Bab 7

1.2K 26 0
                                    

BERHATI-HATI Aulia memandu Mercedes-AMG A45 itu. Sambil memandu, bibir turut terkumat-kamit membaca doa. Dia tidak mahu kereta itu rosak atau calar ketika dalam jagaannya. Dan kerana tidak mahu terbeban dengan tanggungjawab, dia sanggup menghantar kereta itu ke Brews & Bites Café sebaik saja habis waktu bekerja.

Namun sebelum bergerak ke kafe, dia sempat menitipkan pesanan kepada Eiman. Biar Eiman tahu, sungguhpun lelaki itu masih bersikap yang sama seperti hari-hari sebelum ini; di mana mesejnya hanya dibaca tanpa dibalas, dia masih teringatkan lelaki itu.

Berat keluhan yang terlepas dari bibir Aulia. Kerana selama seminggu dia membiarkan Eiman dengan kerenah sendiri tetapi selepas seminggu pun Eiman masih bersikap yang sama. Sehingga membuatkan dia berfikir yang bukan-bukan.

Cepat-cepat kepalanya menggeleng, cuba menidakkan apa yang berlegar dalam fikirannya ketika ini. Mustahil dalam sekelip mata Eiman berubah hati. Baru beberapa minggu lelaki itu berada di Auckland, takkanlah janji yang diungkapkan sebelum berangkat ke sana sudah dilupakan?

Eiman harus tahu, bukan senang untuk dia memberikan sekeping hatinya kepada orang lain. Dan apabila hatinya sudah diserahkan, ia akan tetap berada pada orang yang dia pertanggungjawabkan. Tiada siapa yang inginkan hatinya dilukai, begitu juga dengan dirinya. Kerana itu dia mengharapkan agar hubungan yang terjalin ini akan kekal sehingga ke akhirnya.

Ya, dia tahu. Tempoh perkenalan mereka masih baru lagi. Malah belum sampai setahun lagi tetapi itu tak bermakna hatinya senang untuk melupakan andai perpisahan yang Eiman minta daripadanya.

"Astagfirullahalazim... Apa aku fikir ni?" Dalam resah, Aulia berkata sendiri. Sebelah tangan menongkat dahi dan sebelah tangan lagi kejap memegang stereng kereta. Sakit kepalanya memikirkan tentang 'kehilangan' Eiman itu.

Hati teringin hendak bertanya kepada Benjamin tetapi malangnya, dia tidak tahu nombor telefon lelaki itu. Harap-harap ketika dia berjumpa dengan Aidit nanti, lelaki itu dapat memberitahu nombor telefon Benjamin.

Sebaik saja kereta diparkir di tempat letak kereta, Aulia menarik nafas dalam sebelum melangkah keluar. Dia bukan takut hendak berdepan dengan Aidit tetapi tak tahu kenapa hatinya rasa kurang enak. Sekali lagi kepalanya menggeleng. Cuba menghentikan fikirannya dari terus melayang dan berfikir yang bukan-bukan.

Saat pintu kafe ditolak, Sam selaku manager di kafe itu terus menghadiahkan senyuman kepadanya.

"Welcome, Cik Aulia."

Aulia turut membalas senyuman Sam itu.

"Is Aidit working today?"

"Yeah, he's in the kitchen."

"Can I talk to him? Sekejap aje."

"Sure. Duduklah dulu, Cik Aulia. Nak minum?"

Sekilas mata Aulia menjeling ke arah jam tangan.

"Saya sekejap aje ni."

"Tak apa. Minum sekejap aje." Tanpa menunggu balasan daripada Aulia, Sam terus mengarahkan salah seorang barista untuk membancuhkan Hazelnut Macchiato with Marshmallow Rim untuk Aulia.

"Thank you. Baru nak sebut yang tu," ucap Aulia bersama senyuman. Tak sangka Sam sudah tahu salah satu minuman kegemarannya di kafe itu.

"Cik Aulia duduk dulu, ya? Saya panggilkan Cef Aidit."

Aulia mengangguk tetapi sesaat kemudian, nama Sam dipanggil lagi.

"Ya?" tanya lelaki itu.

"Kalau Aidit sibuk, biarkan dia settle kerja-kerja dia dulu. Saya boleh tunggu," beritahu Aulia. Dia datang ke situ bukan untuk mengganggu kerja Aidit. Dia sendiri tahu kesibukan lelaki itu setelah Eiman berangkat ke Auckland.

Hanya Itu PintakuWhere stories live. Discover now