3 ~ Pisang Rebus

85 2 0
                                    

Matahari panas terik memancar. Di pinggir Kampung Angin Pasang, Kerang bersama Kupang dan dua orang suruhannya iaitu Kembong dan Gelama melalui jalan kampung menuju ke Kampung Angin Pasang. 

Kembong dan Gelama membawa barang-barang dagangan seperti ayam, itik, bakul rotan, tembikar dan beberapa karung guni berisi beras dan sebagainya untuk dijual kepada penduduk Kampung Angin Pasang.

"Tuan, jauh lagikah Kampung Angin Pasang?" tanya Kembong pada tuannya Kerang.

Kerang memalingkan muka ke arah Kembong. Kerang menarik muka masam. Kembong berasa kecut.

"Mengapa kamu bertanya soalan bodoh itu?" bisik Gelama pada Kembong.

"Memang patut kita bertanya, sejak daripada tadi tidak sampai-sampai lagi. Kamu tahu, bahu dan kaki aku sudah naik kematu," ujar Kembong.

Kupang yang berada di belakang menolak badan Kembong dan Gelama.

Di luar rumah penghulu Tok Kepah asap dari dapur keluar di celah-celah dinding buluh dan atap rumbia. Rumah Tok Kepah sederhana besar dan kemas buatannya. Lamannya bersih dan terjaga. Ditanami pula dengan pokok-pokok bunga segar.

Tok Kepah berjalan di perkarangan laman rumahnya menuju ke tangga. Tok Kepah berhenti di kaki tangga dan mengambil tempurung kelapa lalu menceduk air pada tempayan kecil di tepi tangga. 

Tok Kepah menuang air dan membasuh kakinya. Tempurung kelapa dicampak kembali ke dalam tempayan kecil. Air dalam tempayan berkocak. Tok Kepah menaiki empat anak tangga menuju ke pintu rumah. Tok Kepah duduk di muka pintu menghilangkan lelah.

"Mak Lala! kopinya mana?" tanya Tok Kepah.

Di ruang dapur Mak Lala membantu anaknya Siput meletakkan pisang rebus ke dalam bekas yang diperbuat daripada upih pinang. Mak Lala menoleh ke arah Tok Kepah, dia mengeluh bosan. Siput mengambil pisang rebus dari dalam periuk tanah dan meletakkannya ke dalam bekas upih pinang.

"Kopi, mana ada biji kopi lagi," keluh Mak Lala.

"Apa mahu disusahkan emak, tumbuk arang kayu jadilah kopi," cadang Siput.

"Siput! emak kamu sudah buat kopi atau belum?" tanya Tok Kepah lagi.

"Air tengah jerang ayah," jawab Siput.

"Siput cepat kamu pergi, sebelum ayah kamu tahu," ujar Mak Lala.

"Jangan beritahu ayah pisang rebus ini Siput beri pada Umang," jelas Siput.

"Ayah kamu itu pekak, haram sepatah dia tidak tahu," ujar Mak Lala lagi.

Tok Kepah duduk menyandar di muka pintu rumah sambil mengurut kakinya yang lenguh berjalan melawat kampung.

"Siput mana pisang rebusnya. Kamu buat dodol atau buat pengat?" Tok Kepah bertanya lagi.

"Ayah tahu," bisik Siput.

"Ayah kamu bau pisang rebus," jelas Mak Lala.

"Siput rebus pisang ayah," Siput tinggikan nada suaranya.

"Sudah, kamu jangan layan ayah kamu itu. Ikut pintu belakang," Mak Lala menyuruh Siput keluar melalui pintu belakang.

"Siput pergi dulu emak," pinta Siput.

Siput bangun sambil membawa bekas upih pinang dan segera keluar melalui pintu belakang.

Laut membiru luas mata memandang. Air menghempas di gigi pantai.Sampan-sampan terdampar di tepi pantai. Buritan sampan bergoyang-goyang dipukul ombak. Sampan yang terdampar di tepi pantai itu menunjukkan bahawa nelayan tidak turun ke laut.

Lagenda Duyung MerabanWhere stories live. Discover now