♧Fasal Kedua♧

205 30 12
                                    

BELUM sempat sinar suria menyuluh tirai hari yang baru, Puteri Razia sudah pun bangkit dari tidurnya.

       Dia duduk di birai tempat beradu dengan sedikit mamai. Kakinya dibiar terjuntai tidak menyentuh lantai dan dihayun perlahan. Wajahnya sugul, keluhan hatinya berbisik, menambah keruh pada kejernihan pagi.

       'Haih... hari silih berganti tapi hidupku masih begini. Mahu sahaja aku terkurung di alam mimpi. Andainya aku seekor burung, tentu aku yang bertenggek di sangkar pemburu.'

       Tidak mahu menghancurkan sekelumit harapan yang masih tersisa, Puteri Razia bingkas bangun lalu berjalan mengarah ke jendelanya. Pintu jendela dikuaknya luas. Melihatkan butiran embun di pangkal daun pohon berbunga di luar, serta sekawan burung yang terbang bebas, sedikit sebanyak mengubat jiwanya yang gundah. Namun fatamorgana mindanya lesap dirobek bunyi dentingan antara dua besi di halaman belakang istana.

       Panglima Bima, ketua prajurit penjaga istana sedang beradu pedang dengan seorang lagi prajurit di hadapannya. Masing-masing memasang kuda-kuda sambil bilah tajam itu dihayun rambang menghantar amaran kepada seteru. Memang kini waktu bagi mereka melakukan rutin memanaskan badan yang dilakukan setiap awal pagi.

       Padang halaman belakang istana yang luas dan tandus itu ditenung Razia lama. Ya, embun daun yang subur serta kawanan burung yang dilihatnya tadi, hanyalah pemandangan di seberang tembok istana di luar sana sahaja. Di kawasan yang pernah diintainya beberapa kali sewaktu kecil dahulu bersama tabib istananya.

       Menerima akan realiti hidup yang berbalik kepada sedia kala selepas malam semalam, dia menghela nafas berat. Razia melabuhkan punggungnya di bingkai jendela, manakala kakinya disilang panggung. Dia memandang langit yang luas terbentang di sebelah kirinya dan siling kamarnya yang bercat emas di sebelah kanan bersilih ganti. Dia yang mengelamun terbuai emosi mula menzahirkan bisikan batin ke dua bibir merahnya.

"Duhai indah panorama pagi,
Terasa menusuk ke sanubari,
Cergas kental sinaran sang mentari,
Untuk memulakan keindahan hari."

"Burung tiung berkicau riang,
Membawa alunan irama dendang,
Namun apa gunanya sayang,
Jiwa terbang jasad terkurung seorang."

"Langit biru dijunjung kami,
Bersama awan yang juga bersemi,
Apa dayanya si duhai hati,
Resah selalu namun tiada yang mengerti-"

TOK! TOK! TOK!

         Ketukan di pintu menghentikan syair Razia. Dia turun dari tempat labuhan punggungnya lalu beralih duduk ke katilnya semula. Persalinan yang sedang dipakai disepai beberapa kali cuba menghilangkan kedutan.

        "Masuklah, pintu tidak berkunci"

         Tombol pintu dipulas dari luar, memunculkan wajah seorang dayang yang berpakaian serba perang. Wanita muda itu menunduk sembah memberi hormat sambil tangan kanannya dilekapkan ke dada.

         "Ya dayang? Ada apa?"

        "Ampunkan patik mengganggu di awal waktu. Tuanku raja menitahkan tuan puteri untuk datang menghadap ke kamar baginda. Tuanku mahu bertemu segera," pesan dayang itu.

        'Hmm? Pagi-pagi lagi ayahanda sudah panggil menghadap. Ada apa ya?'

        Dayang Kaira, dayang yang menyampaikan pesan itu hanya berdiri memberi si puteri masa untuk menebak. Ikutkan hati Razia, dia mahu saja mencari akal untuk dijadikan alasan melarikan diri dari perlu menghadap. Jantungnya berdegup kencang dihurung pelbagai andaian yang menerjah, kebanyakannya teori-teori buruk sahaja. Katalah dia ni cuma paranoid atau apa, masih tidak mampu menghalang tidak sedap hatinya.

WHITE AURAWhere stories live. Discover now