Mila masih cuba mencakar Azila. Maya dan Aishah beberapa kali hampir terjatuh. Tenaga Mila seperti tenaga lelaki. Harnani pula erat memeluk Azila yang masih belum mampu berhenti menangis.
"Kenapa dia nak saya cikgu?"
Harnani sekadar menggeleng kepala sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Malam ini, malam ketiga Mila dirasuk. Selama tiga malam tiada sepatah kata terluah dari mulutnya. Sama ada ketika bertenang mahupun ketika mengamuk. Mulutnya rapat. Hanya pandangan mata yang tajam memandang Azila penuh kebencian.
Kehadiran Ustaz Amin melegakan sedikit hati warden yang berkawal. Lalu dia memegang bahu Mila sambil membacakan beberapa ayat suci al-Quran. Sama seperti malam-malam sebelumnya. Mila terus rebah.
Mejar Khani, selaku pegawai tertinggi yang turut berada di situ segera memberi ruang kepada Maya dan Aishah bagi memimpin Mila untuk ke bilik rawatan.
Sementara mereka beriringan ke bilik rawatan, Harnani memandang semua ahli bilik penginapan Kulim.
"Mari sini semua. Berkumpul di tengah."
Peserta yang rata-ratanya masih trauma dan berada dalam keadaan menggigil membentuk bulatan sambil berpegangan tangan.
"Sebelum tidur pastikan kamu semua mengambil air sembahyang. Siapa yang boleh sembahyang, buat solat sunat. Baca 3 Qul, ayat Kursi. Peserta bukan Muslim, kamu amalkan apa yang ajaran kamu ajar. Buat. Pesanan tegas saya. Jangan ada sesiapa tarik rapatkan katil. Biarkan seperti ini."
Harnani berhenti memandang wajah setiap satu wajah yang tertunduk memandang jubin.
"Faham?"
Serentak mereka bersuara, "Faham cikgu."
Kemudian Azila yang menyertai barisan pelajar Muslim ke bilik air bagi mengambil wuduk. Harnani menantikan mereka semua kembali ke bilik, baru dia kembali ke bilik warden. Malam itu, tiada lena bagi mereka.
Sementara itu di bilik rawatan, Maya dan Aishah menahan ketar dan debar di hati. Kali ini hanya mereka berdua bersama Mila yang masih kerasukan.
Pandangan mata Mila yang tadinya keras dan tajam, kini mengendur. Namun kelopak matanya langsung tidak berkerdip. Pandangan mata Maya dan Aishah bertembung. Sedaya upaya mereka menyembunyikan rasa seriau dalam diri mereka.
"Ini nenek ya?"
Sapaan Aishah pantas dibalas nenek kebayan yang merasuk tubuh Mila mengangguk. Aishah memandang Maya. Maya mengetap bibir. Dia mengumpul tenaga untuk berkomunikasi.
"Kenapa nenek buat pada cucu ini. Nenek tak suka dia ke? Kesian dia."
Lalu kepala nenek kebayan sedikit mendongak.
"Aku suka dia ni. Dia budak baik. Aku suka tengok ramai cucu datang sini."
Tona suaranya mendatar. Duduk simpuhnya pun langsung tidak bergerak. Sungguh ayu dipandangan mata seorang manusia. Aishah dan Maya yang masih kekal duduk kiri dan kanan Mila hanya diam.
Nenek menyambung bicara, "Nenek suka mereka datang. Meriah tempat ini. Petang atau malam, nenek selalu datang tengok mereka."
Di bibirnya muncul sedikit senyuman. Maya dan Aishah spontan membalas senyum.
"Nenek tak kacau pun cucu-cucu semua. Nenek tengok saja. Nenek nampak dia ini. Dia ini baik orangnya. Nenek suka. Dia pun nampak nenek di tepi tasik."
Maya dan Aishah saling berpandangan. Kali ini Aishah pula menyoal dengan penuh berhati-hati.
"Nenek nak berkawan dengan dia ini dengan seorang lagi itu."
Spontan Maya bercekak pinggang.
"Tak boleh."
Nenek kebayan pantas menatap Maya tajam. Seperti mahu ditelannya Maya yang bertubuh gempal.
"Aku nak dia juga. Aku nak berkawan dengan dia juga."
Maya berkeras.
"Tak boleh. Kau tak boleh berkawan dengan dia."
Nenek kebayan mendengus kasar. Aishah masih bertenang. Dia membiarkan nenek kebayan menenangkan diri. Setelah beberapa saat, barulah Aishah menyambung soal siasat.
"Kenapa nenek nak bercakap dengan kami dan Mila sahaja?"
Nenek kebayan kembali menunduk. Gayanya persis gadis Melayu yang hidup ratusan tahun lalu. Jati diri seorang gadis yang penuh keayuan dan kesopanan. Tutur katanya teratur, lembut namun mempunyai ketegasan yang sukar digugat.
"Aku suka kamu bertiga sebab kamu tidak lari apabila ternampak aku. Kamu tidak takut dengan aku."
Jeda.
"Aku suka cucu-cucu yang ramai datang ke tasik ini. Setiap petang atau malam aku datang melihat telatah mereka. Aku tak kacau. Aku hanya tengok. Budak ini ada nampak aku di tepi tasik. Aku tengok dia dan cucu-cucu lain bermain. Dia tak lari. Dia baik."
Ternyata Maya telah penat duduk. Dia berdiri meregangkan otot.
"Habis itu kenapa nenek marah-marah? Kesian cucu ini. Dia sakit."
Nenek kebayan diam.
Aishah mencelah, "Nenek baliklah."
Suasana bilik rawatan sunyi. Hanya kedengaran libasan kipas dinding. Kedua mereka menanti jawapan daripada nenek kebayan.
Sementara itu suasana di luar bilik rawatan turut dingin dan waspada. Mejar Khani bersama Kapten Zack bersama beberapa orang warden lelaki dan perempuan sama-sama berjaga-jaga. Walau dalam hati mereka terdetik curiga, kenapa hanya Maya dan Aishah sahaja nenek itu mahu berkomunikasi.
"Aku yakin mereka ok."
Tiba-tiba Kapten Zack memecah sunyi. Mejar Khani melirik ke arahnya. Reaksi itu hanya sebentar. Saya, yang turut berada di dalam kumpulan mereka turut berdiam diri. Kemudian Kapten Zack memandang saya dan Harnani.
"Kamu berdua bolehlah balik ke bilik. Kawal mereka di sana. Jika ada apa-apa berlaku, maklumkan kepada kamu segera."
Saya dan Harnani akur. Kami beriringan ke bilik warden. Manakala Maya dan Aishah masih bersoal jawab. Selepas beberapa minit berdiam diri, nenek kebayan mendongak merenung dinding. Matanya bertukar merah.
"Aku benci benda kotor, busuk, hanyir."
Kemudian dia menderam.
Aishah dan Maya tersentak. Benda kotor? Busuk? Hanyir? Hanya satu perkara sahaja yang bermain di fikiran mereka. Hal-hal perempuan!
Dia mengulang kata, "Aku benci benda kotor, busuk, hanyir!"
Kemudian dia menambah, "Budak seorang lagi itu, aku benci dia! Dia bawa orang lain!"
Terbeliak kedua sahabat yang menahan gentar di hati.
YOU ARE READING
36 Cerita
Mystery / ThrillerKisah-kisah seram dan misteri yang dialami sendiri oleh penulis yang pernah tinggal di Tasik Chini selama 3 tahun. Kemunculan nenek kebayan, penunggu tasik, dua puteri, pokok bunga di batang pokok balak dan sebagainya. Kegilaan remaja yang suk...