"Terima kasihlah Syah bagi jumpa anak makcik balik." tutur Mak Zah terharu sambil memandang Syah yang sedang duduk disebelah Pak Azam.
Aisya segera melentokkan kepalanya pada bahu Mak Zah yang bersandar pada sebelah kanannya, manakala tangan kirinya masih memegang erat tangan anaknya, sungguh hatinya bahagia. Aqif masih tersengih riang, hatinya berbunga mekar setelah tadi diberitahu bawaha dia masih punya atuk dan nenek kandung.
Syah mengangguk dan tersenyum, "Bukan sebab saya makcik, Allah dah tentukan tarikh ini, saya cuma perantara sahaja."
"Syah, kenapa awak cari saya sampai kat kampung ni? Ada masalah ke dengan restoran." Tanya Aisya tiba-tiba, tangannya menghulurkan milo 3-in-1 suam yang dibancuhnya, maklumlah homestay, tiada apa hendak dihidangkan kerana dalam rancangannya makan malam nanti dia akan membawa Aqif ke gerai terdekat sahaja.
Syah meneguk perlahan milo suam itu, matanya mengerling pada Pak Azam yang disebelahnya seperti sedang berinteraksi. Pak Azam menganggukkan kepalanya.
"Aqif, jom ikut Uncle main kat luar." Syah bangkit dan menghulurkan tangannya pada Aqif. Aqif terpinga-pinga sebentar, kemudian menyambut huluran itu. Mereka beriringan keluar dari ruang tamu Homestay Melati itu.
Aisya mengerutkan keningnya, bingung dengan tingkah laku Syah itu, kemudian dia memandang emak dan abahnya meminta penjelasan.
Pak Azam bangun dari sofa bertentangan dengan Aisya dan isterinya itu, kemudian datang melabuhkan punggungnya di tepi Aisya. Kini Aisya diapit oleh emak dan bapaknya. Semakin laju denyutan jantungnya saat itu apabila wajah Mak Zah dan Pak Azam kelihatan sedang dirundung kepiluan dan seperti menahan beban yang dasyat.
"Eca..." Pak Azam menggenggam tangan anaknya, terlebur segala kemarahan yang dipura-purakan selama ini.
"Awatnya ni abah? Mak? Rindu kat Eca sangat la ni kan." Aisya pura-pura ketawa kecil, menyembunyikan kekalutan perasaannya.
"Eca...Awat Eca tak share dengan mak pasai sakit Eca...." Mak Zah masih kelihatan tenang dari raut wajahnya, tetapi suaranya bergetar tidak berjaya menutup kesedihannya.
Aisya kelu mengunci bibirnya rapat, bimbang empangan air matanya sendiri akan terpecah dihadapan orang tuanya.
"Kita pi berubat naa Eca..." Pak Azam menggoncang tangan Aisya, Aisya memandang wajah abahnya, mata abahnya berkaca.
Perlahan tangannya ditarik, Aisya menekup mukanya dengan kedua tangannya. Air matanya luruh lebat petang itu.
Mak Zah menarik anaknya itu bersandar di atas dadanya. 10 tahun kerinduan terhadap anaknya kini bukan berkurangan, malah semakin bertambah rimbun.
Aisya mendongak melihat wajah emaknya, kemudian mengalihkan wajahnya untuk melihat abahnya pula. Sedunya ditahan, air matanya diseka. Bukan cara begini dia mahu luangkan detik terakhir hidupnya bersama ibu-bapanya, mereka patut gembira, bukan menangis.
"Mak, abah. Belum tentu operation berjaya. Duit simpanan Eca, biarlah untuk Aqif, dia lebih perlukan jika Eca sudah tak mampu menjaganya nanti. Eca sudah puas mak, abah, cukuplah Eca dapat kemaafan, cukuplah Eca diterima sebagai anak lagi."
"Astaghfirullah hal Azim, Eca! Mak tak pernah ajar Eca berputus asa. Duit simpanan kami ada untuk menanggung semuanya. Aqif memang memerlukan duit simpanan itu, tapi selagi abah dan mak bernafas, Aqif tak perlukan duit tu Eca." Mak Zah merenung mata anaknya.
"Betul tu Eca, kita kena berubat..."Pak Azam memeluk anaknya, Aisya tewas lagi dengan airmatanya, kepalanya direbahkan pada bahu bapanya.
"Dah takmau reyau-reyau..." Pak Azam melepaskan pelukannya, air mata Aisya dikesat. Aisya menganggukkan kepalanya.
"Terima kasih mak, terima kasih abah, sebab terima Aisya...."
"Jangan, kami yang patut berterima kasih, sebab Aisya sudi balik dengan kami." Potong Mak Zah.
***
"Ibu.... Ibu......" Tiba-tiba Aqif muncul di muka pintu. Aisya menggamitnya untuk masuk ke dalam. Tetapi Aqif hanya menggeleng.
"Ustaz datang!" Terus Aqif berlari keluar semula.
'Ustaz mana ni? Takkan ustaz Kamal kot, mana dia tahu aku kat sini?' Aisya mengesat air matanya lalu bingkas bangun ke pintu.
Benarlah Ustaz Kamal dihadapannya kini, dia menggenyeh matanya beberapa kali. Benar, memang ustaz. Ustaz sedang bersalaman dengan Syah diluar.
Pak Azam turut keluar dan bersalaman dengan Ustaz Kamal. Ustaz Kamal kelihatan agak terkejut tetapi dapat mengawal perasaannya.
Aqif memeluk pinggang Ustaz Kamal, rindu benar anak kecil itu dengan Ustaz Kamal. Ustaz Kamal melutut dan memeluk anak kecil itu.
"Terima kasih Aqif tolong Ustaz." Bisiknya ditelinga Aqif.
Mak Zah yang turut keluar bersama Pak Azam mendapatkan emak Ustaz Kamal, bersalaman dan beramah mesra, biarpun dia tidak mengenali mereka.
Hanya Aisya masih berdiri kaku dimuka pintu itu.
Mak Zah dan Pak Azam menjemput emak dan Ustaz Kamal untuk masuk ke rumah. Bahu Syah dicuit Pak Azam, turut memanggilnya supaya masuk, tetapi Syah hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
Aisya membawa dirinya ke dapur, mundar mandir tidak keruan. Wajahnya dibasuh berkali-kali, kesegaran air petang itu tetap gagal membasuh keresahannya.
***
Syah keluar dari pagar Homestay Melati lalu bersandar pada dinding yang tersorok dari pandangan orang dalam rumah. Dia meruap wajahnya beberapa kali. Matanya dipejamkan seperti menahan kepedihan yang berat.
Rasa bersalah menghimpit dirinya, kerana mengambil berat dengan Aisya dengan mengharap balasan cinta wanita itu. Jadi itulah Ustaz Kamal yang Aqif telah ceritakan padanya sewaktu dia menjaga Aqif dulu.
Itulah Ustaz Kamal yang mengembalikan keibuan seorang Aisya.
Dan itulah Ustaz Kamal yang menyempurnakan kebahagiaan anak kecil itu.
Betapa kerdilnya dirinya dibandingkan Ustaz Kamal dalam hidup Aisya dan Aqif.
'Aku harap kau bahagia Aisya. Mungkin bukan aku dalam takdirmu.'
Bibirnya menguntum senyuman, kali ini senyumannya ikhlas. Benarlah ikhlas dan redha itu adalah penawar segala kesakitan dalam hati.
Perlahan-lahan matanya dibuka kembali.
"HARGGGGGGG, KO SIAPA?" Terkejut Syah apabila saat matanya dibuka, wajah seorang gadis dekat sekali dengan wajahnya, dan mata gadis itu sedang merenung matanya. Dia memegang dadanya yang sakit, lebih sakit rasa terkejut ni daripada hilang awek oiii.
Gadis itu terkebelakang mendengar jeritan Syah, "Eh sorrylah awak, awak okay tak ni?"
"Okay, okay, saya okay."
"Betul ni? Saya tengok awak berkerut-kerut, ingatkan awatlah tadi. Fuhh nasib tak apa-apa." Gadis itu menghembus nafas lega.
Wajah Syah membahang, malu sungguh apabila ada orang ternampak dirinya dalam keadaan itu.
Gadis itu menghulurkan tangannya dan tersenyum saat Syah menyambut salamnya.
"Hai saya Sakinah."
***
YOU ARE READING
Izinkan Aku Bahagia | COMPLETED |
Romance"Ustaz kata kasih ibu membawa kesyurga, tapi Aqif tak pernah rasa pun, Aqif nanti masuk neraka ke?"- Aqif. Tangisan Aisya yang tidak pernah lelah mengemis bahagianya sendiri. dan. Mungkinkah Aqif akan punya keluarga yang sempurna diakhir cerita? M...