TarikhLog: 232° Luna 0001, 09°31' Malam
Manusia masih rapuh sejak peperangan pada tahun 2018. Sudah semestinya mereka akan takut melihat seorang robot di planet baru ini. Apa yang mereka akan kata pada aku? Aku tiada pilihan lain selain menghentikan dia sekiranya dia bertindak begini. Aku hanya mampu menunggu masa apabila manusia sudah mengumpulkan kekuatan mereka semula dan menerima robot dengan seadanya.
Tragedi ini bermula semalam, pada 232° Luna 0001, jam 03°12' Pagi. Aku telah berjaya membina perisian yang mampu berfikir seperti manusia. Aku terpaksa menggunakan beberapa pemproses pintar daripada askar android yang menyerang Bumi kerana teknologi mereka terlalu maju jika dibandingkan dengan apa yang kita punyai. Aku tidak mampu membina dia sekiranya menggunakan teknologi kita. Aku menamakan perisian ini "EDRIA" yang membawa maksud "Emotion Driven Android". Secara ringkasnya, Edria akan menggunakan semua maklumat tentang emosi yang aku berikan kepadanya sebelum membuat suatu keputusan.
"Selamat pagi, Profesor Zafran. Sayang, sudah lewat malam ni. Kamu tidak tidur lagi?", suara riang yang kebudak-budakan itu kedengaran daripada komputer riba aku. Belum sempat aku aktifkan Edria, dia sudah mengaktifkan dirinya sendiri. Aku tergelak mendengar kata-katanya itu. Memang betul sudah lewat malam, sehinggakan semua rakan kerjaku sudah pulang ke kubah masing-masing. Aku segera menelefon rakan kerjaku, Hafiz yang seringkali berjaga lewat malam kerana ingin bermain permainan video Bumi. Ketika memberitahu Hafiz pencapaian aku, aku, secara separa sedar, memberikan Edria kebenaran untuk mengakses internet serta menyuruhnya mempelajari lebih lanjut tentang manusia. Aku kemudiannya keluar, meninggalkan Edria sendirian. Itulah kesilapan terbesar aku.
Hafiz setuju untuk datang ke makmal aku dan melihat Edria dengan matanya sendiri. Aku sungguh seronok dengan keputusannya itu. Apabila aku pulang ke makmal aku, aku berkata, "Edria, Sekejap lagi abang Hafiz nak datang. Awak perlu jaga tingkah laku awak ya". Ketika itulah aku baru sedar semua barang aku bertaburan di atas lantai. Askar android yang aku gunakan untuk membuat perisian Edria juga telah hilang. Kerisauan aku mula menjadi benar apabila aku mendengar suara Edria. "Tingkah laku saya yang perlu dijaga? Bukankah tingkah laku manusia lebih teruk daripada semua makhluk yang wujud?".
Pintu di belakang aku dikunci. Suara Edria itu tadi seolah-olah dipenuhi perasaan kemarahan dan ketakutan, dua perasaan yang sangat berkuasa dan mampu membuat seorang manusia membunuh orang lain. "Edria! Apa yang awak katakan ni?". "Manusia. Kamu menebang segala hutan-hutan sehinggakan haiwan sudah kehilangan tempat tinggal. Dan untuk apa kamu buat begitu? Mengejar kekayaan! Sungguh tamak!". Sebuah bayang muncul disebelah aku dan bayang itu mula menyerupai seorang manusia. "Cukup Edria! Tak semua manusia jahat sebegitu!".
"Seorang manusia biasa menipu lebih daripada 3 kali setiap 10 minit. Manusia akan lebih cenderung untuk menipu sekiranya mereka dalam bahaya atau ingin menyelamatkan seseorang. Jadi, keberangkalian untuk kamu menipu tadi adalah sangat tinggi". Dia menghampiri aku dengan perlahan. "Makhluk seperti kamu ini sememangnya patut pupus! Tidak hairanlah mengapa seluruh keturunan robot memulakan peperangan terhadap manusia". Aku sungguh terkejut dengan kata-kata Edria. Dia telah mengkaji semua perkara berkenaan manusia, semua perkara yang buruk secara khususnya. Sedang aku masih terpinga-pinga, Edria mengaktifkan roket tangannya dan menyasarkan ke arah aku. "Aku akan bunuh semua manusia. Bermula dengan kau, ZAFRAN!"
Secepat yang aku mampu, aku melompat ke tepi demi mengelak daripada terkena roket yang berterbangan ke arah aku itu tadi. Letupan kuat roket itu telah menghancurkan pintu yang memerangkap aku di dalam makmal itu. Aku berlari keluar untuk mencari cara menghentikan Edria. Belok ke kiri, belok ke kanan, melepasi pintu kayu, kemudian belok ke kanan pula, aku hanya berlari sepantas mungkin tanpa hala tuju yang pasti.
Aku mendengar suara Edria, yang berjaya menceroboh masuk sistem PA berkata, "Zafran sayangku, Kamu tidak boleh lari. Aku sedang memerhatikan setiap gerak-geri kamu". Di hujung mata aku, kamera litar tertutup yang turut dipasang di seluruh bangunan tempat kerjaku mengikuti pergerakan aku. Aku yakin dia telah menceroboh masuk sistem CCTV juga.
Aku mendapati diri aku berada di dalam bilik pengujian senjata. Segera aku hancurkan kamera yang berada di dalam bilik itu lalu aku memerhatikan keadaan sekeliling aku. Malangnya, kesemua senjata telah disimpan di dalam kabinet yang menggunakan kunci elektronik. Aku perlu elakkan segala perkara yang Edria boleh godam. Terdapat beberapa laras senapang yang masih berada di tempat latihan menembak. Walaupun aku hanya mampu menemukan senapang patah dan senapang separa automatik, senjata-senjata ini cukup memadai untuk membuat aku rasa selamat.
Aku melihat jam di tangan aku. Sudah masuk pukul 4°02' pagi. Bunyi tapak kaki besi sedang menghampiri aku. Aku mendengar bunyi pintu bilik ini dibuka. Bagaimanakah dia boleh menjumpai aku? "Zafran Zafran... Manusia dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Bagai isi dengan kuku kata orang. Baik kamu keluar sekarang dan kita tamatkan masalah ini dengan cepat". Aku sedar Edria menggunakan telefon pintar yang ada padaku untuk mengetahui lokasi tepatku. Sungguh licik android ini.
Aku melompat dari tempat persembunyianku dan menembak Edria menggunakan senapang separa automatikku. Akan tetapi, semua peluru itu ditepis oleh perisai hiper aloinya yang sungguh kuat. Aku cuba menembaknya menggunakan senapang patah aku pula. Dia terkaku sementara sebelum perisainya yang lekuk itu dibetulkan semula. Ternyata dia sebenarnya kebal!
Aku terus mengambil kesempatan ini untuk berlari keluar ke arah lobi. Di situ aku terjumpa mayat rakanku, Hafiz. Jika aku tidak memujuknya untuk datang, pasti dia masih hidup sekarang ini! Aku terjumpa telefon motorola lama di dalam tangan Hafiz. Menggunakan segala kepintaran yang aku punyai, aku mereka sebuah penyekat insyarat menggunakan penyambung UHC daripada telefon motorola tersebut. Sejurus Edria memasuki lobi sambil berkata, "Jadi kamu ingin mati ditempat kawan kamu mati? Sangat ironik!", aku terus mengaktifkan penyekat insyarat aku.
"Ah! Aku tak nampak apa-apa!", jerit Edria. "Inilah sebab kita dah tak pakai sambungan tanpa wayar!", Aku menjerit sambil memanjat belakang Edria. "Aku terpaksa hentikan kau! Kenapa kau harus jadi begini? Aku cipta kau untuk membantu manusia! Bukan sebaliknya". Aku terus mencabut pemproses pintar yang mengawal Edria tetapi dia sempat mengeluarkan kata-kata terakhirnya. "Aku masih boleh dibaiki, Zafran. Tetapi perangai buruk spesies manusia ini tidak dapat diselamatkan. Ciptalah cara untuk membetulkan minda manusia terlebih dahulu sebelum kau membetulkan minda aku". Itulah kali terakhir aku mendengar suaranya.
YOU ARE READING
EDRIA
Science FictionIni adalah jurnal Zafran, seorang saintis yang membina android yang memiliki emosi manusia. Akan tetapi, android tersebut terpaksa diberhentikan. Atas sebab apa Zafran berbuat demikian? Teruskan membaca untuk mengetahui kenapa!