Bab 13

2.3K 23 0
                                    

Ketegangan membuak-buak hingga ke tulang hitam. Zalia masih dengan muka keras tanpa sedikit pun memandang ke sebelah. Dia tahu Tengku Zarif asyik-asyik menjeling kepadanya. Tetapi dia buat tidak peduli.

Kalau tidak kerana Jun yang memujuk supaya memberi peluang kepada Tengku Zarif untuk menjelaskan, memang tidak ingin dia berada di sini sekarang. Di ruang yang sama dengan lelaki yang sudah memperkotak-katikkan hatinya.

"Zalia, saya betul-betul tak tahu apa-apa tentang majlis pertunangan tu." Sayup-sayup suara garau Tengku Zarif menjamah telinga.

Bibir Zalia menyenget sinis.

"Jadi, betullah Tengku akan bertunang?"

Tengku Zarif mendiam sebentar. Berkira-kira sama ada mahu berbohong atau berterus terang. Sudahnya...

"Mungkin. Saya belum sempat jumpa mummy saya lagi. Tapi percayalah cakap saya, Lia. Kalau pun betul apa yang Zairul cakap, saya takkan terima."

Dia membuat keputusan untuk menjadi jujur. Pembohongan cuma akan mengeruhkan keadaan.

"Tak jumpa mummy awak? Anak jenis apa yang tak jumpa emak sendiri sampai berhari-hari? Atau awak tak reti untuk call emak awak sendiri?" perli Zalia langsung tidak percaya dengan apa yang didengar.

Sekali, Tengku Zarif melepas nafas. Rasa geram menyelinap masuk ke dalam diri. Tetapi ditahan rasa itu. Zalia sedang marah. Dia tidak boleh melawan kemarahan dengan kemarahan.

"Awak tahu, kan? Saya tak tinggal dengan parents saya. Kalau tinggal pun, bukan boleh selalu jumpa. Daddy busy dengan kerja. Mummy dengan persatuan dia. Sampaikan call pun selalu tak berjawab."

Zalia mendengar dengan teliti. Nada suara Tengku Zarif kedengaran jauh sekali. Dia selalu mendengar bahawa orang kaya cuma pentingkan kekayaan dan selalu mengabaikan keluarga sendiri. Mungkin benar kata-kata itu. Tanpa dapat ditahan, perasaan kasihan menyusup masuk dalam hati. Lalu dia berpaling kepada Tengku Zarif.

"Kalau betul Tengku cakap yang semuanya dah ditentukan, boleh ke Tengku tolak? Apa reaksi keluarga Tengku nanti?"

"Itu yang saya tak tahu dan saya tak peduli. Yang pasti, Fariena kawan saya dari kecil. Saya tak pernah ada apa-apa perasaan terhadap dia. Saya dah anggap dia macam adik. Takkanlah saya nak kahwin dengan dia?" Tengku Zarif menegaskan dengan penuh semangat.

Zalia diam. Jawapan untuk soalan itu cuma ada pada Tengku Zarif. Mampukah dia melawan kehendak keluarga? Atau dia mahu jadi anak yang membuang keluarga demi seorang perempuan?

Ironinya, dia yang menjadi perempuan itu.

"Kita jumpa ibu bapa saya, nak?" Tiba-tiba Tengku Zarif menyuarakan hasrat. Zalia tersentak kuat.

"Saya kenalkan awak dengan mereka."

"Saya..." Lidah Zalia terkelu. Tidak tahu reaksi apa yang patut diberi. Mereka sendiri tahu apa yang sedang berlaku. Takkan mahu keruhkan lagi keadaaan?

"Zalia, dengar tak?"

"Saya fikir dulu, boleh? Saya tak nak nanti keluarga awak cakap saya nakkan awak sebab harta. Kita tak setaraf. Tengku sedar hakikat itu, kan?"

"Cinta tak kenal pangkat atau darjat. Saya cintakan awak, Zalia. Cuma awak seorang." Laju dan tegas Tengku Zarif menjawab. Tiada kompromi.

Zalia mendiamkan diri dan berpaling muka ke luar. Pemandangan malam yang terbentang tidak langsung menenangkan hati. Semuanya kelam seperti kelamnya hati dia sendiri.

SUAMI yang sedang sibuk dengan kerja, dipandang sekilas. Kelihatan beberapa fail berterabur di atas meja. Tengku Zaharah menghampiri dan meletakkan secawan kopi. Dia perasan suaminya mengerling sedikit kepadanya, sebelum kembali memberi perhatian kepada kertas di tangan.

"Saya nak beritahu yang kita akan masuk meminang Fariena dua minggu lagi," tutur Tengku Zaharah sebaik sahaja menjatuhkan duduk di atas sofa.

Gerak tangan Tengku Kamal kaku sebentar. Kertas dan pen diletakkan di atas meja. Kemudian dia memusing badan menghadap isterinya.

"Awak pasti dengan apa yang awak buat ni?"

Dahi Tengku Zaharah serta-merta berkerut.

"Kenapa pula tanya soalan macam tu? Mestilah saya pasti. Semua dah dirancang pun."

"Awak pasti Zarif dan Fariena setuju?" soal Tengku Kamal lagi.

"Fariena setuju. Saya dah bincang dengan dia."

"Zarif?"

"Itu awak janganlah risau. Pandailah saya pujuk dia."

Tengku Kamal diam seketika. Ingatannya menerawang kepada anak lelaki yang cuma sekejap-sekejap ditemui di pejabat. Tengku Zarif itu tidak habis-habis sibuk. Kalau sibuk dengan urusan kerja, tak apalah! Ini tidak, selalu sangat hilang entah ke mana. Kalau muncul pun, dengan rupa yang berseri-seri. Sengih memanjang. Macam rupa orang tengah bercinta.

"Entahlah, Zaharah. Saya rasa Zarif tu ada girlfriend."

"Memanglah dia ada girlfriend. Farienalah girlfriend dia. Apalah awak ni." Acuh tak acuh Tengku Zaharah membalas.

"Awak pasti? Bukan orang lain?"

"Isy, apa awak merepek ni? Malaslah saya nak cakap dengan awak," tempelak Tengku Zaharah. Apalah yang tidak kena dengan suaminya malam ini? Pelik!

Sesudah itu, dia terus bangkit dan membawa diri keluar dari bilik bacaan. Namun, tetap juga Tengku Kamal mendengar bebelannya dari kejauhan. Tengku Kamal menggelengkan kepala.

ZALIA pusing ke kanan. Kemudian ke kiri. Balik semula ke kanan.

"Aishhh!!!" Dia menjerit seraya bangkit dari perbaringan. Kepalanya yang berserabut digosok berkali-kali.

"Saya cintakan awak, Zalia. Cuma awak seorang."

"Jom jumpa keluarga saya."

Kata-kata yang dituturkan oleh Tengku Zarif tiga hari lepas tidak henti-henti berdengung di telinga. Lantas menghadirkan rasa hangat. Ya, dia tidak boleh membohongi diri sendiri. Hatinya sedikit terkesan mendengar semuanya. Lebih-lebih lagi apabila Tengku Zarif menuturkannya dengan rupa yang tampak ikhlas. Lelaki itu benar-benar mahu mengahwininya.

"Awak nak percaya pada siapa sekarang?"

Kali ini, suara Jun pula yang menerpa. Itu yang dikatakan oleh Jun saat mereka berdua ternampak kelibat Fariena keluar dari bilik pejabat Zairul. Kata Jun, ada kemungkinan besar Fariena berpakat dengan Zairul. Tapi untuk apa? Untuk memisahkan dia dan Tengku Zarif?

"Fariena tu dah lama sukakan Tengku Zarif. Sekali tengok, saya dah tahu."

Bagaikan mengerti persoalan yang bermain dalam benak, tutur kata Jun sekali lagi terngiang di telinga. Zalia meraup muka. Rasa serba salah membelenggu diri. Kalau diikutkan logik otak, dia patut menolak Tengku Zarif. Ya, mereka bagaikan langit dan bumi. Mana mungkin dapat bersama. Tapi kata hati, cinta tidak mengenali darjat. Jadi, apa yang patut dia buat sekarang?

Perlahan-lahan Zalia memejam mata. Sebelah tangan dibawa ke dada, cuba merasai degupan jantungnya.

Ya Allah Ya Tuhanku, bantulah hamba-Mu ini. Aku benar-benar buntu.

Beberapa ketika dalam keadaan begitu, Zalia membuka matanya semula. Renungannya berbias semangat baru. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia akhirnya mengambil telefon bimbit.

"Zalia..."

Suara garau itu berkumandang di talian bertentangan.

"Tengku..."

"Ya..." Ada getaran yang kedengaran dalam suara itu. Bagaikan gentar dengan apa yang bakal didengari.

"Saya setuju untuk jumpa keluarga Tengku."

SYURGAKU TAK SEMPURNA (DIADAPTASI DARI DRAMA)Where stories live. Discover now