Hari Pertama
Herwin percaya, sejak akhir-akhir ini, dia mengalami aegri somnia. Mimpi-mimpi aneh yang tidak teratur, mimpi-mimpi buruk, mimpi-mimpi seseorang yang sakit. Di dalam mimpinya, dia melihat lautan luas, burung merpati berwarna biru dan matahari terbenam yang berubah menjadi sebuah jam dinding besar. Meskipun ia menakutkan, dalam diam, dia menyukai mimpi-mimpi itu, kerana baginya mimpi adalah dunia yang tidak pernah membosankan.
Ding dong.
Bunyi loceng pintu secara automatik membangunkannya dari fasa tidur yang tidak teratur. Loceng itu akan berbunyi setiap kali ada orang membuka pintu dan masuk ke dalam kedai. Dia melirik jam tangan digital murahan yang melingkar di pergelangan tangan kanannya. Pukul 3:15 pagi. Bagus.
Lelaki yang masuk tadi bertubuh agak tinggi. Dia mengitari rak-rak minuman soda sebelum berhenti di depan peti sejuk dua pintu yang mempamerkan minuman-minuman dalam tin dan botol yang sejuk. Dia membuka pintu kacanya, mengambil tiga tin terakhir bir yang dijual. Tin-tin itu dibawa ke hadapan Herwin sebelum diletakkan dengan kasar di atas kaunter juruwang sehingga salah satunya hampir terjatuh.
Tidak seperti kebiasaannya di mana Herwin akan mempromosikan barang-barang lain, dia berkata kepada lelaki itu, "Ini bir terakhir. Selepas ini kami tak akan jual bir lagi."
Pembeli itu mendongak, kemudian mengangguk.
"Kamu bernasib baik," lanjut Herwin.
Lelaki itu kelihatan tidak peduli. Herwin juga tidak peduli. Selepas mengimbas kod bar pada ketiga-tiga tin bir itu, Herwin menyebutkan jumlah yang perlu dibayar. Lelaki itu menyeluk saku, mengeluarkan segenggam wang kertas dan syiling yang bercampur-aduk, ada yang sudah renyuk.
Herwin menunggu dengan sabar sementara lelaki itu mengira wangnya. Ternyata tidak cukup, malah tidak sampai separuh pun dari jumlah yang perlu dibayarnya.
Ketika lelaki itu mahu mengembalikan dua tin bir, Herwin menahan. "Tak perlulah. Percuma." Dia memasukkan ketiga-tiga tin bir ke dalam plastik dan menghulurkannya kepada lelaki itu. "Kamu bernasib baik."
Lelaki itu berkerut tidak faham. Perlu dua saat untuk dia menimbang samada Herwin ikhlas atau tidak sebelum dia mengangkat bahu dan menyambut beg plastik yang dihulurkan. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus beredar menuju ke pintu kedai dan membuka pintu, membuat loceng automatik itu berbunyi lagi.
Herwin mengulang-ulang frasa itu. "Kamu bernasib baik... kamu bernasib baik..." berulang-ulang kali. Ketika dia sedang mencuba membatalkan transaksi di layar komputer, tiba-tiba dia merasa kepalanya ditarik ke belakang, menuju sebuah kegelapan yang maha pekat. Sekali lagi dia diserang penyakit itu. Penyakit tidur yang menggila yang tidak dapat dikawalnya. Rasa kantuk menariknya seperti seekor burung yang menyambar mangsa. Mula-mula dia merasa kakinya lemah sebelum tubuhnya melonglai dan kepalanya terhantuk ke kaunter juruwang, bunyinya kuat sekali.
Dan di dalam aegri somnia kali ini, dia melihat lelaki itu.
Mereka terumbang-ambing di dalam sebuah perahu yang diperbuat dari kulit penyu di tengah lautan biru. Sambil berpegangan pada pinggir kulit penyu itu, Herwin memandang mata lelaki itu.
Mata yang tadi bertembung dengannya ketika lelaki itu mendongak padanya. Sepasang mata yang membuatnya memberikan tiga tin bir itu secara percuma. Mata yang kelam dan pedih, dua mata dari sebuah jiwa yang terlihat resah. Di dalam mata itu Herwin lalu melihat buruj-buruj bintang yang berwarna indah, hijau-biru-jingga-putih, apakah itu bintang-bintang? Planet-planet? Ataukah itu asteroid-asteroid? Mereka bergerak-gerak perlahan seperti mahu menghipnosis. Semakin lama, bintang-asteroid di iris mata itu bergerak semakin cepat, tidak teratur dan saling berlanggaran antara satu sama lain sebelum semua yang dilihatnya hancur.
YOU ARE READING
(preview) SUNYI - sebuah novel Nuril Basri
AdventureHerwin seorang yang banyak mulut dan dia tidak ingat masa lalunya. Memorinya hanya bergulir dalam waktu kini. Dia rasa itu biasa, sehinggalah dia sering didatangi mimpi dengan pelbagai gambaran dan suasana aneh. Dan mimpi-mimpi itu adalah petanda ba...