ADIYA hanya berdiri tegak, memerhati lagak dua tetamu yang tak diundang ke rumahnya dengan rasa hati yang berkocak.
"Rumah ni akan jadi milik Ziyaad. Jadi, I harap you pindah cepat." Suara Datin Marina menampar telinga Adiya. Sejak dulu, wanita ini memang terbiasa ber I, you saja. Nak sebut nama atau bahasakan diri mama, memang kirim salam lah.
Si empunya badan yang bernama Ziyaad nampak angkuh berdiri sambil berpeluk tubuh.
Dua manusia ini, bukan orang lain buat Adiya. Datin Marina itu bekas mertuanya dan Ziyaad itu bekas adik iparnya.
"Lepas ni I tak nak keluarga I ada apa-apa hubungan lagi dengan you." Sambung Datin Marina lagi.
"So, boleh tak PINDAH esok?" Manusia yang membisu sejak tiba tadi tiba-tiba bersuara menekankan perkataan pindah. Angkuh sekali nada suaranya menyoal Adiya.
Namun, Adiya tetap diam. Saat ini, bercakap tidak akan mengubah keadaan. Pindah memang jalan terbaik. Tapi, esok itu terlalu singkat tempohnya buat dia.
Tiba-tiba Ziyaad datang mendekat. Bisunya wanita di depannya buat dia rasa tercabar. Dia paling pantang kalau bercakap tapi orang tak layan.
"You nak terus tinggal di rumah ni ke?"
Kali ini bicara Ziyaad mampu memanggil mata Adiya untuk fokus padanya.
Dan Ziyaad senyum. Senyuman yang Adiya tidak tahu apa maksudnya.
"You boleh terus tinggal di sini kalau nak. Tapi dengan syarat, jadi perempuan simpanan I." Senyuman Ziyaad berubah menjadi sinis.
Datin Marina terus berkalih pandang ke arah anak bujangnya. Mata membulat, terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari bibir Ziyaad. Tapi, apabila melihat wajah si anak yang sinis, dia mengukir senyum.
"Teruknya selera Yaad!" Pura-pura terkejut dengan mata dijulingkan ke atas.
"Kalau jadi orang gaji tu logik la juga...." Datin Marina pandang Adiya atas bawah sebelum tergelak jahat. Terbayang kalau Adiya pakai pakaian orang gaji seperti di banglo mewahnya.
Oh! Tak tahu kenapa, Adiya rasa gelak jahat itu memberi aura jahat pada hatinya. Ada yang menghasut agar dia menjadi jahat juga.
Sabar Diya... sabar!
"Pindah cepat!" Ayat putus Datin Marina sebelum memberi isyarat pada si anak untuk pergi.
Datin Marina sudah melangkah tetapi Ziyaad masih tegak di situ, memandang wajah Adiya yang masih nampak tenang.
Tiba-tiba, Ziyaad melangkah makin mendekat buatkan Adiya berundur ke belakang. Kemudian, langkah Ziyaad bergerak mengelilingi tubuh Adiya yang sedang tegak berdiri sebelum berhenti betul-betul secara berdepan.
"Nak pindah atau nak jadi perempuan simpanan I?" Ziyaad sengaja keluarkan soalan menduga yang menyakitkan. Kening diangkat sebelah. Mata memandang Adiya mencari reaksi.
"Tak takut I kikis harta you ke?" Adiya balas dengan soalan mencabar.
Dan tiba-tiba Ziyaad ketawa kuat.
"Satu yang you perlu ingat." Ziyaad bersuara dihujung tawanya. Kemudian, badan dibongkokkan sedikit agar wajahnya setara dengan wajah Adiya.
"I. Tak. Bodoh." Satu-satu perkataan tersebut keluar dari bibirnya.
"Orang gila takkan mengaku dirinya gila. Orang bodoh takkan sedar dirinya bodoh sehingga dia jumpa dengan orang yang lebih pandai. Dan you nak tahu tak, apa makna bodoh yang sebenar?"
Ziyaad terus terdiam mendengar petah bicara Adiya. Terkejut kerana Adiya yang dia sangka 'bisu' sejak tadi pandai pula berkata-kata.
"Orang yang sombong dan menganggap dirinya hebat dengan apa yang dimiliki, itulah bodoh yang sebenar."
Terdiam lagi Ziyaad dengan kata-kata Adiya. Dia bagai hilang perkataan untuk membalas.
"I akan pastikan, you takkan dapat satu sen pun harta keluarga kami." Ayat terakhir Ziyaad luahkan sebelum berlalu pergi
Adiya hanya memandang kosong langkah Ziyaad.
"Abang nak Diya jaga rumah kita ni elok-elok walau mungkin masa tu abang dah tak ada. Abang beli rumah ni khas untuk Diya dan anak-anak abang nanti." Teringat kata-kata Akif, air mata Adiya bergenang.
Bagaimana dia mahu tinggalkan rumah ini jika yang membelinya meninggalkan pesanan yang sebegitu?
YOU ARE READING
AKU SANGGUP
RomanceHidup ini ujian. Dan ujian paling hebat buat Adiya adalah ketika kehilangan suami di hari pertama bergelar isteri. Dia redha. Tapi, munculnya Ziyaad dengan tiba-tiba, buat redhanya hanyut. Bagaimana dia boleh lupakan Akif jika Ziyaad sering buatkan...