Sebelum terbit matahari, Umang terlebih dahulu bangun sebelum Teritip terjaga. Walaupun badannya terlalu letih, Umang menggagahkan dirinya untuk bangun seawal mungkin. Umang menoleh ke arah Teritip yang sedang tidur nyenyak.
Perlahan-lahan Umang merangkak ke arah Teritip. Dia tahu sisir emas milik Puteri Duyung itu ada pada Teritip. Dia tahu sisir emas itu di simpan di bawah bantal Teritip. Umang berhenti merangkak.
"Bagaimana sekiranya ayah aku terjaga? Mati pula aku dikerjakannya," kata Umang.
Umang nekad, dia mesti mendapatkan sisir emas itu. Dia merangkak kembali hingga menghampiri Teritip.
Teritip berkalih tidurnya ke kanan. Umang berdebar apabila melihat Teritip hampir terjaga daripada tidur. Dia menarik nafas lega apabila melihat Teritip tidur kembali.
"Apa terjadi sekalipun aku bernekad akan mengambil sisir emas itu,"
Umang merangkak menghampiri bantal Teritip. Bantal di angkat perlahan-lahan, Umang terlihat sisir emas terselit di bawah bantal.
"Memang tepat jangkaan aku,"
Umang puas hati melihat sisir emas itu ada di bawah bantal namun sedikit sukar untuk mengambilnya.
"Bagaimana aku hendak mengambilnya sedangkan sisir emas itu benar-benar di bawah kepala ayah aku. Sekiranya aku tarik pasti ayah aku terjaga,"
Sedang Umang asyik memikirkan bagaimana hendak mengambil sisir emas itu tiba-tiba tangan Teritip memukul nyamuk di pipi. Umang terkejut dan tergamam seketika. Dia menelan air liur. Peluh jantan mula mengalir di dahinya.
Kemudian Teritip menggaru punggungnya yang gatal. Sekali lagi Umang menarik nafas lega. Umang terlihat sisir emas itu terkeluar sedikit dari celah himpitan bantal. Ini memudahkan dia menarik dan mengambil sisir emas itu.
"Terima kasih nyamuk kamu adalah sahabat aku walaupun kamu terkorban Aku tetap mengenang jasa kamu itu. Sekiranya tidak kerana kamu sudah tentu aku tidak dapat mengambil sisir emas itu," Umang memuji nyamuk yang membantunya.
Tanpa membuang masa Umang terus mengambil sisir emas itu tanpa disedari oleh Teritip. Umang tersenyum bangga kerana sisir emas itu sudah ada digenggamannya.
"Ya, akhirnya aku berjaya. Sisir emas ini akan mengubah nasib aku," Umang yakin dengan pendiriannya.
"Sebelum ayah terjaga lebih baik aku pergi dari sini," Umang segera ke muka pintu dan terus meninggalkan rumahnya untuk menuju ke tepi pantai.
Langkah lariannya begitu kencang dan laju. Dia mahu sampai di tepi sebelum terbit fajar pagi. Sisir emas digenggam erat, khuatir sisir emas itu terjatuh Umang membungkusnya ke dalam kain dan mengikat rapi.
Sejurus kemudian, Umang tiba di tepi pantai. Dia segera membuka ikatan tali sampan pada tiang kayu. Sampan ditolak ke air. Umang segera melompat ke atas sampan dan capai dayung.
Menggunakan tenaga yang sedia ada Umang segera mendayung sampannya ke tengah laut untuk menemui Puteri Duyung. Semangatnya berkobar-kobar, Umang mahu Puteri Duyung gembira dan dia yakin hidupnya akan berubah.
Matahari semakin meninggi, Umang sudah keletihan mendayung, Jarak antara darat ke tempat dia menemui Puteri Duyung terlalu jauh. Sudah tiga kali Umang berhenti berehat. Kali keempat berhenti dia sudah kehabisan tenaga, dia belum menjamah sebarang makanan untuk mengalas perutnya. Umang terbaring di dalam sampan. Nafasnya turun naik, mukanya berpeluh. Umang merasakan seperti ada sesuatu yang menarik sampannya.
"Bagaimana sampan aku ini bergerak sedangkan aku tidak mendayungnya?" hati Umang bertanya.
Sampannya semakin bergerak laju.

YOU ARE READING
Lagenda Duyung Meraban
HumorAlkisah cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Semenanjung Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerja...