Bab 4

3K 37 0
                                    

"APA Lia cakap tadi?"

Dalam-dalam, Zalia menarik nafas dan mengulang cerita. Dia sekarang berada di kampung. Semalam Zairul tiba-tiba memberinya cuti. Ah, baik sungguh bosnya itu. Entah bagaimana mahu membalas budi.

"Kenapa Lia tak balik terus lepas lari daripada mereka?" Muka Zahid memerah garang. Kalau syaitan-syaitan itu ada depan mata dia, memang sudah lama dia pancung mereka!

"Lia malu, ayah. Lia janji macam-macam pada ayah. Tapi..." Suara Zalia terhenti di sekerat jalan. Bawah bibir diketap kuat. Birai mata berkaca-kaca. Mengingati apa yang sudah berlaku dan betapa dia sudah kotor, membuatkan jiwa raganya perit. Bukan setakat perit, tetapi hancur lebur! Terasa dirinya sangat hina. Ya, perempuan jenis apa yang lemah benar untuk melindungi maruah sendiri?

Zahid meraup muka dan mengeluh. Melihat anak yang kesedihan, dia turut merasai tempiasnya.

"Lia patut balik terus malam tu. Ayah takkan marah." Lembut sekali Zahid memujuk. Anak yang sudah pun menangis tersedu-sedu ditarik ke dalam rangkulan. Ubun-ubun Zalia diusap lembut. Air mata jantannya sedikit-sedikit bertakung.

Kasihan... Kasihan sekali anakku!

BIBIR diketap kuat. Mata mencerlung tajam. Kalau diikutkan hatinya saat ini, ingin sekali dia belasah perempuan depan matanya sekarang. Selepas apa yang berlaku, berani dia muncul semula!

"Lia..."

"Apa kau nak daripada aku?"

"Aku... Aku..."

Natasha menggigit bawah bibir. Suaranya tersekat-sekat. Kepala menunduk memandang kaki kiri yang sudah tidak sempurna.

"Aku apa, Tasha?" Suara Zalia berkumandang lagi. Masih dengan intonasi yang keras.

"Aku... Aku nak minta maaf. Aku tahu aku bersalah."

"Memang pun."

"Tapi aku dah dapat balasannya, Lia," akui Natasha. Kepalanya sudah terangkat menatap muka garang Zalia. Air mata mengalir di pipi.

Zalia membatu. Matanya masih tajam memerhati rupa Natasha sekarang. Sudah seratus lapan puluh darjah berbeza daripada kali terakhir mereka bertemu. Tiada lagi Natasha yang cantik. Tiada lagi Natasha yang bergaya dan seksi. Yang tinggal cuma Natasha dengan muka yang berparut dan kaki yang tempang.

"Kau lihat rupa aku sekarang. Ini balasan aku atas apa yang aku buat pada kau, pada budak-budak lain. Aku, Elly dan Saiful kemalangan sewaktu mahu ke kelab. Elly dan Saiful meninggal di tempat kejadian."

Sesaat, mata Zalia terpejam. Mengingati Ellyna yang bertindak melepaskan dia, Zalia berasa sedikit terkilan. Tetapi Saiful? Huh, padan muka dia! Ya, Zalia sedar dia tidak sepatutnya berasa gembira dengan kematian orang lain, tetapi Saiful manusia jahanam yang memang patut mendapat balasan!

"So?" Akhirnya Zalia membuka mulut. Segenap muka tidak beriak. Sengaja menayang bahawa dia tidak peduli dengan apa yang berlaku kepada mereka, terutama sekali Natasha.

Kasihan? Huh, tidak mungkin!

"Aku tahu kau marah pada aku. Tapi, Lia... Aku benar-benar minta maaf," pujuk Natasha di celah-celah linangan air mata.

Zalia senyum sinis.

"Maaf? Senang kau cakap, kan? Kau tipu aku, Tasha. Kau perangkap aku! Dan disebabkan kau, jantan tak guna tu..." Suara Zalia termati di sekerat jalan. Bibirnya diketap kuat, mahu melawan sesaknya jantung. Setitik air matanya gugur, tetapi cepat-cepat Zalia mengesatnya. Di hadapan Natasha, dia tidak akan menunjukkan kelemahan. Tidak sama sekali!

"Sampai sekarang, aku masih ingat bau busuk dia. Sentuhan dia yang kotor. Suara jahat dia. Sampai sekarang, aku masih rasa betapa sakitnya apa yang dia buat pada aku. Kenapa semua ni jadi? Sebab kau, Tasha. Sebab kau!" Semakin lama, Zalia semakin beremosi. Jari telunjuknya dituding hampir menyentuh hidung Natasha.

SYURGAKU TAK SEMPURNA (DIADAPTASI DARI DRAMA)Where stories live. Discover now