DIA melihat baju yang tersarung pada tubuhnya. Rasa aneh terus menyapa diri. Baju yang diperbuat daripada kain lace dan disulami ribuan manik dan batu kristal di tubuhnya mengundang musykil. Langkah diatur menuju ke meja solek. Wajahnya dipandang di hadapan cermin.
"Apa semua ni?" tanya dia sendirian. Terkejut dia bila melihat pakaian di tubuhnya ketika ini. Dia memakai baju pengantin! Wajahnya pula disaluti mekap tebal!
"Reen, pengantin lelaki dah sampai, jom turun," panggil mamanya di muka pintu bilik itu.
"Cepat turun tau? Mama tunggu kat bawah. Yang lain dah tunggu Reen kat bawah tu," ujar Puan Roslia lagi yang cantik berdandan kemudian dia meninggalkan bilik itu.
Qaireena masih terpinga-pinga. Dia berpaling melihat keadaan biliknya. Dihias cantik dan kemas. Seperti bilik pengantin!
"Apa dah jadi ni?" tanya dia lagi.
Dengan rasa hairan yang semakin berlapis-lapis dalam kalbunya, dia melangkah keluar dari kamar tidurnya itu menuju ke tangga. Kedengaran keriuhan di aras bawah. Perlahan-lahan anak tangga dituruni dengan rasa harian yang bercampur-baur dengan debar.
"Reen... Cantiknya kau!" Elly muncul dengan pujian lalu menghampirinya.
Qaireena masih terkebil-kebil melihat saudara-maranya yang sedia duduk di atas lantai di ruang tamu sambil memerhatikannya. Kelihatan juga sembilan dulang hantaran tidak jauh dari situ.
Apa sebenarnya dah jadi pada aku ni? Tangannya ditarik perlahan oleh Elly. Dia dibawa ke pelamin kecil yang ada tidak jauh dari ruang tamu.
"Duduk sini, pengantin lelaki dah sampai tu," ujar Elly teruja sekali. Bibir dijuih ke arah pengantin lelaki di hadapan mereka.
Tanpa bantahan, Qaireena duduk bersimpuh di atas bantal khas yang dihias cantik di pelamin kecil itu. Lelaki yang memakai baju Melayu lengkap sedondon dengan warna bajunya tidak jauh dari situ dipandang lama. Lelaki itu sudah duduk bersila membelakanginya di atas bantal khas untuk pengantin lelaki yang berhadapan dengan tok kadi, membuatkan dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu.
Lidah terasa kelu untuk bersuara. Dia mahu menjerit tapi tekaknya bagai tiada, lidah terasa keras dan bibir bagaikan terkunci. Matanya terus tertancap pada lelaki bersongkok kemas itu. Siapa dia? Apa sedang berlaku sebenarnya ni? Dia hanya mampu berkata-kata dalam hati.
Seketika kemudian, lelaki bersongkok kemas itu perlahan-lahan menoleh ke belakang. Qaireena disapa debar menanti lelaki itu menoleh sepenuhnya ke arahnya. Dia tersentak terkejut bila lelaki itu tidak berwajah!
Terbuntang mata Qaireena melihat siling biliknya di sebalik gelap. Terkebil-kebil dia buat seketika dengan nafas deras dan detak jantung yang pantas. Dia bermimpi! Lelaki tanpa wajah itu muncul lagi dalam mimpinya selepas beberapa hari menghilang!
Buat seketika dia meredakan nafas kencangnya. Perlahan-lahan dia mencerna apa yang berlaku dalam mimpinya sebentar tadi. Potongan tubuh dan gaya lelaki tidak berwajah di dalam mimpi-mimpinya sebelum ini seperti dia pernah lihat di alam realiti. Tapi dia tidak pasti di mana.
Telefon pintar di atas meja kecil di sisi katil dicapai. Butang di sisi kanan gadget canggih itu ditekan. Menyala skrin telefon pintarnya seraya menyilaukan pandangan. Baru pukul 4.14 pagi. Masih terlalu awal untuk dia terus berjaga.
Telefon pintar kembali diletak di atas meja di sisi katil. Dia kembali mengelamun dan memikirkan semula tentang mimpi anehnya tadi. Aku pernah menikah ke sebelum ini? Tiba-tiba persoalan itu muncul dalam mindanya.
"EH, awal pagi ni kamu turun, Reen?" tanya Puan Roslia pada Qaireena yang tiba-tiba muncul di ruang dapur itu. Kebiasaannya, jika anak perempuannya itu mahu menolongnya di dapur pun, pukul tujuh pagi baru ke turun bawah. Tapi pagi ini, baru pukul 6.35 pagi, Qaireena sudah terpacul di dapur.
YOU ARE READING
JANGAN HILANGKAN DIA
Fiksi UmumTajuk: Jangan Hilangkan Dia Penulis: Hazel Jay Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-54-9 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017