Bab 3

3.4K 37 0
                                    

"INI beg siapa?"

Zalia yang sedang mengelap meja makan, kejur segenap tubuh. Lewat ekor mata, dia melirik kepada sebuah beg pakaian yang dipegang oleh Zairul.

Itulah beg pakaian yang dia bawa dari rumah tumpangan. Beg yang dia sorok di bahagian belakang kafe, dan dikatup dengan kotak. Fikirnya, beg tersebut tidak akan begitu mudah ditemui.

Semalam dia sudah mendaftar keluar dari rumah tumpangan yang disewa. Kalau diikutkan hati, dia memang ingin terus tinggal di situ. Tetapi apakan daya, wang pemberian ayah sudah tidak cukup untuk membayar sewa.

"Ini beg siapa?"

Nada suara Zairul kedengaran semakin tegas. Lambat-lambat Zalia berpaling kepada Zairul dan mengangkat tangan. Wajah bosnya yang tidak beriak, membuatkan bulu romanya meremang.

Tolonglah jangan pecat dia!

"Ikut saya ke pejabat." Pendek arahan Zairul, tetapi sudah cukup untuk membuatkan Zalia terkedek-kedek membuntuti.

Seusai menempatkan diri di dalam pejabat, Zairul memberi isyarat agar Zalia duduk. Teragak-agak Zalia menarik kerusi dan mengambil tempat duduk bertentangan. Matanya sempat menangkap beg pakaian yang diletak di atas meja.

"So, tell me. Apa yang dah jadi? Kenapa beg pakaian awak boleh ada di celah-celah barang kafe di stor?"

Dalam-dalam Zalia menggali nafas. Mulutnya dibuka dan akhirnya dia menceritakan semuanya. Daripada perihal rumah tumpangan hinggalah perihal ketiadaan wang. Bukan niatnya untuk meraih simpati, tetapi saat ini dia perlu jujur. Cuba berbohong cuma akan lebih menyusahkan!

Dengan setiap patah kata yang keluar dari mulutnya, Zairul cuma mengangguk-angguk. Muka tetap kosong hingga menyukarkan Zalia untuk membaca emosi yang tersirat. Marahkah dia? Percayakah dia? Atau Zairul fikir dia cuma mengambil kesempatan?

"So, awak memang tak ada tempat tinggallah sekarang?" soal Zairul sebaik sahaja Zalia habis bercerita.

Cepat-cepat Zalia mengangguk kepala. Bersungguh sekali.

"Habis tu, awak plan nak tinggal di sini?"

Sekali lagi Zalia mengangguk.

"Kat belakang tu?"

Angguk.

"Kat stor?"

Angguk.

Zairul terdiam. Kepalanya digeleng berkali-kali. Wajah sugul Zalia dipandang lama.

"Macam nilah..."

Zalia melangut muka. Mata terkelip-kelip mendengar apa yang bakal keluar dari mulut bosnya. Tolong... Tolong jangan hambat dia pergi. Dia sudah tiada tempat lain yang boleh ditujui.

"Di belakang tu, ada satu bilik kosong. Awak boleh duduk situ."

"Huh?" Mulut Zalia melopong. Dia tidak salah dengar, bukan?

"Awak boleh tinggal di bilik belakang tu," ulang Zairul.

"Biasanya saya yang duduk situ kalau tak balik rumah. Tapi awak tinggallah kat situ buat sementara waktu, sampai awak dapat gaji untuk cari bilik sewa."

"Betul ni, encik?!" Nada suara Zalia ternaik. Matanya bulat dan bercahaya. Rasa gembira membuak-buak.

Zairul tergelak halus.

"Yalah. Takkanlah saya nak biarkan awak tinggal di lorong belakang? Tak pun di stor? Awak ni suka buat benda bukan-bukanlah, Zalia."

"Terima kasih, encik. Terima kasih sangat-sangat!" Berulang-kali Zalia mengucap terima kasih. Seluruh hati memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.

SYURGAKU TAK SEMPURNA (DIADAPTASI DARI DRAMA)Where stories live. Discover now