Bab 14

2.5K 26 0
                                    

RUMAH banglo milik Tengku Kamal tersergam indah di atas bukit. Dengan rekaan ala-ala Inggeris, hiasan indah dan berjenama, segala-galanya tentang rumah ini menggambarkan kemewahan dan keagungan. Namun saat ini, keagungan itu bagaikan retak menanti belah. Semuanya gara-gara berita yang baru disampaikan oleh Tengku Zarif.

"Apa Zarif cakap tadi? Cuba ulang balik." Dengan suara yang tertahan-tahan cuba bawa bertenang, Tengku Kamal menitip bicara. Matanya sekejap-sekejap ditala kepada anak lelaki dan wanita yang sedang menekur di sebelahnya.

"Zarif nak kahwin dengan Zalia."

"No! Tak boleh! Mummy takkan benarkan!" Tengku Zaharah yang sedari tadi membisu, tiba-tiba bangkit dan menempelak.

Dia memandang Zalia dari atas ke bawah.

"Budak pelayan kafe, budak kampung macam ni tak layak untuk Zarif. Dia bukan daripada kalangan kita."

"Macam mana..."

"Macam mana mummy tahu dia pelayan kafe?" cantas Tengku Zaharah. Dia senyum sinis di sekerat jalan.

"Mummy nampak di mall hari tu, masa nak belikan cincin untuk bakal menantu mummy, Fariena. Mujur Fariena halang. Kalau tak, di situ juga mummy ajar dia."

Pedih hati Zalia mendengar bicara Tengku Zaharah. Nampak sangat Tengku Zaharah cuma memandang Fariena sebagai bakal menantu.

Tengku Zaharah mengalih pandang kepada Zalia.

"Eh, bukan main lagi kau menggedik dengan anak aku, kan?"

"Mummy!" Naik nada suara Tengku Zarif. Tetapi langsung tidak dipedulikan oleh Tengku Zaharah. Bahkan, dia menyambung lagi.

"Kau datang KL ni, memang dengan cita-cita nak cari lelaki kaya, kan?"

Bergenang mata Zalia mendengarkan bicara Tengku Zaharah. Tangannya dikepal rapat-rapat. Mahu menenangkan jiwa yang rawan.

"Tak. Saya bukan macam tu." Antara dengar tak dengar, Zalia menjawab.

Tengku Zaharah menjuih bibir.

"Oh, please. Tengok kau pun, aku dah tau. Jampi apa yang kau pakai pada anak aku, hah?"

Buntang mata Tengku Zarif mendengar soalan yang dipantulkan oleh ibunya.

"Mummy, apa ni? Kenapa cakap macam ni?"

Sekilas, dia mengerling kepada Zalia. Gadis itu sedang mengetap bibir yang terketar-ketar. Ada takungan di birai mata. Hati Tengku Zarif diserbu rasa bersalah. Dia bawa Zalia untuk mengahwininya, bukan untuk memalukannya!

"Betul cakap mummy, Zarif. She's not one of us."

Kepala Tengku Zarif automatik terkalih kepada Tengku Kamal. Tidak percaya dengan apa yang baru diucap oleh bapanya.

Perlahan-lahan, Zalia bangun daripada duduk. Nafas ditarik sedalam mungkin. Air mata yang menanti masa untuk jatuh, ditahan sedaya mungkin. Walau lebur hatinya dengan segala macam layanan sampah, dia tidak akan membiarkan diri menangis di hadapan manusia-manusia seperti ini. Tidak sama sekali!

"Saya minta maaf jika Tengku berdua fikir saya nak kikis harta anak Tengku. Saya bukan macam tu."

Seusai menyudah kata, Zalia terus melangkah pergi. Tidak sekali pun dia berpaling ke belakang.

Sekelipan, Tengku Zarif bangkit. Matanya menjegil kepada kedua-dua ibu bapanya.

"What is wrong with you guys?!"

Tengku Zaharah pantas menghampiri anaknya dan memegang lengan Tengku Zarif.

"Zarif, dengar cakap mummy dan daddy. Kami hanya mahu yang terbaik untuk Zarif."

SYURGAKU TAK SEMPURNA (DIADAPTASI DARI DRAMA)Where stories live. Discover now