Rumput yang kian memanjang dikuis-kuis ketepi. Lapang hatinya melihat tanah itu kembali bersih. Air mawar disiram ke bumi untuk membasahi tanah yang sudah mengering. Tangannya diangkat menadah langit. Sesekali terdengar bisikan halus tangisan di mulutnya. Cepat-cepat Irham menyeka pergi permata jernih yang hampir mengalir di pipi.
" Saya disini sihat saja. Saya harap awak pun baik dekat sana. Saya minta maaf atas kesilapan saya. Nanti kita jumpa lagi ya?" Irham tersenyum sendiri.Lega hatinya melepas rindu yang sudah lama terpendam. Namun disebalik senyuman yang terukir, dia masih tidak dapat menyembunyikan rentak hati bersenandung sayu. Kesilapan lalu menyedarkan dirinya yang penuh dengan khilaf. Titik dosa yang sebelum ini tidak menemui pangkal hujungnya tampak semakin bersinar.
Benarlah kata orang, kehilangan orang tersayang saja yang mampu mengubah diri seseorang dan Irham turut tidak terkecuali.
"Aku nikahkan dikau dengan Saffiyah binti Abdullah dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai"
Irham lancar menyambut lafaz akad. Selesai sahaja disahkan, Irham memandang wajah gadis dibelakangnya yang kini menjadi insan pemilik separuh hati. Tetap cantik seperti selalu. Irham lega. Sekurang-kurangnya dia dapat menebus silapnya.
"Awak nak pergi mana? Saya boleh bawakan" Irham memandang wajah isterinya yang termenung jauh. Tersentak gadis itu seketika.
"Awak ingat tak travel wish saya? Yang pernah kita plan sebelum ni?" Bersinar-sinar mata Saffiyah mengharapkan suaminya teringat tentang plan itu.
"Ingat tapi mana boleh kita buat road tour sekarang ni. Nanti awak penat. Only holiday not travelling." Irham menggerak-gerakkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan sebagai tanda tidak.
"Alah, awak sendiri tahu kan perkataan holiday is never dalam kamus hidup Saffiyah binti Abdullah. Please..." Saffiyah sengaja menyinarkan lagi matanya dengan harapan keluar cahaya spotlight terus menusuk ke hati sang suami.
Irham seakan terganggu dengan pandangan dari Saffiyah dan terus mengangguk setuju. Bukan main gembira lagi Saffiyah hingga tertumbuk suami sendiri ketika melepaskan tumbukan kegembiraan ke udara.
"Tapi..." Irham bersuara tiba-tiba.