Ombak laut menghempas pantai, suasana tenang dan berangin. Teritip berdiri di tepi pantai mengadap ke laut. Matanya tertumpu pada pulau-pulau yang berada di tengah laut. Pulau Air, Pulau Mata dan Pulau Duyung banyak membawa kenangan pada Teritip. Kenangan yang tidak mungkin dia dapat melupakannya.
Kenangan dia bertemu dengan Puteri Duyung dan kenangan dia menemui sisir emas milik Puteri Duyung. Sudah lama Teritip tidak pergi ke pulau-pulau itu, dia tahu pulau-pulau itu mempunyai rahsia yang tersimpan di lubuk hatinya. Belum ada orang yang tahu rahsia yang dia simpan selama ini, rahsia sisir emas dan Puteri Duyung.
"Apakah kemunculan duyung itu satu petanda? Barangkali sisir emas...." kata Teritip yang mula terfikir dengan kehadiran duyung yang sedang heboh diperkatakan oleh orang kampung.
"Mengapa baru sekarang dan mengapa tidak dari dahulu lagi?" Teritip bertanya sambil matanya terpaku memandang pulau-pulau.
Setelah puas memandang Teritip perlahan-lahan meninggalkan pantai.
Di perkampungan Teluk Angin Pasang seperti biasa orang-orang kampung sibuk dengan tugas masing-masing. Di bawah pohon kelapa, Kupang, Kembong dan Gelama masih berjual beli. Kembong dan Gelama melayan beberapa orang kampung sedang memilih barang. Ada orang kampung yang datang hanya melihat-lihat.
"Mari-mari habiskan cepat! Siapa lambat tidak dapat balik rumah kena perambat!" teriak Kupang memanggil pelanggan.
"Aku ada perkara hendak beritahu kamu," kata Belitong dengan semangat.
"Apa yang boleh aku bantu?" tanya Kerang lagi.
Belitong menyatakan, "Beginilah, kita pendekkan cerita. Aku mahu kamu mencari atau tangkap hidup-hidup duyung. Berapa kamu mahu upahnya aku akan bayar. Kamu setuju?"
"Kamu butakah!" Kerang meninggikan suara.
"Memang pun sebelah mata aku buta!" jawab Belitong.
Kerang berkata, "Aku pun tidak tahu apa makhluk duyung itu dan aku tidak pernah melihat ataupun mendengar. Itu bukan kerja aku, kerja aku berniaga. Kamu carilah orang lain yang boleh membantu,"
Belitong naik angin, "Aku fikirkan kamu orang berniaga yang sungguh bijak, sebaliknya kamu orang yang dungu!"
"Aku tidak tahu, terpulang kepada kamu hendak berkata apa. Kamu carilah jembalang mana yang boleh membantu kamu mencari duyung itu," tegas Kerang lagi.
Belitong dengan panas hati terus beredar.
Umang, Buntal dan Siput duduk di bawah pokok kayu tidak jauh daripada pantai.
Siput berkata kepada Umang, "Cuba cerita kepada kami apa masalah kamu."
Umang membuka cerita, "Buntal, kamu tahu mengapa ayah aku sejak melihat lukisan duyung yang kamu lakarkan itu, dia menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap? Ayah aku setiap hari berjalan-jalan di tepi pantai. Sebelum ini dia tidak mahu ke pantai ataupun ke laut mencari ikan. Dia hanya duduk di rumah mengasingkan diri,"
"Aku tidak tahu mengapa ayah kamu sudah berubah. Kamu anaknya sudah tentu tahu sikap ayah kamu itu," balas Buntal.
Siput berkata, "Berdasarkan cerita kamu itu seolah-olah Pakcik Teritip terganggu fikirannya."
Umang mengeluh panjang dan kemudian berkata, "Betul kata kamu, ayah aku seperti orang tidak siuman sahaja."
"Tidak baik kamu berkata sedemikian. Barangkali ada sebab yang kita tidak tahu dan juga ada rahsia yang dia sembunyikan," ujar Buntal
Siput menambah, "Mengapa tidak kamu bertanya dengan ayah kamu itu."
Umang menambah, "Sekiranya kepala angin ayah aku itu muncul, siapa pun tidak berani mendekatinya. Marahnya mengalahkan puting beliung."
"Namun, tidaklah sampai kamu dibunuhnya," balas Buntal.
Umang menyatakan lagi, "Sejak sepuluh tahun yang lalu ayah aku tidak pernah turun ke laut dan di saat itu perangainya sudah banyak berubah. Aku tidak tahu mengapa dia berubah seperti itu,"
Buntal berkata, "Barangkali ayah kamu itu hendak kahwin lagi."
Umang menegaskan, "Tidak mungkin, ayah aku sudah tua bangka bak kata pepatah kubur kata mari rumah kata pergi."
"Aku andaikan sahaja," balas Buntal.
Siput meneka, "Barangkali pakcik Teritip pernah terserempak dengan duyung sebelum nelayan kampung kita jumpa."
"Tidak mungkin Siput," balas Umang.
Siput berkata lagi, "Sekiranya dia melihat lukisan duyung yang dilakar oleh Buntal itu benar, sudah tentu dia pernah melihat makhluk duyung itu."
Buntal pula berkata, "Aku fikir pun begitu juga, mungkin itulah rahsianya. Perkara itulah yang menyebabkan ayah kamu itu berubah."
Buntal memandang Umang. Umang menjeling pada Buntal kemudian Umang memandang ke laut luas.
Umang menyatakan, "Apakah benar ayah aku pernah bertemu dengan makhluk duyung?"
YOU ARE READING
Lagenda Duyung Meraban
HumorAlkisah cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Semenanjung Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerja...