2 ~ Umang Yang Malas

135 4 1
                                    

Rumah Teritip kelihatan senget sebelah kiri. Ayah Umang, Teritip membawa setandan pisang berjalan menuju ke perkarangan rumahnya. Sekali sekala tangannya menggaru punggung yang gatal entah berkurap entah berkayap. 

Sampai sahaja di tangga rumah, pisang setandan tadi diletak di tepi tangga. Teritip kepenatan dan terus duduk di tangga. Menggaru punggung lagi, kali ini garunya semakin laju dan Teritip terasa seronok dan terus menggaru.

"Sudah macam-macam ubat aku letak aku tenyeh, daun sireh bertemu uratlah, daun sekentut yang kuat baulah, daun cemumak yang bergetahlah." 

"Satu pun tidak mengurangkan gatal-gatal punggung aku ini." keluh Teritip.

Teritip mengibas-ngibas badannya dengan menggunakan kain karung guni. Penatnya belum hilang. Sakit pinggangnya belum reda.

"Umang! Umang!" jerit Teritip pada anaknya yang masih tidur di dalam rumah.

"Mana pulak budak bertuah ini?" bisik hatinya yang semakin panas.

"Umang!" pekik Teritip lagi.

"Badak pun tidak pekak begitu!" rungut Teritip.

Teritip lantas bangun dan berlegar-legar lalu meninjau ke muka pintu, melihat-lihat sama ada Umang sudah bangun ataupun belum.

"Dasar pemalas!" ujar Teritip sambil menggaru.

Di sudut rumah, Umang tidur berdengkur. Tidur Umang terganggu badannya dikalih ke kiri kemudian dikalih ke kanan. Umang bingkas duduk dan tergaru-garu sambil mengibas-ngibas badannya dengan kain karung guni.

"Binatang apakah yang menggigit badan aku ini?" keluh Umang yang masih mengantuk lagi.

Semut-semut hitam berkeliaran di badan Umang dan juga di lantai.

"Binatang kecil ini rupanya yang menggigit. Wahai semut bolehkah kamu gigit selain daripada badan aku." 

"Kamu gigitlah batu, kayu, rumah ataupun kamu gigit ayah aku yang sedang terjerit-jerit itu," ujar Umang kepada semut.

"Umang! Umang!" pekik Teritip berkali-kali.

Terdengar suara Teritip dari luar rumah memanggil Umang. Umang terkejut, kali ini suara Teritip semakin tinggi nadanya. Umang masih mengibas-ngibas semut di badannya.

"Ayah mahu apa? Mahu makan semut!" ujar Umang yang tidak puashati dengan Teritip. 

Umang bangun dan terus menggeliat sepuasnya. Terdengar letup tulang pinggang. Umang menguap panjang. Berjalannya agak malas menuju ke muka pintu rumah. Umang turun tangga selang dua anak tangga Umang duduk di sebelah bapanya. Bapanya menjeling pada Umang.

"Kamu tergaru-garu ini, mengapa? Sudah terkena penyakit ayah?" tanya Teritip.

"Ayah tolong garukan badan Umang ini," Umang meminta Teritip menggarukan badan Umang yang gatal digigit semut.

"Ayah bela semut banyak sangat bukan boleh dimakan," keluh Umang.

"Merah badan kamu Umang. Semut apakah yang menggigit kamu ini?" tanya Teritip pada Umang.

"Semut gunung berapi agaknya ayah," jawab Umang ringkas.

"Ini bukan semut gunung berapi, ini semut fisiotrapi," balas Teritip.

"Apa binatang fisiotrapi itu ayah?" Umang mahu tahu.

"Adik beradik kutu babi." jawab Teritip.

Teritip ambil penyapu di tepi tangga dan terus garu badan Umang dengan penyapu lidi. Umang menahan sakit akibat garuan penyapu lidi itu.

"Semut itu suruh kamu bangun. Sebab kamu itu pemalas. Orang lain turun ke laut kamu turunkan air liur, asyik membuta sahaja," sindir Teritip.

"Hari ini sahaja Umang tidak ke laut ayah. Esok lusa Umang turunlah," ujar Umang malas.

Teritip berdiri dan mencampakkan penyapu lidi ke tepi sambil menggaru punggung lalu memarahi Umang.

"Sekiranya kamu tidak ke laut kita mahu makan apa?" jerkah Teritip dengan nada keras.

"Hari-hari makan ikan, jemulah ayah. Sekiranya makan buah gedabu lagi sedap," kata Umang dengan sopan.

"Jemu kamu kata. Kamu ambil pisang itu dan rebus. Ayah mahu makan pisang rebus. Cepat!" perintah Teritip pada Umang. 

Umang pun segera mengambil pisang yang terletak di tepi tangga dengan muka bosan lalu pergi ke dapur masak yang terletak di bawah pokok kelapa.

"Keturunan monyet agaknya..." rungut Umang.

"Apa kamu cakap!" pekik Teritip.

Teritip serius sambil menggaru punggungnya lagi

"Bukan ayah, pisang ini benyek tidak boleh direbus. Buat cucur kodok benyek lagi sedap," jawab Umang ketakutan.

"Ayah tidak peduli kamu hendak buat cekodok atau buat kuih pau pisang, apa yang penting kamu sediakan. Ayah sudah lapar," Teritip segera naik ke rumah.

Umang meletakkan pisang di sebelah dapur kayunya. Dia mengambil periuk tanah dan diisi dengan air buyung lalu diletakkannya di atas tungku dapur. Kayu api disusun lalu dinyalakan dengan puntung bara. Asap mula keluar dari celah-celah kayu api. Kemudian Umang mengambil pisang lalu disiat-siat buah pisang daripada tangkai sisir dan disumbat ke dalam periuk tanah.

"Menyesal aku tidak turun ke laut," kata Umang perlahan.

�8v�7 <

Lagenda Duyung MerabanWhere stories live. Discover now