SAAT kaki menjejak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hati Aulia semakin berdebar. Malam ini, dia akan terbang ke Auckland, New Zealand. Negara yang dikenali sebagai Negara Kiwi. Dan di situlah juga tempat Eiman berteduh sepanjang hampir tiga tahun ini. Dia tak tahu nak menggambarkan perasaannya saat ini tetapi apa yang pasti, dadanya terasa berdegup sepanjang perjalanan menuju ke KLIA itu.
"Eiman dah tahu Lia nak ke sana?" soal Puan Dahlia setelah orang tua itu keluar dari kereta. Jelas terpancar riak kurang ceria di wajah itu.
"Lia selesaikan kerja kat sana dulu, lepas tu baru Lia bagi tahu Eiman." Sejurus menjawab pertanyaan Puan Dahlia itu, Aulia mendekati Dhani. Cuba mengelak dari terus ditanya tentang Eiman.
"Bang... Biar Lia aje yang bawa," ucap Aulia seraya mencapai penarik bagasi dari tangan Dhani.
"Tak apa. Biar abang aje yang bawa. Apalah sangat duk heret benda alah ni."
Aulia tersenyum nipis seraya membiarkan Dhani mengheret kedua-dua bagasinya.
"Sampai sana nanti, call Eiman terus. Biar dia tahu Lia ada kat sana." Kali ini, Encik Ibrahim pula yang bersuara.
Aulia gigit bibir. Nampaknya, dia tak boleh lari lagi dari menjawab soalan Encik Ibrahim itu pula.
"Ya. Mak dan abah janganlah risau. Lia ke sana bekerja, bukan sekadar bercuti aje."
"Tapi kali ni tempat Lia pergi, jauh. Itu yang mak risau. Kalau Eiman tahu Lia ada kat sana, boleh tengok-tengokkan Lia."
"Ya, nanti Lia bagi tahu dia."
"Jangan risaulah, mak. Mungkin Lia nak surprisekan Si Eiman tu kut. Sebab tu dia tak nak bagi tahu Eiman dulu. Yalah, dah lama tak jumpa, kan?" celah Dhani.
Dan Aulia tersenyum lega, Dhani seolah-olah mengerti perasaannya ketika itu.
"Jangan nanti, Lia pula yang terkejut bila jumpa dia," ujar Puan Dahlia dengan riak yang sama seperti tadi.
"Hesy, awak ni, Dahlia. Ada ke patut kata macam tu? Kata yang baik-baik supaya yang jadi nanti juga yang baik-baik. Kalau awak dah kata macam tu, tu ibarat satu doa. Yang terlukanya nanti, anak awak juga." Tergeleng-geleng kepala Encik Ibrahim. Kesal dengan kata-kata Puan Dahlia sebentar tadi.
Dia sebagai suami faham perasaan Puan Dahlia itu. Tetapi sebagai ayah, dia tidak mahu anaknya terluka apatah lagi kalau melibatkan tentang Eiman. Walaupun hakikatnya, dia juga tertanya-tanya kenapa Eiman perlu berada di Auckland sehingga memakan masa tiga tahun lamanya? Sudahlah sepanjang tempoh itu, Eiman tak pernah balik ke Malaysia walau hanya sekali.
Hairan!
Tetapi sungguhpun berasa begitu, dia hanya diamkan sahaja. Dia tidak mahu masuk campur dalam hal percintaan anak-anak. Aulia sudah dewasa, dia yakin, anaknya tahu berfikir mana yang terbaik untuk diri sendiri.
Kelat senyuman yang meniti di bibir Aulia. Meskipun terkejut dengan kata-kata Puan Dahlia itu tadi tetapi perkara itu memang tak mustahil berlaku.
"Mak dan abah doakan yang terbaik untuk Lia, ya? Kalau tak ada jodoh dengan Eiman pun, doakan Lia dapat jodoh yang baik nanti. Yang lebih kaya dan lebih handsome daripada Eiman." Aulia sengaja berseloroh di hujung katanya agar situasi ketika itu tak terlalu tegang.
Puan Dahlia menjeling tetapi bibir orang tua itu hampir tersenyum.
"Kita risaukan dia, boleh pula dia main-main."
"Kalau betul Lia nak yang lebih kaya dan lebih handsome daripada Eiman, abang ada kawan yang macam tu. Tapi duda anak tiga." Dhani bersuara dengan tawa yang mengekek.
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
Художественная прозаTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...