Di pejabat, Azlee menyemak fail yang tersusun di atas mejanya. Menyelesaikan dokumen yang perlu ditandatangan. Fikirannya menerawang teringatkan jandanya Nur Ameenah.
"Betul ke dia sanggup kerja dengan aku ni? Umi ni bukannya boleh percaya sangat." Teringat perbualannya dengan umi dan abahnya pagi tadi semasa mereka sekeluarga bersarapan bersama.
"Abang, Meen dah balik. Saya dah bagitahu abang kan?" Tanya Puan Sri Khalidah sambil menuangkan teh tarik ke dalam cawan suaminya. Cawan itu dihulurkan pada suaminya.
Tan Sri Osman mengangguk.
"Dia sihat ke?" Tan Sri Osman bertanya. Dicicip perlahan teh tarik di dalam cawannya.
Sudah lama bekas menantunya itu ke luar negara. Dia tidak pernah tahu apa yang terjadi antara anak dan menantunya. Tetapi mereka semua menganggap yang Nur Ameenah dan Khairul Azlee berjodoh tak panjang.
"Sihat. Makin cantik, putih gebu saya tengok dia." Puan Sri Khalidah mengerling anaknya yang selamba sahaja mengunyah mee goreng di dalam pinggannya.
"Dia bawa anak kawan si Afif tu balik. Comel sungguh budak tu bang. Macam mat saleh. Budak kecil tu ada alahan pada suhu sejuk. Kawan Afif tu kalau tak silap saya nama dia Tengku Akhbar. Dia minta tolong dengan Meen supaya jagakan Armel untuk dua bulan. Mula-mulanya saya ingatkan anak dia. Lee lah ni cakap kat umi kata anak Meen. Bukan anak Meenlah, Lee." Puan Sri Khalidah melabuhkan punggungnya dikerusi bertentangan dengan anaknya. Ditarik mangkuk mee goreng mendekat dan dicedok ke dalam pinggannya.
"Betul ke umi? Entah-entah nak tutup malu cakaplah anak kawan dia. Entah wujud ke tidak Tengku Akhbar tu." Khairul Azlee masih dengan wasangka buruknya.
Terjegil anak mata Puan Sri Khalidah mendengar tohmahan anaknya. Ada sahaja yang hendak dibangkang Khairul Azlee. Ada sahaja yang hendak dikutuk tentang Ameenah. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham. Memang tak pernah sebulu anaknya dengan Nur Ameenah.
Hubungan Azlee dan Ameenah memang renggang tetapi sejak berkahwin dahulu semakin lama hubungan anak dan menantunya semakin bertambah baik. Lebih-lebih lagi sejak Ameenah disahkan mengandung. Layanan yang diberikan Azlee memang terbaik sebagai seorang suami. Ameenah ditatang dan dijaga rapi. Tidak dibenarkan langsung untuk membuat sebarang kerja rumah.
Tetapi apa yang membuatkan Khairul Azlee kembali membenci Nur Ameenah? Puan Sri Khalidah sendiri tertanya-tanya. Puas dicungkil, tetapi Khairul Azlee tetap dengan pendiriannya. Hal rumah tangga mereka biarlah mereka yang selesaikan. Ya, selesaikan sampai bercerai-berai.
"Jangan nak merepeklah Khairul Azlee! Kalau Lee tak percaya, pergi rumah mak kamu tu tanya mak kamu sendiri. Mak kamu kenal siapa Tengku Akhbar. Tanya Tengku Armel, si kecil tu siapa daddy dia. Tak baik fitnah, Lee. Tuduh tanpa bukti. Tanpa saksi. Seksa kamu di akhirat nanti." Panjang lebar Puan Sri Khalidah berceramah pada anaknya. Nada suaranya juga tinggi.
Khairul Azlee menolak pinggan ke tepi. Mati seleranya mendengar bebelan uminya.
"Si Armel tu dah nak masuk 4 tahun. Sedangkan Ameenah tu ke Kanada baru tiga tahun. Fikirlah Lee. Umi harap sangat yang Lee berubah. Umi tak minta Lee terima Meen balik. Biarlah Meen bahagia dengan hidup dia. Cuma umi harap sangat yang perpisahan kamu dulu pun bukan sebab fitnah, bukan sebab kamu menuduh tanpa bukti sahih." Ujar Puan Sri Khalidah lagi.
Dupp...
Hati Khairul Azlee tersentap. Kata-kata uminya memang makan dalam. Naluri seorang ibu cukup faham dengan anak yang dikandung 9 bulan 10 hari, yang diasuh dari kecil.
"Mana ada... Lee fitnah..." Tersangkut-sangkut suara Azlee.
"Kalau itu cakap Lee, tak apalah. Umi bukan apa. Tak nak apa yang Lee cakap sekarang ni nanti makan diri. Makan, Lee. Tambah lagi. Tak sedap ke umi goreng mee?" Mangkuk mee goreng ditolak ke depan anaknya.
Khairul Azlee menggeleng.
"Dah kenyang umi."
Peristiwa itu sudah berlalu hampir 4 tahun lamanya. Memang sukar membuang kenangan antara dirinya dengan Nur Ameenah. Kenangan bersama saat suka dan duka.
"Sudah-sudahlah termenung Lee. Ni abah nak pesan. Berkawan dengan Tasya tu elok-elok sikit. Abah bukan apa, memang lumrah seorang lelaki kan suka tengok perempuan cantik. Tapi yang cantik di luar tak semestinya cantik di dalam. Lee fikir lah baik-baik. Abah dah banyak kali serempak dengan Tasya tu duk berkepit dengan lelaki lain." Nasihat Tan Sri Osman.
"Lee dengan Tasya tu kawan saja lah abah. Tak pernah terlintas pun dalam hati Lee nak peristerikan Tasya tu."
"Abah ingatkan saja, supaya Lee siasat betul-betul dulu. Jangan nanti pisang berbuah dua kali. Kahwin tak lama mana, bercerai lagi. Abah tak nak dengar dah."
Begitu diplomasi kata kata yang dituturkan Tan Sri Osman. Sebagai lelaki dia memahami naluri seorang lelaki. Tetapi lelaki selalunya silap membuat perhitungan.
"Hmmm... Baiklah abah." Balas Azlee acuh tak acuh.
"Pasal Meen tu biarlah Idah. Biarlah dia cari lelaki lain, yang layak untuk perempuan sebaik dia. Lee jangan terasa pula apa yang abah cakap ni. Abah tak cakap Lee tak baik. Tapi itulah. Bagi Lee kan Meen tu tak baik. Mata tua ni tengok Meen tu memang perempuan terbaik pernah abah kenal." Ujar Tan Sri Osman.
"Yelah abang. Idah tengok pun sama. Tak tahulah apa yang dicari oleh kamu Lee. Tasya tu, model pakaian muslimah tapi bersentuhan dengan bukan mahram tu boleh pula. Pakai jubah tapi melekat dekat tubuh. Tudung tu pula terbelit sana sini, leher pun nampak." Kepala digeleng teringatkan Tasya anak Datin Sheila.
"Biar dia lah umi." Malas Khairul Azlee menjawab. Pening kepala asyik nama Nur Ameenah yang meniti di mulut orang tuanya.
Sedikit sebanyak Khairul Azlee turut mengakui kebenaran kata-kata uminya. Memang jauh jika nak dibandingkan Tasya dengan Ameenah. Ameenah yang sejuk mata memandang, wajahnya yang lembut dan senyumannya yang manis. Tiga tahun tidak bersua, memang menimbulkan satu rasa yang sukar ditafsirkan.
'Aku ni kenapa teringatkan perempuan tu lagi.' Tangan naik mengetuk kepala perlahan.
"Ehh... Lupa pula Idah. Meen tengah cari kerja. Ada kerja kosong dekat mana-mana yang abang tahu tak?" Tanya Puan Sri Khalidah.
"Dia tengah cari kerja? Tak apalah nanti abang cuba tanya kawan-kawan abang. Kotlah ada jawatan kosong yang sesuai." Lembaran akhbar diselak. Mencari berita yang menarik untuk dibaca.
"Hah... Lee, ada kerja kosong tak dekat tempat kamu?" Puan Sri Khalidah bertanya pada anaknya pula.
Azlee sudah bangun berdiri, mencapai briefcase di atas kerusi disebelahnya. Berkerut keningnya, takkanlah umi nak Meen kerja dengan dia. Tentu banyak masalah yang akan timbul nanti.
"Hmm... Entahlah umi. Kalau ada pun takkanlah dia nak. Tengok muka Lee ni pun macam nak tak nak. Ni pula nak kerja bawah satu bumbung." Jawab Azlee perlahan.
"Meen yang tak nak tengok muka Lee ke, Lee yang tak nak tengok muka Meen?"
Khairul Azlee terdiam. Memikirkan jawapan yang sesuai untuk dijawab pada uminya.
"Lee tak payahlah fikir lama sangat semata-mata nak kelentong umi. Meen sendiri setuju bila umi cadangkan kerja dengan Lee. Janji kerja halal, duit masyuk tiap-tiap bulan. Dia tak mahu menyusahkan abang dia lagi. Tolonglah umi. Sediakan satu jawatan untuk Meen ya," pujuk Puan Sri Khalidah.
Khairul Azlee mengeluh.
"Dia kan ada PHd. Nak ke di berboskan Lee yang tak ada PHd ni?" Soal Azlee.
"Tengok tu. Tak habis-habis buruk sangka dengan Meen. Cubalah buang yang keruh ambil yang jernih. Ni asyik negatif saja dalam kepala Lee tu." Puan Sri Khalidah geram dengan anaknya. Selalu ada ayat untuk membangkang.
"Yelah. Lee usahakan. Tapi Lee tak janji tau. Lee pergi dulu lah umi, abah. Dah lewat ni. Pukul 9 kejap lagi ada meeting." Tangan umi dan abahnya disalam.
YOU ARE READING
HATI YANG TERCALAR (sudah terbit)
RomansaAzlee "Kau bukan perempuan yang sesuai untuk aku. Kau tu perempuan kampung, anak orang gaji rumah aku mana layak nak bergandingan dengan anak Tan Sri macam aku. Aku dah kutip kau jadi isteri pun dah cukup bagus. Ameenah ...