Prolog
Brews & Bites Café, Karangahape Road, Auckland
DIA pandang senyuman itu. Ceria dan nampak bahagia. Bukankah senyuman itu yang selalu dihadiahkan kepadanya suatu ketika dahulu? Kenapa senyuman itu diberikan kepada orang lain?
Saat jemari si dia ingin menyentuh rambut si cantik manis yang terjuntai, dia terus kalihkan wajah. Tidak sanggup melihat adegan itu sepertimana yang selalu lelaki itu lakukan padanya dulu.
Apa sudah terjadi kepada Eiman Benjamin? Kenapa janji manis yang dimeterai dulu, lebur begitu saja? Atau inikah penyebab lelaki itu hilang tanpa khabar berita?
Tiga tahun dia menunggu.
Tiga tahun dia merindu.
Rupa-rupanya ini yang dia terima setelah kesetiaannya dipertaruhkan selama ini. Ah, naifnya dia. Terlalu percaya. Terlalu setia.
Melihat wajah itu gembira dengan kehadiran si cantik manis, hati yang selama ini sabar menanti tiba-tiba berubah rasa. Ada sakit yang mula menyengat dalam hati dan itu menyebabkan keberanian menyapa dirinya.
Langkah diatur untuk mendekati pasangan tersebut. Suasana riuh di kafe itu tak dihiraukan lagi. Dunianya ketika ini hanya ada dia, Eiman dan juga wanita yang berambut panjang paras bahu itu.
Saat sepasang mata Eiman memandang ke arahnya, tiada sebarang riak yang terpamer pada wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, Eiman kembali memandang kekasih hati yang berada di sisi. Kaki Aulia terhenti dari melangkah. Dahinya berkerut seribu.
Kenapa Eiman memandangnya sebegitu seolah-olah dirinya bukan siapa-siapa kepada lelaki itu? Seolah-olah Eiman tidak mengenal dirinya ini orang asing?
Sekali lagi dia cuba gagahkan diri untuk melangkah. Tika bibir ingin menyeru nama Eiman, lengannya terasa digenggam sekaligus membuatkan kepalanya ikut sama memandang si empunya tangan itu.
"Eidlan?" serunya terkejut.
"Kau buat apa kat sini?" soal Eidlan Benjamin.
Apakah maksud soalan itu? Adakah dia tak layak berada di situ? Sedangkan dia berhak mendengar penjelasan daripada Eiman.
"Baliklah... This is not your place."
"What?"
"Go home. Jangan datang sini lagi."
Aulia terpinga. Tak sangka dirinya 'dihalau' tanpa mendengar penjelasan daripada Eiman.
"Saya nak jumpa Eiman." Aulia bertegas lagi sambil menikam mata Eidlan. Biar Eidlan tu tahu yang dia tak akan berganjak sebelum dapat bersemuka dengan Eiman.
"Kau dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Baliklah sebelum aku halau kau keluar."
Terkejut dengan kata-kata Benjamin itu, Aulia memalingkan wajahnya. Air mata yang bergenang cuba ditahan daripada terus mengalir ke pipi. Sampainya hati abang sulung Eiman itu. Kenapa dia diperlakukan sebegini rupa?
Salah siapakah sebenarnya ini? Andai dia puncanya, dia perlu tahu apa kesalahannya. Tetapi kalau Eiman yang menjadi punca, dia ingin tahu apa yang menyebabkan lelaki itu berubah hati? Bukannya dilayan sebegini pada saat dia memerlukan jawapan kepada segala persoalan yang menghantui mindanya siang dan malam.
Bab 1
Brews & Bites Café, Bukit Damansara
AULIA DELISYA menolak pintu Brews & Bites Café dan mata terus terpandang Eiman yang duduk bersandar dengan mata tertutup. Mungkin lelaki itu letih. Dia tersenyum seraya melangkah mendekati.
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
General FictionTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...