SEMALAM, seharian Eiman tidak menghubungi Aulia. Mesej yang Aulia titipkan semalam juga tak dibalas. Tetapi bila dia tengok 'last seen', seolah-olah mesejnya sudah dibaca. Takkan Eiman lupa nak balas?
Sebelah tangan naik mengurut tengkuk yang keletihan itu. Dia tak tahu kenapa dia susah sangat nak melelapkan mata semalam. Mungkin sebab menanti panggilan daripada Eiman yang tak kunjung tiba itu.
Tanpa dia sedar, sebelah tangan lagi menghubungi nombor telefon Eiman. Seperti semalam juga, telefon Eiman hanya berdering tetapi tak berjawab. Tanpa berputus asa, dia mencuba sekali lagi. Dan kali ini, panggilannya seperti sengaja ditamatkan.
Semakin berlapis-lapis kerutan di dahi Aulia. Tak pernah selama ini, panggilannya ditamatkan walaupun berbalah kata dengan Eiman. Apa sudah terjadi sebenarnya? Takkanlah Eiman demam?
You tak sihat ke, Eiman? - Aulia
Soalan itu dititipkan buat Eiman. Sementara menanti balasan daripada lelaki itu, dia menghidupkan enjin kereta terlebih dahulu. Saat ternampak Eiman 'online', hati yang resah tadi mula ceria. Yakin bahawa Eiman akan membalas mesejnya. Namun keceriaan itu hanya sementara apabila melihat WhatsApp Eiman kembali ke 'last seen'.
"Dia baca aje, tapi tak balas?" Aulia berkata sendiri.
Pelik!
You merajuk dengan I, eh? Sebab I tolak untuk 'berjumpa' dengan parents you tu ke? - Aulia
Tapi I kan dah cakap, semalam I dah ready. You yang tak call I dari semalam. - Aulia
Beberapa mesej dihantar kepada Eiman. Sekadar untuk menjelaskan agar Eiman tak menyalahkannya seratus peratus. Sebenarnya, tak ada sebab pun untuk Eiman merajuk dengannya. Sedangkan, masing-masing sudah bersetuju dan kata sepakat sudah diperolehi. Cuma Eiman sahaja yang tiba-tiba senyap tanpa dia tahu sebabnya.
Just let me know, apa kesalahan I? I akan cuba perbaiki. - Aulia
Bila dah yakin hati tu dah sejuk, call me. I miss you so much! - Aulia
Telefon dimasukkan ke dalam beg dan Aulia sudah bersedia untuk bergerak ke studio Sinar Pagi. Itulah rutinnya setiap pagi Isnin sehingga Rabu. Manakala sepanjang hari Khamis pula, dia ada shooting untuk Brews in Town. Selebihnya, dia melakukan kerja-kerja sambilan seperti shooting iklan atau photoshoot.
Baru-baru ini juga, dia ditawarkan untuk mengacarakan rancangan masakan, cuma dia belum memberikan kata putus lagi. Kerana untuk rancangan itu, dia perlu ke luar negara. Mencari makanan-makanan halal yang disajikan di restoran atau kafe terkenal di luar negara.
Tawaran yang diberikan itu umpama sekali dalam seumur hidup kerana dia bukanlah pengacara popular. Masih baru lagi tetapi sudah diberi peluang besar begini. Andai dia menolak, memang dia akan rugi besar. Kalau dia menerima pula, dia perlu memberikan komitmen yang sangat tinggi.
Apapun, sebelum memberikan kata putus, dia perlu berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu. Tidak lupa juga dengan Eiman nanti.
MENJENGUL kepala Aulia saat namanya dipanggil oleh si ibu. Padahal, belum sampai sepuluh minit pun dia tiba di rumah orang tuanya. Dia tersenyum-senyum melihat Puan Dahlia sibuk mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak. Setiap kali balik ke rumah orang tuanya, ada saja yang ingin dimasak oleh Puan Dahlia.
"Puan Dahli nak masak apa ni?" tanya Aulia seraya mendekati si ibu.
Bibir yang dimamah usia itu tersenyum kecil saat Aulia memanggilnya 'Puan Dahlia'.
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
Fiction généraleTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...