Tempoh pengantara sebelum masuk guru mata pelajaran seterusnya selalu menyaksikan keadaan kelas tunggang-langgang dan huru-hara. Tahap bising usah cerita. Mengalahkan lori jual tilam. Yang lelaki sempat bermain tindih pemadam atau tepuk batang aiskrim. Siap bersila di atas lantai. Ada yang lebih berani bermain sepak yem. Yang perempuan pula sama ada bermain batu seremban jahitan sendiri atau saling bertepuk tangan sambil menyanyi, "Ola Oli ku beri nama, saudara saudari cikebum cikebum."
Sebilangan besar guru suka menyerang hendap dari pintu belakang. Barangkali lebih mudah mengenal pasti murid-murid bising. Memandangkan aku duduk betul-betul bersebelahan pintu belakang bilik darjah, aku tidak berani mengambil risiko. Sewaktu ketiadaan guru pun, aku kekal diam duduk di kerusi penuh berdisiplin tanpa bersuara. Jadi, aku cukup tidak bersetuju dengan konsep hukuman 'pukul rata' yang diguna pakai sebilangan guru.
Jika kelas didapati riuh kecoh, semua pelajar didenda termasuk yang tidak membuat bising. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Adakah patut? Atas dasar tidak berpuas hati, aku pernah cuba bersuara. Hasilnya, dua libasan rotan aku terima. Satu kerana kelas bising. Satu lagi kerana berani menjawab. Ternyata, kebaikan tiada nilai. Itu mesej yang aku tangkap semenjak pulang ke Malaysia di samping 'the teacher is always right'. Jangan haraplah nak kumpul gold star.
YOU ARE READING
(TEASER) Budak Meja Belakang - Shah Ibrahim
Não Ficção"Catatan pengalaman penulis ini membawa kita mengimbau kembali zaman persekolahan yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Mereka yang membesar dalam era 80-an dan 90-an pastinya akan sering kali tersenyum dan mengangguk sendirian sambil membaca buku...