Satu majlis meraikan kembalinya sisir emas ke pangkuan Puteri Duyung dan meraikan kehadiran Umang manusia darat buat julung kalinya telah diadakan oleh Raja Duyung. Kehadiran Umang sungguh memeranjatkan duyung-duyung yang lain kerana tiada pun sebelum ini sambutan ke atas manusia darat dibuat.
Duyung-duyung merasakan tidak selesa dengan keputusan dan kehendak Raja Duyung itu. Putera Duyung yang hadir sama turut merasa ragu-ragu dan terkilan dengan tindakan Raja Duyung itu.
"Apakah Raja Duyung itu sudah hilang pertimbangan dengan meraikan manusia darat yang belum tahu kejujurannya?" kata Putera Duyung sambil memandang Umang.
Puteri Duyung dan Raja Duyung berenang beriringan menuju ke persada santapan. Umang merasa bangga, namun dia bimbang kerana kehadirannya itu mungkin tidak disenangi oleh duyung-duyung lain.
"Aku tidak perlu bimbang kerana di sini Raja Duyung berkuasa dan dia boleh menerima kehadiran aku di sini. Lagi pun Puteri Duyung terhutang budi dengan aku," Umang melawan perasaannya sambil kagum dan hairan melihat begitu ramai duyung-duyung yang menghadiri di majlis itu.
"Selama ini aku membayangkan hanya sebilangan sahaja duyung yang wujud. Namun, tidak begitu seperti apa yang aku sangkakan. Mereka juga ramai ada yang kecil. Ada yang besar, tua dan muda. Yang muda rambut mayang mengurai cantik-cantik belaka. Adakah yang aku lihat ini dunia duyung?"
Semua duyung-duyung yang hadir itu terpaku dan mata mereka liar melihat Umang berenang beriringan dengan Puteri Duyung.
"Mengapa duyung-duyung semua melihat aku seperti aneh kelakuannya malah tidak begitu gembira. Adakah aku ini tidak disukai mereka?" Umang semakin tidak selesa.
Umang terpandang Putera Duyung. Putera Duyung menjeling tajam.
"Mengapa Duyung jantan itu memandang aku dengan marah sekali? Anehnya kelakuannya seperti duyung lembut tidak segagah duyung-duyung jantan yang lain?" musykil Umang bertambah.
Sejurus kemudian mereka sampai di persada santapan. Di atas meja batu yang memanjang Umang melihat pelbagai makanan laut yang enak dan segar sedia terhidang.
"Silakan wahai manusia darat ke persada santapan," kata Raja Duyung meminta Umang ke persada santapan.
"Ya, terima kasih tuanku Raja Duyung," Umang perlahan-lahan ke meja persada santapan sambil diperhatikan Puteri Duyung yang berada di sisinya. Umang diapit di tengah-tengah.
"Wahai duyung-duyung sekalian, sebelum kita semua bersantap moleklah saya bertitah sepatah dua kata. Ingin saya menjelaskan bahawa hari ini adalah hari yang paling gembira buat saya dan anakanda saya. Barangkali kamu semua tertanya-tanya mengapa saya meraikan dan membawa bersama manusia darat ini ke majlis kita,"
"Janganlah syak wasangka dan gundah gulana pada tetamu saya, Umang ini. Dia manusia darat yang baik dan jujur budi pekerti. Sisir emas warisan turun temurun milik Puteri Duyung sudah pun kembali kepangkuannya. Umanglah yang menemui dan membawa sisir emas kembali ke sini bagi dipersembahkan kepada yang empunya diri,"
"Saya sungguh terhutang budi dan dengan ini saya akan menghadiahkan kepadanya dengan habuan harta karun dan wang emas sebagai ganti. Harapan saya agar Umang menerima hadiah ini dengan senang hati," titah Raja Duyung.
Umang tunduk hormat pada duyung-duyung yang hadir lalu berkata kepada Raja Duyung, "Terima kasih tuanku, saya terima pemberian hadiah itu dengan senang hati."
Raja Duyung menyerahkan kembali sisir emas kepada Puteri Duyung sambil diperhatikan oleh Umang.
"Sekiranya begitu, marilah kita bersantap untuk meraikan bersama kepulangan sisir emas milik Puteri Duyung," kata Raja Duyung yang gembira.

YOU ARE READING
Lagenda Duyung Meraban
UmorismoAlkisah cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Semenanjung Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerja...