5 ~ Separuh Manusia Separuh Ikan

73 1 0
                                    

Kerang, Kembong dan Gelama sedang berjual beli barang-barang dagangan mereka dengan orang-orang Kampung Angin Pasang.

"Mari! Mari!" Cepat-cepat sekiranya lambat melopong tidak dapat!" Kerang memanggil orang kampung.

Kembong dan Gelama membetulkan barang dagangan. Orang kampung, tua muda mula datang membeli dan memilih barangan kesukaan mereka. Cara jual beli mereka hanya dengan menukar barangan. Tidak wujud sistem mata wang.

Kerang sibuk melayani pembeli yang memilih barangan kesukaan mereka. Kembung dan Gelama turut sibuk melayan pelanggannya.

"Laku jualan kita hari ini. Beza sama sekali semasa kita berniaga di Kampung Angin Surut," kata Kembong pada Gelama.

"Paling teruk sekali semasa kita berniaga di Kampung Tolak Bala. Satu barang pun tidak laku. Penat kita memekik melolong memanggil orang," balas Gelama.

Kerang terlihat Kembong dan Gelama bersembang. Kerang geram dan segera menarik telinga Kembong dan Gelama.

"Aku minta kamu menolong aku berjual beli bukannya bersembang," marah Kerang pada Kembong dan Gelama.

"Maaf tuan, kami tidak buat lagi," rayu Kembong.

"Mari tuan-tuan, puan-puan! Jangan tertinggal satu barang pun mari pilih-pilih!" kata Kerang pada orang kampung.

Kerang berbangga dengan hasil jualannya kerana penduduk kampung ramai yang datang membeli. Separuh daripada barang dagangannya hampir habis.

Belitong pula sedang dipapah Cencaru dan Tamban menuju ke rumah Dukun Pari bagi mendapatkan rawatan. Belitong menahan kesakitan pada perutnya akibat terjahan Siput. Cencaru dan Tamban kepenatan memapah Belitong.

"Cepatlah, aku sudah tidak tahan dengan perut aku ini!" jerit Belitong menahan sakit.

"Bersabarlah, sedikit masa lagi sampailah ke rumah Dukun Pari," ujar Cencaru.

"Apakah kamu fikir dengan bersabar perut aku ini boleh ditahan-tahan sakitnya?" soal Belitong.

"Aku dengan Tamban sudah hilang sabar dengan berat badan kamu ini. Lebih baik aku papah tapir, pikul badak," jelas Cencaru yang letih melayan kerenah Belitong.

Sejurus kemudian, Belitong, Cencaru dan Tamban sampai di hadapan rumah Dukun Pari.

Belitong memanggil, "Dukun Pari! Dukun Pari!"

Cencaru dan Tamban meninjau rumah Dukun Pari, ternyata senyap dan sunyi. Belitong semakin resah kerana tidak tahan dengan sakit yang ditanggungnya.

"Dukun Pari! Dukun Pari!" Cencaru pula memanggil.

Masih tiada jawapan. Belitong terus menahan sabar. Tamban seolah-olah berfikir ke mana Dukun Pari.

Tamban berkata, "Barangkali Dukun Pari pergi bertapa di Gua Kelabu Asap."

"Dukun Pari! Dukun Pari!" Cencaru memanggil lagi.

Panggilan mereka itu hanya disahut oleh monyet Dukun Pari. Belitong naik angin apabila panggilannya tidak berjawab.

Belitong berkata lagi, "Kamu dengar itu, monyet yang menyahut panggilan kita!"

Cencaru dan Tamban segera membawa Belitong ke tangga rumah Dukun Pari. Belitong duduk di tangga sementara Cencaru dan Tamban berdiri di sisi Belitong.

"Bagaimana pendapat kamu, adakah kita mahu tunggu atau kita balik sahaja?" tanya Cencaru.

"Sekiranya kita balik, sakit perut aku bila mahu sembuh!" Belitong tinggikan suaranya.

Lagenda Duyung MerabanWhere stories live. Discover now