Umang baru sedar daripada pengsan. Teritip gembira melihat Umang mulai sedar. Nelayan yang membawa pulang Umang itu turut bergembira apabila melihat perubahan pada diri Umang.
"Nampaknya Umang sudah mula sedar," kata salah seorang nelayan itu.
"Terima kasih kerana menyelamatkan Umang dan membawanya ke rumah. Aku menyangkakan dia sudah mati. Umurnya masih panjang lagi," Teritip segera merapati Umang.
"Umang, syukurlah kamu sudah sedar," Teritip memegang tangan Umang.
"Puteri, di mana kamu puteri. Mengapa kamu tidak ada di sini," Umang menyebut nama Puteri Duyung.
"Puteri mana pula yang disebutkannya itu. Mustahil anak aku berkawan dengan seorang puteri raja," kata Teritip.
"Teritip, anak kamu ini menyebut-nyebut nama puteri. Barangkali dia berkawan anak raja. Wah, beruntung benar kamu Teritip tidak lama lagi kamu menjadi seorang yang kaya raya. Duduk di dalam istana yang serba mewah. Namun, raja mana ya?" kata nelayan yang lain.
"Aku tidak berfikir begitu. Anak aku ini fikirannya terganggu. Janganlah kamu memikirkan yang bukan-bukan," ujar Teritip yang tidak percaya.
"Puteri tolonglah aku, di manakah kamu puteri...." Umang meracau lagi.
"Puteri yang mana satu?" tanya Teritip.
"Puteri Duyung..." jawab Umang.
"Puteri Duyung?" Teritip tergamam.
"Tolong selamatkan Puteri Duyung, dia di dalam bahaya," beritahu Umang.
"Memang benarlah Teritip anak kamu itu fikirannya terganggu. Sekiranya tidak dirawat dengan segera dia boleh menjadi gila," kata seorang nelayan membuatkan Teritip tertunduk.
Dukun Pari adalah orang yang paling gembira sekali kerana berjaya menangkap Putera Duyung. Putera Duyung kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kolam berhampiran pantai. Kolam itu dipagari dengan kayu-kayu bagi menghalang Putera Duyung daripada melarikan diri. Kolam itu seperti sebuah penjara.
"Aku berharap kamu gembira di dalam kolam ini. Aku sangat memerlukan kamu. Aku akan lepaskan kamu sekiranya kamu dapat membantu aku," kata Dukun Pari pada Putera Duyung.
Putera Duyung yang masih lemah itu tidak dapat berbuat apa-apa hanya mendiamkan diri mengenangkan nasib malang yang menimpanya.
"Mengapa nasib aku begitu malang sekali. Aku tidak ada harapan untuk hidup lagi," bisik hati Putera Duyung yang menyesali dirinya.
"Kamu berehatlah sehingga kamu sembuh. Aku akan datang lagi dengan satu permintaan yang harus kamu tunaikan," Dukun Pari tidak sabar-sabar menunggu Putera Duyung itu sihat.
Putera Duyung tidak melayan Dukun Pari yang dianggapnya sungguh berbahaya baginya. Putera Duyung hanya memandang laut luas yang berada di hadapannya. Hatinya resah, teringin sekali pulang ke tempat asalnya.
"Tidak mungkin aku akan dapat kembali ke tempat asalku. Ajalku mungkin di sini. Bagaimana aku dapat melepaskan diri sekiranya aku terkurung sebegini rupa," keluh Putera Duyung.
"Semenjak daripada tadi aku bercakap dengan kamu. Mengapa kamu diam dan tidak bersuara? Apakah kamu ini bisu atau kamu tuli kerana tidak mendengar. Ataupun kamu tidak faham dengan bahasa yang aku tuturkan?" tegur Dukun Pari.
Putera Duyung yang tertekan dengan keadaan itu terus menyimbah air ke arah Dukun Pari dengan menggunakan ekornya. Maka basah kuyuplah Dukun Pari terkena simbahan air dari kolam itu.
"Kurang ajar! Awas kamu, aku tidak akan beri kamu makan selagi kamu tidak tunduk pada aku. Kamu akan mati membusuk di dalam kolam ini!" Dukun Pari naik radang.
Putera Duyung berenang mengelilingi kolam tanda dia membantah. Dia ingin bebas dan merdeka. Dukun Pari beredar meninggalkan kolam.
"Mengapa lambat sangat!" marah Belitong pada Cencaru dan Tamban.
"Aku menolong Dukun Pari," kata Cencaru sambil meletakkan uncang makanan di atas batu. Cencaru duduk di sisi uncang makanan.
"Kamu tidak boleh marah seperti itu, apa yang kami buat adalah untuk kamu juga," kata Tamban.
Belitong berjalan merapati Cencaru dan Tamban dan memegang bahu Tamban.
"Maafkan aku, aku tahu kamu berdua keletihan. Kamu kata kamu menolong Dukun Pari, kamu tolong apa?" Belitong ingin tahu.
"Aku dan Tamban menolong Dukun Pari menangkap duyung," kata Cencaru.
"Duyung?" Belitong seperti tidak percaya.
"Ya duyung. Duyung yang pernah ditemui nelayan Kampung Angin Pasang satu ketika dahulu," tambah Cencaru.
"Cantikkah duyung itu?" Belitong menunjukkan minat.
"Tubuhnya separuh manusia separuh ikan. Cuba kamu bayangkan adakah cantik ataupun tidak? Separuh badan kulitnya seperti kita dan separuh badan lagi bersisik seperti ikan," ujar Tamban.
"Sekiranya seperti itu tidaklah begitu cantik," Belitong cuba membayangkan rupa bentuk duyung itu.
"Bagaimana pula dengan paras wajahnya?" Belitong bertanya lagi.
"Itulah yang kami musykilkan. Apa yang aku bayangkan duyung itu punya rupa paras yang cantik dan menawan. Namun, duyung yang Dukun Pari tangkap itu seperti duyung..."
"Seperti duyung apa?" Belitong mencelah.
"Entahlah, aku sendiri pun tidak tahu hendak menjelaskannya sama ada duyung itu jantan ataupun betina," Tamban tunduk berfikir.
"Apa kamu fikir duyung itu ada jantan dan betina?"
"Kadang-kadang kamu ini dungu juga, dalam dunia ini ada dua perkara sahaja. Jantan dan betina, lelaki dan perempuan, baik dan buruk, cantik dan hodoh, jahat dan baik dan berbagai-bagai-bagai lagi," ujar Cencaru.
"Sekiranya begitu duyung yang kamu lihat itu duyung apa?" Belitong duduk di sebelah Cencaru.
"Aku fikir duyung itu duyung jantan," kata Cencaru.
"Selepas makan aku hendak pergi berjumpa Dukun Pari," kata Belitong pada Cencaru dan Tamban.
Seketika kemudian, Belitong menemui Dukun Pari.
"Aku dengar kamu ada menangkap duyung, benarkah begitu?" tanya Belitong kepada Dukun Pari.
"Ya, memang benar. Tetapi jangan sampai orang lain tahu. Itu rahsia kita," jawab Dukun Pari.
"Aku ingin melihatnya dan di manakah duyung itu?" desak Belitong.
Dukun Pari membawa Belitong ke kolam untuk menunjukkan duyung yang ditangkapnya itu. Tiba sahaja di kolam itu, Belitong terpaku melihat Putera Duyung.
Ketika itu Putera Duyung termenung sambil memandang ke laut. Putera Duyung tidak menghiraukan kehadiran Dukun Pari dan Belitong. Belitong masih terpaku melihat Putera Duyung yang tidak terjangkau di dalam fikirannya.
"Kamu masih tidak percaya?" tanya Dukun Pari yang tersenyum melihat Belitong terlopong.
"Apakah itu duyung?"
"Ya, itulah duyung. Duyung yang pernah aku katakan dahulu dan kini sudah ada di hadapan mata kita. Kamu masih ingatkah apa janji aku dahulu? Air mata duyung boleh mengubati mata kamu dan mengubati pelbagai penyakit," ujar Dukun Pari.
"Aku masih ingat lagi, namun aku tidak menyangka duyung sememangnya wujud. Benarlah kata Cencaru dan Tamban, separuh manusia separuh ikan," kata Belitong.
"Sudahlah yang penting aku sudah memperoleh duyung itu,"
Dukun Pari menepuk bahu Belitong.
Putera Duyung menoleh dan memandang ke arah Belitong. Belitong tergamam melihat wajah Putera Duyung itu lalu jatuh pengsan. Dukun Pari terkejut Belitong jatuh pengsan.
"Pengsan? Gagah dan bengis tetapi lembik apabila melihat duyung," keluh Dukun Pari sambil menggelengkan kepala.
Dukun Pari berdiri lalu pergi dan membiarkan Belitong di tepi kolam.

YOU ARE READING
Lagenda Duyung Meraban
HumorAlkisah cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Semenanjung Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerja...