Tiap kali mereka bertemu, si gadis pasti akan memberi Youngjae sebutir bintang yang diperbuat daripada kertas berwarna. Asalnya, remaja itu tidak pasti sama ada hendak menerima atau menolak bintang pemberian si gadis tak bernama tersebut.
"Pasti gadis ini sangat sukakan bintang," anggap Youngjae. Namun mereka sebenarnya tak pernah berbicara. Hanya bertukar senyuman tika kereta api berhenti di perhentian mereka yang sama. Kemudian mereka membawa arah masing-masing.
Hari berganti hari, bintang yang dikumpul di dalam balang kaca mencecah ratusan seiring tempoh perkenalan mereka. Setelah menimba beberapa perkara, akhirnya Youngjae mengutarakan soalan sebagai permulaan tatkala dia bertatapan dengan si gadis.
"Kenapa kau sukakan bintang? Apa impian kau?"
"Ia cantik dan suasana langit yang dipenuhi bintang hanya ingin aku nikmati bersama lelaki idaman. Impian aku; aku ingin melihat bintang dengan sepuasnya." Matanya merenung langit di luar jendela kereta api yang bergerak laju. "Tapi malangnya bandar ini memang sukar hendak temui bintang berkerdipan."
Youngjae mengangguk perlahan.
"Apa pula kesukaan dan impian kau?"
Dia senyum kecil. "Menyanyi dan menjadi penyanyi, biar dunia dapat mendengar nyanyian aku." Hakikatnya, Youngjae dapat rasakan impiannya sudah berubah. Kini, apa yang dia cita-citakan adalah ingin membawa si gadis di hadapannya ini ke sebuah tempat yang beratapkan langit malam dan bintang.
Seharusnya, dia menegur gadis ini lebih awal kerana walaupun bicara mereka hanyalah singkat, dia sudah mula rasai kesannya. Entah mengapa, dia ingin menjadi seperti sang putera yang setia melindungi sang puteri seperti di dalam dongengan. Seluruh mindanya hanya diulit impian si gadis.
Sebaik kereta api berhenti di perhentian, jantung Youngjae berdegup debar. Sebaik kakinya menjejak platform, dia terus mengejar kelibat si gadis yang berjalan di arah bertentangan.
"Tunggu!"
"Ya?"
Youngjae menghela nafas lelah dan mengambil nafas baru. Dia mengeluarkan buku notanya dari dalam beg galasnya dan mengoyakkan penjuru helaian kertas tersebut. Lalu ia dihulur kepada si gadis beserta sebatang pen.
Si gadis melihat Youngjae dengan tanda tanya.
"Aish," Remaja itu memandang ke lantai sejenak sebelum menghulur sekali lagi dengan senyuman paksa bercampur malu. "Tuliskan nama dan alamat kau."
...
Bilangan bintang kertas di dalam balang Youngjae makin menimbun tinggi. Perbualan dia dengan si gadis juga makin terbiasa. Rasa canggung itu sudahpun hilang.
Byul.
Bermaksud bintang.
"Sesuai dengan dirinya." luah Youngjae yang melepasi setiap rumah sambil memerhati nombor yang tercatat pada dinding pagar. Hari sudah menjengah lewat petang dan Youngjae masih berjalan sambil diekori bayang hitamnya.
Akhirnya, dia berdiri di hadapan sebuah rumah lalu loceng ditekan. Kepala Youngjae terjenguk-jenguk ingin tahu. Tak lama kemudian, seorang wanita pertengahan umur keluar menghampiri pagar. Youngjae segera menunduk hormat sejenak.
"B-byul a-ada?" Youngjae cuba mengawal gagapnya yang tiba-tiba singgah. Wanita itu mengangguk beserta senyuman tenang.
"Kamu tunggu kejap, ya."
Nama gadis diseru sebaik wanita tersebut kembali ke dalam rumah lalu gadis remaja yang ditunggu muncul. Dia menyarungkan kasut dengan tergesa sambil memesan sesuatu pada wanita tadi yang kemungkinan adalah ibunya. Rambut panjangnya pula diikat tocang dengan laju. Sebaik mata si gadis memusat pada Youngjae, bibir merah jambunya tersenyum girang sambil dia berlari anak.
YOU ARE READING
Kota Bintang [Choi Youngjae | Oneshot]
FanfictionMasa terlalu singkat, terlalu singkat untuk segalanya. Walaupun ada perasaan yang tidak dizahirkan, ia juga dinamakan sebagai cinta. ✶ Si gadis dan Choi Youngjae bertemu dibawa takdir. Si perawan sukakan bintang. Si pemuda teringin menyanyikan sebu...