiap. "Tak, tak, kamu jagalah ibu kamu harini. Ustaz datang nak berikan ni haa mangga baru, nanti kunci grill tu, jangan lupa, dalam ni ada tiga kunci, simpan satu untuk kamu, lagi dua bagi ibu kamu nanti ya." Huluran beg plastik Ustaz Kamal disambut Aqif. "Terima kasih ustaz." Ustaz mengangguk sambil tersenyum.
***
Aisya yang baru sudah mandi menyikat rambutnya kemas. 'Okay dah siap. Hmmm dah la wangi, comel juga aku ni,ihiks.' Bebel Aisya masuk bakul angkat sendiri depan cermin. Aisya tidak comel sebenarnya tapi dia lebih kepada cantik, kulitnya tidaklah putih melepak, tetapi halus dan licin, matanya galak dengan bulu mata yang lebat dan melentik dan renungannya tajam, bertubuh tinggi dan langsing seperti anak dara walaupun sudah beranakkan Aqif, rambutnya yang panjang dan lurus melengkapkan keayuan Aisya.
Langkahan Aisya untuk ke ruang tamu terhenti apabila ternampak lelaki asing yang mengejutkan dia pagi tadi sedang mengusap kepala Aqif. 'Aish dia nak culik Aqif ke ni?' gumam hati Aisya lantas mendekati Aqif dan ustaz Kamal.
"Ehem." Aisya berdehem sambil berpeluk tubuh. Ustaz Kamal mendongak dan menghadiahkan sebuah senyuman spontan pada Aisya. "Maaf, kalau saya mengejutkan Puan, saya Ustaz Aqif kat sekolah." Ustaz Kamal menundukkan kepala sedikit tanda hormat. Aisya menguakkan rambutnya yang ke belakang, "Oooo kenapa Ustaz datang, Aqif buat hal lagi ke kat sekolah?" Aisya mengalihkan renungan tajamnya pada Aqif. Aqif menelan liur walaupun dia tidak bersalah apa-apa, gerun dengan renungan ibunya.
"Eh bukan macam tu Puan. Saya datang sebenarnya pagi tadi datang nak ajak Aqif datang belajar ke rumah saya. Tapi Puan macam tak sihat pula, jadinya saya tangguhkan dulu urusan kelas kami. Ni pun saya datang nak hantar mangga kunci ni untuk grill depan tu." Panjang penjelasan Ustaz Kamal tak memberi peluang untuk Aisya mencelah.
"Kejap! Mangga? Kelas? Apa ni?!" Aisya menggaru kepalanya sambil mengerut dahinya memandang Ustaz Kamal dan Aqif berganti-ganti.
'Alahai cutenya kerut macam tu mak Aqif ni, eh astaghfirullah hal azim....apa aku merepek ni'.
"Ustaz?!" Aisya memetik jarinya beberapa kali didepan mata Ustaz Kamal yang memberinya renungan kosong. "Eh, maaf Puan. Mangga ni untuk grill yang rosak tu, bahaya kalau tak berkunci selalu, Malaysia ni bukan selamat sangat Puan. Tentang kelas tu Aqif belum maklumkan ya?" Serentak Ustaz Kamal dan ibunya memandang Aqif, Aqif mengangguk.
"Baiklah memandangkan saya dah kat sini, jadi saya terangkan ye Pu..."
"Berapa?!" potong Aisya laju.
"Apa yang berapa?"
"Berapa harga kelas Ustaz? Saya ni ustaz mana mampu nak bayar tuisyen-tuisyen ni. Tak payahlah nak kelas-kelas." Tegas kedengaran suara Aisya. Aqif yang dari tadi membisu, menunduk, wajahnya muram sekali.
"Percuma, saya tak ambil duit pun, bayarannya kesungguhan Aqif untuk belajar. Boleh Aqif?" Ustaz Kamal menepuk bahu Aqif, Aqif mendongak, matanya yang tadi berkaca kelihatan bersinar penuh harapan.
Ustaz Kamal dan Aqif menunggu jawapan dari sang ibu sambil memandang Aisya yang masih membisu mempertimbangkan sesuatu sambil menggosok dagunya. 'Ah malas aku nak peduli, lantak engkolah Aqif, dengan lelaki so-called ustaz ni, huh' gumam hati Aisya. "Ok" balas Aisya pendek. Dia kembali merenung lelaki tersebut atas bawah, kata ustaz tapi tak pakai jubah pun, siap pakai t-shirt Polo dan jeans pula tu. Fuh, ketinggalan betul pemikiran Aisya yang masih menilai manusia dari pakaiannya, ini semua sebab kesibukan bekerja, dia tidak pernah langsung bergaul dengan orang lain selain Tipah dan Hasna rakan sekerjanya.
"Okaylah kalau macam tu saya balik dulu, esok saya datang ambil Aqif ya..." Ustaz Kamal tersenyum gembira, Aqif mengangguk sambil berundur akibat ditarik kebelakang oleh ibunya. "Assalamualaikum." Ustaz Kamal menarik diri. 'Garang juga ibu Aqif ni, tak jadi aku nak tolong pasangkan sekali selak pintu kat situ.' Ustaz Kamal menelan liur apabila salamnya dibalas dengan bunyi pintu papan ditutup.
YOU ARE READING
Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |
Romansa"Ustaz kata kasih ibu membawa kesyurga, tapi Aqif tak pernah rasa pun, Aqif nanti masuk neraka ke?"- Aqif. Tangisan Aisya yang tidak pernah lelah mengemis bahagianya sendiri. dan. Mungkinkah Aqif akan punya keluarga yang sempurna diakhir cerita? M...