Setia: #6

80 4 0
                                    


Bab 6

Jari-jemarinya mengetuk meja, memainkan satu irama yang tidak diketahuinya. Tindakannya itu lebih kepada sesuatu untuk menggambarkan keresahan dan kegelisahan yang dialaminya saat ini. Satu keluhan kemudian dilepaskan. Untuk beberapa hari ini, dia tidak senang duduk. Dia cukup tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku beberapa hari lepas. Dia sepatutnya sudah menjangka akan menerima layanan sebegitu.

Tentulah, selepas apa yang telah dia lakukan, tak mungkin Nia Sara mahu bertemu dengannya. Dia telah lukakan perasaan gadis itu di lubuk hati yang paling dalam. Paling dalam sehingga tidak ada peluang untuk sembuh.

Permulaannya, dia cukup gembira apabila Nia Sara bersetuju untuk bertemu dengannya walaupun kali pertama dia mendekati semula gadis itu, dia mendapat layanan dingin. Melihat cara Nia membalas mesejnya di FB Messenger hari itu sudah cukup untuk menjelaskan Nia yang sekarang ini bukan Nia yang dulu.

Skrin MacBook Pro di hadapannya diperhatikan sekali lagi. Profil Facebook Nia Sara diperhati lagi. Segala-galanya telah terjawab mengapa Nia Sara masih belum approve friend request darinya. Sebab pertama, gadis yang dijumpainya sebulan yang lalu bukanlah Nia Sara. Sebab kedua, Nia Sara masih lagi marah dan mungkin masih membencinya seperti yang gadis itu pernah tulis di blognya enam tahun yang lalu.

Sekali lagi Zafrill melepaskan keluhan. Jujur, dia tersangat kecewa dengan apa yang berlaku saat ini. Segalanya tidak berlaku seperti yang dirancangnya. Tapi untuk apa dia mahu kecewa jikalau apa yang dialaminya saat ini adalah dari kesilapannya. Semua yang berlaku adalah disebabkan sikap pentingkan diri sendirinya. Dan juga sikap egonya.

IPhone 6 di sebelah MacBook dipandang dengan rasa kosong. Hampir seminggu telah berlalu pada kali terakhir dia menghantar pesanan WhatsApp pada Nia Sara. Dan ia masih tiada balasan. Bukan setakat balasan mesejnya, panggilan darinya pun tidak mahu jawab. Itu pun jikalau benar nombor telefon itu adalah milik Nia Sara. Entah-entah ia adalah milik kawan Nia Sara yang tidak diketahui namanya itu.

Beberapa seketika kedengaran ketukan di pintu. Zafrill kerling ke arah gadis bertubuh kecil yang muncul di sebalik pintu. Dia perhatikan saja gadis itu mengambil tempat di hujung katil, berhadapan meja kerjanya.

"Abang ni macam tak okey je..." Zafira pandang abangnya. Dia sedar sejak kebelakangan ini, abangnya ini kelihatan muram.

"Abang okeylah..."

"Tapi adik perasan abang tak macam abang. Asyik memerap je dalam bilik. Abang keluar pun bila adik panggil. Abang ada masalah ke?"

Zafrill diam memikir. Mahukah diceritakan pada adiknya apa yang telah berlaku? Kepala akhirnya digeleng.

"Atau abang sebenarnya sakit?" Zafira masih tidak berpuas hati. Risau jikalau penyakit lama abangnya muncul lagi.

Zafrill geleng kepala dengan senyuman. "Adik kan tahu kesihatan abang macam mana. Tak perlulah risau semacam."

Zafira senyum, sedikit lega dengan apa yang didengarnya. "Tapi kalau abang betul-betul rasa sakit, jangan lupa bagi tahu adik. Segera tahu!" Nadanya masih kedengaran risau seperti tadi.

Zafrill senyum lagi. "Ya, ya... Dah, adik tak payahlah nak risau sangat. Semuanya akan baik-baik saja."

Zafira senyum hambar. "Tapi apa yang membuatkan abang muram lately? Bab ni, abang jangan nak kelentong. Adik boleh nampak tahu."

Zafrill telan air liur. Zafira Rihanna sedikit pun tidak tahu tentang apa yang berlaku sebulan yang lalu. Selalunya dia akan ceritakan setiap yang berlaku dalam hidupnya pada adik kesayangannya tapi tidak hal itu. Hal yang dia telah membuat satu akaun Facebook yang baru semata-mata untuk 'mendekati' Nia Sara itu.

SetiaWhere stories live. Discover now