Putera Duyung terdampar di atas batu kerana mengenangkan nasib dirinya. Putera Duyung menangis kesedihan.
"Hai Puteri, mengapa kamu tidak mahu berkawan dengan akui," keluh Putera Duyung.
Sedang Putera Duyung asyik meratap nasib dirinya muncul Raja Duyung yang sudah tua dan berjanggut putih datang menghampiri Putera Duyung yang bersedih.
"Wahai Putera, saya sarankan lebih baik kamu pergi merantau. Carilah ketenangan yang abadi. Saya tidak dapat membantu dan memaksa Puteri berkawan dengan kamu. Tidak ada guna sekiranya Puteri tidak menyukai kamu. Barangkali Puteri belum bersedia," kata Raja Duyung memujuk Putera Duyung.
"Ke mana lagi saya mahu pergi merantau tuanku, sudah lunyai badan saya mengharungi lautan. Dilanggar kapal laut, masuk pukat, keluar pukat, dikejar penyu, ditokak jerung bermacam-macam lagi,"
"Benua mana saya tidak pergi, lautan mana saya tidak harungi, segala macam haiwan di laut dan di tepi darat menjadi lawan dan kawan. Namun, saya senang berada di sini. Sayangnya, kehadiran saya tidak digemari oleh duyung-duyung di sini. Apa kurangnya pada diri saya? Walaupun zahirnya saya lembut namun jiwa raga patik sekeras batu," ujar Putera Duyung panjang lebar.
"Kamu tidak tahu, apa sebenarnya yang berlaku pada puteri saya itu," kata Raja Duyung,
"Tuanku tidak pernah menceritakannya, bagaimana saya dapat tahu dan mengapa dengan puteri tuanku itu?" tanya Putera Duyung.
"Puteri Duyung sudah melanggar sumpah. Sisir emas warisan turun tumurun diambil manusia darat. Puteri Duyung tidak boleh berkawan, berkahwin dengan kamu mahupun dengan manusia darat," jelas Raja Duyung.
"Bilakah sumpahan itu akan berakhir tuanku?" tanya Putera Duyung ingin tahu.
"Berakhirnya sumpahan itu apabila sisir emas dikembalikan kepadanya," ujar Raja Duyung.
Putera Duyung tunduk sedih.
"Kasihan Puteri, nasibnya begitu malang sekali," kata Putera Duyung.
"Itulah yang mendukacitakan saya. Disebabkan sisir emas itu hilang, Puteri sentiasa mencari dan menanti supaya manusia darat memulangkannya " keluh Raja Duyung.
"Tidak ada carakah untuk mendapatkannya semula sisir emas itu?" tanya Putera Duyung.
"Berbagai cara sudah kami lakukan namun belum berhasil lagi, kami tidak mahu manusia darat mengenali kami dan perkara buruk akan berlaku sekiranya kami mendekati mereka. Saya tidak mahu duyung-duyung di bawah jagaan saya mendapat kesusahan," kata Raja Duyung.
Putera Duyung tertunduk. Raja Duyung pergi meninggalkan Putera Duyung.
Umang, Siput dan Buntal berehat di bawah pokok. Umang tertidur, di sisinya Buntal dan Siput asyik memakan tebu. Tiba-tiba Umang segera bangun dari tidurnya. Siput dan Buntal berpandangan. Umang berjalan ke hulu ke hilir menambahkan lagi kehairanan Siput dan Buntal.
"Mengapa dengan kamu Umang? Seperti kera kena belacan," kata Buntal hairan.
"Aku sudah lama tidak makan belacan," jawab Umang ringkas.
"Sekiranya kamu tidak berpuas hati dengan sisir emas itu, tanyalah Pakcik Teritip dari mana dia mendapatkannya," kata Siput.
"Sisir emas, mimpi kamu menjadi duyung, lukisan duyung. Memang ada dan memang wujud!" tegas Umang.
"Apa yang wujud?" tanya Buntal.
"Duyung memang wujud!"
Umang segera berlari pulang ke rumah meninggalkan Siput dan Buntal. Siput dan Buntal semakin tidak faham dengan perangai Umang itu.

YOU ARE READING
Lagenda Duyung Meraban
فكاهةAlkisah cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Semenanjung Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerja...