Bab 6

59 5 0
                                    

Bab 6

SELESAI mengemas meja yang digunakan untuk bersarapan tadi, Kara masuk ke bilik stor yang terletak di tingkat atas rumah, di sudut paling hujung. Pintu ditolak. Habuk yang berterbangan di dalam bilik itu menyambut Kara.

Kara terbatuk-batuk kecil sambil sebelah tangan dikipas-kipas di depan mata. Dia berdiri di tengah-tengah bilik itu, mata meliar ke sekeliling mencari barang yang diperlukan. Dulu waktu sekolah pernahlah sekali dia sertai aktiviti perkhemahan. Itu pun selepas berhari-hari merajuk dengan daddy sebab awalnya daddy tak bagi izin. Mungkin ada beberapa barang yang masih elok dan boleh dia bawa untuk ke Hutan Pohon Rinan nanti.

Terpandangkan sebuah beg camp tent yang terletak di atas almari, bibir Kara menarik satu senyuman. Dia berpijak pada sebuah kerusi kayu untuk mengambil beg itu dan meletakkannya di atas lantai. Dia duduk berlutut di tepi beg dan mula menyelongkar isi di dalamnnya.
“Kara?”

Kara tersentak dengan panggilan itu. Dia mendongak ke pintu. Belum sempat dia simpan semula beg itu, pintu yang tidak terkatup rapat itu ditolak dari luar dan daddy muncul.

Kara tersenyum kelat memandang daddy. “Daddy…”

Rafat menapak masuk ke dalam. Raut wajahnya sukar untuk Kara baca, jadi dia cuma duduk diam di tempatnya dan menunggu sehingga daddy mula bersuara.

“Kara buat apa kat dalam ni?” tanya Rafat. Anak matanya jatuh pada beg di depan Kara.

“Hmm…” Kara menggumam perlahan, mencari alasan.
Rafat mengeluh berat. Kara tak perlu beritahu pun dia sudah dapat baca. “Kara…”

“Kita orang bukan nak pergi Rinan.” Laju alasan itu keluar dari mulut Kara.

Rafat tak jadi teruskan bebelan. “Habis?”

“Sungai Kanching, Rawang.” Laju juga dua baris perkataan itu keluar dari mulut. Kara mengetap bibir. Sejak bila pandai menipu daddy ni?
Rafat melepaskan nafas lega. Tiada lagi riak marah yang terlukis pada wajahnya. “Okeylah kalau macam tu.”

Kara angkat kening. Hairan. Jadi daddy izinkan dia pergi berkhemah di dalam mana-mana hutan, asalkan bukan Rinan?

“Daddy izinkan Kara pergi?” tanya Kara inginkan kepastian.

Rafat mengangguk dengan berat hati. “Ikutkan hati memang daddy tak bagi, tapi daddy sedar yang anak daddy ni dah besar. At some point, daddy kenalah beri izin untuk Kara buat apa yang Kara nak.”
Kara tersenyum.

“Cuma bukan di Rinan,” tambah Rafat.

“Kenapa dengan Rinan, daddy?” Sempat Kara menyoal sebelum daddy berlalu semula ke arah pintu.

Rafat berhenti melangkah. Nafas panjang dilepaskan mendengar soalan itu. Riak wajahnya dikawal sebelum perlahan-lahan dia berpaling memandang anak perempuannya.

“Kenapa dengan Rinan?” Rafat menyoal semula.

“Yalah, daddy tak bagi Kara masuk Rinan. Ada yang tak kena ke dengan hutan tu?” tanya Kara teragak-agak. Janganlah daddy melenting lagi, doanya dalam hati.

“Daddy ada banyak dengar cerita tak sedap pasal hutan tu. Itu saja,” jawab Rafat berdalih.
Kara diam memerhati wajah daddy. Tenang, tapi dia tahu daddy ada sembunyikan sesuatu. Tapi apa? Apa yang pelik sangat tentang Rinan sampai daddy betul-betul tak mahu dia pergi ke sana? Takkan ada serigala jadian kut kat dalam tu?

“Kalau Kara ada perlukan apa-apa, panggil aje daddy. Daddy kat bawah,” ujar Rafat sebelum cepat-cepat keluar dari bilik stor itu.
Kara hanya mengangguk. Dia menunduk semula. Apa yang daddy cuba sembunyikan sebenarnya? Kenapa orang tua rakan-rakan sekelasnya yang lain tak ada masalah dengan Rinan, tapi daddy seboleh mungkin tak mahu dia dekat dengan kawasan hutan itu?

Kanvas (formerly Ed's Sketches)Where stories live. Discover now