BANGUNAN pencakar langit tersergam indah di sekeliling. Dari kejauhan, kelihatan kereta bersimpang-siur. Semuanya dipandang tanpa perasaan. Bosan! Lalu dia menjatuhkan duduk di atas kerusi. Masih dengan telefon bimbit yang melekat di telinga.
"Are you sure?"
Dia ketawa halus.
"I pun sayangkan you. Oh, no! No! I love you more. A lot more. Okay, okay. Fine. You sayang I lebih."
Setiap patah katanya terselit tawa. Bahagia sekali. Dalam kepala, dia membayangkan wajah cantik itu. Pasti sedang tersenyum-senyum dan ketawa sepertinya.
Suzana.
Panggillah dia gila bayang sekalipun, Suzana bagi Tengku Zarif memang segala-galanya. Tiada yang dapat menandingi kecantikan wanita itu. Senyumannya bisa mencairkan hati. Lenggok tubuhnya mampu menggoyah iman.
"Taklah. I mana ada banyak kerja," balasnya saat disoal tentang kerja. Kepala tergeleng-geleng.
Saat yang sama, Linda setiausahanya memasuki bilik. Tengku Zarif mencemik dalam hati. Endah tak endah, dia memberi isyarat agar Linda meletakkan sahaja fail yang dipegang ke atas meja.
"Tengku..."
Tengku Zarif buat-buat tidak dengar. Perhatiannya masih buat Suzana. Mendengar celoteh Suzana lebih menyenangkan daripada mendengar suara menjengkelkan Linda. Huh, tahu suruh dia buat kerja sahaja!
"Tengku... Errr..."
Suara itu berbunyi lagi. Tengku Zarif mendengus.
"Tengku Kamal nak jumpa. Urgent."
Tanpa rela, Tengku Zarif menarik telefon bimbit dari telinga. Renungannya ditala tepat ke muka Linda. Tajam.
"You tak nampak I tengah sibuk?" desisnya geram.
Linda menelan air liur. Muka serba salah.
"I'm sorry. Tapi, Tengku Kamal nak jumpa Tengku. Dah dua tiga kali dia call. Mungkin ada hal yang betul-betul urgent."
Tengku Zarif masih dengan muka bersahaja. Langsung tidak terkesan dengan bicara setiausahanya.
"Tengku..."
"Ya, ya. I akan jumpa dia nanti," cantas Tengku Zarif. Sebelah tangan memberi isyarat agar Linda berambus dari hadapannya.
Linda melepaskan keluhan dan mengangkat kaki. Sebelum menutup pintu, matanya menangkap Tengku Zarif yang kembali bercakap di telefon. Kepala Linda tergeleng sendiri.
TERUJA.
Itulah yang paling sempurna untuk menggambarkan perasaannya sekarang. Sungguh dia tidak menduga ayah yang selama ini tidak pernah membenarkan dia pergi jauh, akhirnya memberikan kebenaran. Bahkan, lelaki separuh umur itu menyerahkan sedikit wang saku.
Ah, ayah! Dalam tegasnya dia, sangat menyayangi Zalia. Justeru, Zalia berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh di Kuala Lumpur. Biar ayah dapat merasa sedikit wang hasil titik peluhnya. Biar ayah berasa bangga kerana membesarkan dia selama ini walaupun tanpa seorang isteri di sisi. Dia mahu buktikan bahawa walaupun dia tidak berpelajaran tinggi, tetapi dengan usaha yang bersungguh-sungguh, pasti dia juga boleh berjaya. Sama seperti sahabat sekolahnya, Natasha yang kini bekerja di sebuah hotel terkemuka. Dia mahu jadi seperti Natasha. Berpakaian cantik dan berjenama, berkereta besar.
"Sha, terima kasih sebab bagi aku peluang ni. Aku janji akan kerja elok-elok."
Natasha yang sedang memandu tersenyum.
"Isy, kau ni. Dah sepuluh juta kali kau cakap benda sama."
Gelak halus terlepas dari mulut Zalia.
YOU ARE READING
SYURGAKU TAK SEMPURNA (DIADAPTASI DARI DRAMA)
General FictionTajuk: Syurgaku Tak Sempurna (Diadaptasi dari Drama) Penulis: Sara Aisha Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-039-7 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017