"Hang ni siapa? Mana macam mana tau rumah kami? Awat cari Aisya?" Bertubi-tubi soalan dari Pak Azam menikam Syah. Rokoknya dinyalakan, mungkin fikirnya boleh menyelesaikan keserabutan fikirannya tentang segala yang berlaku kebelakangan ini. Wajah anak kecil seiras Aisya, dan kini tiba-tiba seorang lelaki mencarinya pula disini.
"Abang ni pun...Sat la bagi la dia minum dulu, tanya macam peluru aih."Tegur Mak Zah pada suaminya. Fikirnya hanya dia yang lebih rindu dan mahu tahu tentang Aisya, tapi jelas benar Pak Azam lebih bersemangat.
Sayu hatinya apabila terimbas kenangan mereka tiga beranak.
"Eca sayang abah ka mak?" Tanya suaminya sambil menjeling nakal padanya. "Eca cayang abah, abah! Abah!" Itu sahaja jawapan anaknya itu, tapi dia tidak pernah ambil pusing pun. Memang Aisya lebih manja dengan abahnya.
"Hmmm." Dehem anak muda dihadapan mereka itu menarik Mak Zah kembali ke realitI.
"Saya Syah, pakcik, makcik. Aisya kerja dengan saya masa kat KL, saya datang sini pun sebab alamat kampungnya di Perlis masih tidak ditukar dalam IC dia." Syah menghulurkan sekeping kertas yang bercetak fotokopi kad pengenalan Aisya pada Mak Zah.
"Dia ada cakap dengan saya dia nak balik kampung, sebab tu saya cari dia kat sini. Aisya tak ada ke pakcik?"
"Aisya cakap dengan Syah dia balik kampung?" Tanya Mak Zah, suaranya bertukar serak. Hatinya menyebu.
"Aisya tak kesini?" Syah menyoal kembali, wajahnya kelihatan cemas sekali.
Mak Zah menggeleng, kemudian mengalihkan pandangannya menghadap suaminya. Tangan Pak Azam digenggam erat Mak Zah.
Syah kelu terdiam, dia menjadi buntu, apakah yang sebenarnya berlaku dalam keluarga Aisya? Kenapa Aisya menipunya dengan mengatakan dia pulang ke kampung? Mana Aisya pergi? Bertalu-talu pertanyaan mengasak jantungnya, air milo suam yang dibancuh Mak Zah dihirupnya laju.
"Syah." Serentak Mak Zah dan Syah memandang Pak Azam yang tiba-tiba bersuara.
"Aisya ada anak?" Mata Pak Azam membulat menunggu jawapan Syah, api rokoknya dipadam, dan diletakkan baki rokok yang tidak dihabiskan itu diletak pada ashtray dihadapannya.
"Pakcik tak tahu?" Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Persoalannya itu mengundang kesedihan Mak Zah yang akhirnya tidak dapat mengawal perasaan. Syah merasa serba salah, sungguh dia tidak tahu apa yang telah terjadi dengan keluarga itu.
"Sudah 10 tahun Aisya tak balik sini." Sayu suara Pak Azam, belakang isterinya digosok perlahan.
"Saya minta maaf pakcik, makcik. Ya, Aisya ada seorang anak lelaki. Aqif namanya, umurnya 10 tahun."
"Allahuakbar, Zah! Aqif! Aqif! Abang ingat nama budak tu. Aqif! Aisya ada kat sini Zah. Abang tahu dia duduk kat mana, Aqif ada bagitau pagi tadi..." Suara Pak Azam separuh terjerit. Mak Zah terlopong.
"Alhamdulillah. Makcik, pakcik, kita kena cari dia cepat sebelum.."Syah mengetap bibirnya, ah nasib baik tidak terlepas cakap.
"Sebelum apa?" Mak Zah menyambung. Syah tidak keruan. Pandangan Pak Azam dan Mak Zah kini menikam jantungnya. Dia tidak sanggup menipu dan mengecewakan dua orang tua Aisya itu, lagi pula dia perlu cari Aisya segera.
Nafasnya ditarik dalam-dalam.
"Eermmm...Sebelum terlambat... Aisya ada tumor dan dia perlu dibedah segera.."
Kenyataan itu bagaikan petir yang memanah kuat hati Pak Azam dan Mak Zah petang itu.
"Jom!"
***
Aisya membuka matanya, ubat tahan sakit yang ditelan sebelum tidur tengah hari tadi benar-benar berkesan. Dia bangun dan bingkas membersihkan dirinya, terasa segar kembali apabila curahan air pancuran membasahi tubuhnya.
"Ibu dah okay?" Aqif tersenyum lebar apabila melihat Aisya yang sudah selesai mandi duduk disebelahnya yang sedang menonton Astro Ceria. Dia menghulurkan remote supaya ibunya boleh menukar kepada siaran lain, tapi Aisya menolak dan membuat isyarat supaya teruskan menonton.
Rambut anaknya dibelai perlahan. Aqif bersandar pada ibunya sambil menonton rancangan kartun itu, tersenyum pada luaran namun hatinya menangis pilu. 'Aqif tahu ibu tak okay. Ibu jangan tinggalkan Aqif sorang-sorang lagi...' Rintihnya.
Ding dong.
Bunyi loceng itu mengejutkan Aisya dan Aqif. "Siapa datang tu? Aqif pergi mengendap kejap." Bisik Aisya, tertanya-tanya siapa pula yang datang petang-petang begini. Hanya Memey yang tahu dimana mereka dua beranak menginap.
Dia kembali ke biliknya mencari tudung sarung, mudah dan cepat. Aqif berlari ke biliknya.
"Ibu, Aqif tak kenal la nenek tu siapa, tapi Aqif nampak macam ada tiga orang."
"Takpa-takpa, jom kita pergi tengok, makcik jual kerepek kot."
Aisya menekan suis pagar elektrik itu sambil mengintai dari sisi tingkap yang menghadap pagar itu.
Jantungnya bagai terhenti berdetak, saat melihat dua wajah yang paling dirinduinya itu sedang berdiri dihadapan pagar.
Aisya menampar pipinya kuat. Aqif tersentak.
"IBU! Kenapa Ibu?" dia memegang tangan Aisya. Pertanyaan Aqif dibiar kosong. Aisya bergegas membuka pintu dan berlari menuju ke arah emaknya. Aqif termangu kosong, tidak faham apa yang berlaku. Tidak berani keluar dan menyampuk hal ibunya, Aqif duduk memeluk lututnya sambil mengintai dari dalam tingkap.
Dia lihat ibunya memeluk seorang nenek tua. Mereka menangis. Eh itu atuk yang selalu mengajaknya masuk saf depan di surau. Aqif kenal atuk tu!
"Atuk?" Aqif berdiri di muka pintu.
Atuk itu menghampiri Aqif, lama dia menelek wajah polos Muhammad Aqif itu, tiba-tiba dia memeluk erat cucunya itu. Cucu yang dia tidak pernah iktiraf, tapi cucu yang dia sayang tanpa tahu siapa dan kenapa.
"Allahuakbar. Maafkan tokwan Aqif." Pipi Aqif dicium-cium.Tiba-tiba Aisya datang meraih tangan Pak Azam.
"Maafkan Aisya abah. Aisya rindu abah sangat... Maafkan Aisya derhaka abah...Terimalah Aisya..." Tangan tua itu dikucup hening, air matanya juga turut membahasahi tangan bapanya itu.
Pak Azam menarik tangannya, Aisya terkejut dengan perlakuan bapanya itu. Terus dipeluknya Aisya, Mak Zah pula datang memeluk Aqif yang masih tidak mengerti hal sebenar.
Kini terpadamnya ego seorang abah, dan terhapusnya derkaha seorang anak.
Syah yang memerhatikan dari jauh turut mengesat air matanya yang tumpah tanpa dia sedar.
***
"Eh kejaplah Kamal, tunggulah Sakinah sat."
"Aduh mak dah ajak dia sekali ke?"
Nenek Kalsom mengangguk, Ustaz Kamal tepuk dahi.
Dari jauh kelihatan Sakinah dengan baju kurung kedahnya, anggun sekali, sedang berjalan menuju ke arah kereta Ustaz Kamal.
YOU ARE READING
Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |
Romansa"Ustaz kata kasih ibu membawa kesyurga, tapi Aqif tak pernah rasa pun, Aqif nanti masuk neraka ke?"- Aqif. Tangisan Aisya yang tidak pernah lelah mengemis bahagianya sendiri. dan. Mungkinkah Aqif akan punya keluarga yang sempurna diakhir cerita? M...