Memutus Nikmat

471 0 0
                                    

Sudah lama rasanya aku tidak tekun menulis. Banyak pertimbangan yang aku berikan sebelum menulis di khalayak ini. Sudah bila ternyata keluhan lebih banyak dari penyelesaian, maka pastilah berdiam lebih baik. Lebih-lebih lagi menyedari akan tumpulnya pandangan dan lontaran kata, maka keputusan aku untuk tidak berbicara banyak di media sosial agaknya jelas. Kata itu tajam. Ya, aku tahu.

Begitu juga lamanya aku terputus rutin bersama buku. Masa menjadi semakin singkat akibat kesibukan yang 'pelik-pelik'. Pelik kerana sibuk itu tidak dipelawa, entah datang dari mana-mana. Aku jadi lupa akan diri aku. Aku jadi sibuk dengan hal yang lain.

Kemudian, tahun 2017 hadir ketika musim peperiksaan di universiti belum lagi melabuhkan tirainya. Sudah kelemahan aku; aku ini jenis yang sangat mudah 'hilang'. Peliknya, perasaan 'lost' itu selalu muncul pada dua waktu; bila tibanya tahun baharu dan musim peperiksaan. Akan muncullah soalan-soalan seperti;

"Apa yang telah aku lakukan?"
"Kenapa aku buat begini?"
"Kenapa aku tidak buat begitu?"
"Di mana harus aku bermula semula?"

Tahun baharu dan musim peperiksaan memang menyaksikan seorang aku yang 'total lost'. Mengikut arus sudah tidak mampu dibendung. Tiada lagi kayuhan yang mampu melawan rintang. Ditambah pula dengan prioriti keluarga yang sudah berbeza. Juga dengan hubungan rakan-rakan yang berubah 360 darjah. Aku jadi pasrah.

Namun dalam kehilangan ini, aku tetap perlu memutuskan sesuatu. Antaranya ialah persepsi aku terhadap 'nikmat'. Nikmat dalam konteks ini aku anggap sebagai beban (beban yang enak).  Hakikatnya, banyak 'nikmat' yang perlu dicampak keluar dari perahu supaya mudah perjalanan menuju matlamat.

Sedar ataupun tidak, umur memaksa kita meninggalkan kesedapan dunia perlahan-lahan. Namun jika kita berkeras membawanya sehingga ke hujung hidup, lambat-laun kita akan menerima padahnya. Tahukah kalian tentang seorang Imam Tirmizi (mengarang puluhan buku dan menghadam ribuan hadis) yang buta di penghujung umurnya? Namun terputusnya nikmat penglihatan itu langsung tidak mematikan dirinya. Dia telah menemui cinta sejati di sepanjang kayuhan waktu mudanya.

Semoga Allah merahmati hidup aku.

"Biar matiku mencuba demi bahagia,
Biar sakit dilukai dapat ku rasa,
Biar nadiku terhenti demi ke syurga,
Biar selamanya mencari cinta sejati."

Memutus NikmatWhere stories live. Discover now