Saya berjalan perlahan sambil membelek beberapa helai baju di kiri dan kanan. Niat di hati mahu membeli kameja baru untuk ke pejabat. Sudah agak lama rasanya aku tidak keluar membeli-belah. Bukan aku tidak gemar membeli-belah, tetapi sejak kebelakangan ini sering sahaja waktu hujung mingguku terpaksa dihabiskan dengan bekerja. Outstation ke merata tempat.
Kini projek kelolaanku sudah hampir siap, jadi aku tidak perlu lagi keluar outstation. Sejujurnya bukan aku benci dihantar ke sana ke mari, tetapi kadang-kala aku terasa seperti tidak mempunyai kehidupan selain pekerjaanku. Ya, bekerja, bekerja dan bekerja!!!
“Bila tak payah kerja ni, rasa pelik pulak. Nak shopping pun dah macam tak reti,” bebelku perlahan sambil terus membelek beberapa helai baju di hadapanku.
Sedang asyik membelek-belek, telingaku seperti dapat mendengar bunyi tangisan bayi yang nyaring. Automatik tanganku terkaku sambil mataku melilau melihat sekeliling. Orang-orang di sekelilingku tetap juga seperti tadi, seolah-olah tidak mendengar bunyi tangisan itu.
Perlahan-lahan saya menelan air liur yang tiba-tiba terasa kelat.
‘Takkanlah ada hantu bayi dekat sini. Ini Beverly Hills, bukannya kampung terbiar,’ getus hatiku.
Sesaat kemudian bunyi tangisan itu kedengaran lagi. Hampir terlompat saya dibuatnya. Lambat-lambat saya berpaling pada pintu rintangan api yang terletak di sebelahku. Bunyi itu seperti keluar dari pintu itu.
Entah apa yang merasuk fikiranku, saya mula mengorak langkah menghampiri pintu itu. Sambil membuka pintu, fikiranku mula menerawang pada filem-filem seram yang pernah ditonton. Sinister, Conjuring, Phobia, NangNak, …semuanya silih berganti di fikiranku.
Sinister, filem seram gila anak bunuh keluarga.
Kalaulah hantu merangkak dalam Ju-On tiba-tiba merangkak dekat saya.
Pontianak NangNak terbang datang nak hisap darah…
Perlahan saya menggelengkan kepala. Ishk, apa yang saya fikir ni?
“Takkanlah siang-siang ni ada hantu??” ujarku pada diri sendiri. Tubuhku kini dah pun selamat memasuki pintu itu.
Aku memandang kiri dan kanan melihat kalau-kalau ada hantu merangkak, hantu terbang atau budak lelaki pelik dengan lingkaran bawah mata hitam macam panda bear….
Sekali lagi aku menggelengkan kepala.
“Bel, Bella…apa yang kau mengarut ni?” Aku menempelak diriku sendiri.
Lambat-lambat saya berjalan masuk, semakin jauh ke dalam sambil mataku masih lagi meliar melihat benda-benda pelik yang mungkin menegurku.
“Awak…”
Spontan tubuhku kaku. Telingaku seperti mendengar suara menegurku dari belakang.
“Alamak, memang ada hantu ka dekat Beverly Hills ni?” ucapku tanpa sedar. Sesaat kemudian saya menampar mulutku sendiri.
‘Ishk, mulut ni...lancang sangat kenapa?’ bisik hatiku.
Mulutku sudah mula terkumat-kamit, membaca doa Bapa Kami, Salam Maria kerana itu sahaja yang diingati.
“Awak….” Suara itu kedengaran lagi. Semakin dekat pula tu.
Aku cuba menggerakkan kaki yang sudah pun lembik.
‘Apasal kaki ni tak nak gerak pula dah??’
Menyedari keadaan kakiku yang seakan-akan melekat pada lantai, cepat-cepat aku memejamkan mata. Tidak ingin rasanya melihat wajah-wajah yang mungkin membuatkan aku demam seminggu.