kau cantik

38 1 0
                                    

. Aku ada kawan baik. Nama dia Ika & aku Hani. Kitorang tak duduk sebilik. Ika di tingkat 2 dan aku di tingkat 1. Hostel kitorang 4 tingkat. Tapi yang berpenghuni cuma sampai tingkat 3. Roommate aku ada 2 orang, (Kak Siti & Zana). Roommate Ika pula Fiza & Emy.

Okay, faham kan? So, tak adalah kes keliru bila aku sebut nama-nama dorang tu nanti. Ceritanya jadi time final exam. Ika ni budak account & aku pula ekonomi. Lain-lain course tapi kitorang berdua satu kepala. Kalau tak bergegar bilik dengan suara kitorang tu maknanya salah seorang tak adalah tu. Tak cukup korum orang kata. Pada hari kejadian tu, Ika baru habis paper account dan aku pula petang tu tak ada paper. So, macam biasalah, student bila habis exam mesti pulun tidur. Sama la kesnya macam Ika.

Maghrib tu, aku dengan roommate aku baru je lepas solat. Niat tu nak tadarus sementara tunggu waktu isyak. Tapi tak sempat mula pun lagi pintu bilik kitorang kena ketuk dan ada orang bagi salam. Kebetulan Zana, roommate aku tu yang paling dekat dengan pintu, jadi dia yang buka pintu. Rupanya Fiza, roommate Si Ika. “Kak Siti, Kak Hani, tolong tengokkan Kak Ika. Dia lain macam la”, kata Si Fiza. Fiza ni muda setahun dari aku dan Ika. “Kak Ika kenapa?”, soal aku. Fiza tu cuma angkat bahu. “Entahlah akak. Dia tiba-tiba macam lena sampuk”, bagitahu Fiza tu lagi. Aku terus pandang Kak Siti. Satu hal yang aku respect Kak Siti ni, letak lah situasi apa pun, dia punya relaks tu, Allah je yang tahu.

“Hani pegi bagitahu Akilah dulu. Minta dia call Pak Idris”. Aku angguk dan tak tunggu lagi terus berlari pergi ke bilik Akilah (ketua aspuri). Fiza ikut belakang aku. Lepas bagitahu apa yang patut, aku patah balik bilik aku. Time tu aku tengok Kak Siti dah pegang bekas Tupperware yang berisi garam kasar bercampur dengan lada hitam. Bahan tu, pak Idris yang bagi untuk kak siti standby kalau-kalau ada kes kecemasan macam kes Ika ni. Satu hal lagi, Kak Siti ni orang kuat agama. Solat tak pernah tinggal. Dan dia ada belajar rawatan Islam. Tu sebab pak Idris bagi kepercayaan dekat dia.

Okay, balik pada cerita aku. Kak Siti ni dengan telekung yang masih belum buka dia dah sarung selipar nak pegi ke bilik Ika. “Akak, nak ikut!”, secepat mungkin aku mengekori Kak Siti. Tapi Kak Siti ni tak bagi aku ikut. Dia suruh aku tunggu dekat bilik dengan Zana. Zana roommate aku ni memang takkan join benda-benda macam ni. Dia tak berani. Tapi aku ni degil. Tetap nak juga ikut. Aku suruh Si Fiza tu temankan Zana. Kak Siti memang dah tak boleh nak cakap apa dah. Tapi sempat juga dia pesan dekat aku sebelum kitorang masuk bilik Ika tu. “Ayat kursi jangan tinggal. Jangan dekat dengan Ika”, dia pesan. Aku cepat je angguk kepala. Yang penting aku dapat ikut.

Masa aku masuk dalam bilik Ika, aku tengok dia tengah duduk dekat atas katil sambil peluk lutut. Roommate dia Emy dah tunggu dekat luar bilik. Aku masuk lepas Kak Siti masuk. Kak Siti duduk tak jauh dari Ika. Aku dengan Emy duduk dekat katil lain. Aku tengok Ika cuba nak lari dari Kak Siti. Dia tengok je muka aku. Kak Siti yang perasan gerak geri Ika tu, terus hulur bekas garam dan lada hitam tu sambil ingatkan aku untuk terus baca ayat kursi.

Kak Siti tu cuba sentuh tangan Ika. Tapi Ika tu tiba-tiba menjerit. “Kau ni panaslah!”, dia cakap. Emy yang sebelah aku tu spontan capai beberapa ketul garam dan lada hitam tu. Tak lama lepas tu, Akilah pun sampai. Dia bagitahu yang pak Idris dalam perjalanan. Lepas je Akilah cakap macam tu, Ika terus bangun dan nak lari. Mujur juga Akilah tu pantas tutup pintu. Kak Siti terus pegang tangan Ika. Aku pun tak duduk diam, terus buka langkah menolong apa yang patut. Ika masa tu meronta sehabis tenaga. Sampaikan aku yang pegang kaki dia pun hampir-hampir nak tersungkur. Dan dalam masa yang sama, Kak siti tak biarkan saja. Banyak surah yang Kak siti baca sampaikan Ika tu merayu minta kami lepaskan.

“Hani tolong aku… Sakitlah badan aku”.
“Hani aku sakit… Tolong aku”.
“Hani, Kau tak kesian kan aku ke?”

Berulang-ulang dia sebut nama aku. Merayu-rayu siap menangis lagi. Sampaikan aku tak sampai hati tengok kawan baik aku macam tu. Tapi Kak Siti tak bagi peluang langsung. Dia cakap jangan terpedaya. Aku dah pandang muka Emy.

Dan tiba-tiba Ika menerpa sekali lagi k earah pintu. Dia cakap dia sakit perut nak buang air. Kelakar, memang kelakar masa tu. Sebab masing-masing dah tergolek dek penangan Ika. Cuma nasib baik Akilah bersiaga jaga pintu dari awal. Rupanya baru aku faham. Ika cuma bagi alasan sakit perut sebab dia nak lari dari pak Idris. Benda-benda halus ni memang tahu lebih dari kita.

Sebelum pak Idris tolong rawat Ika, dia minta kami sempurnakan dulu aurat Ika. Kitorang ikut je arahan. Waktu aku nak pakaikan Ika tracksuit, dia mengilai sekuat hati sambil cakap, “aku suka orang cantik! Kau cantik, tapi bodoh!”. Dia tunjuk jari pada Akilah. Lepas tu dia pandang Kak siti. “Kau pun cantik, tapi bodoh!”, ujar Ika dan muka dia marah sangat. Lepas tu dia pandang aku dengan Emy. Sekali lagi dia mengilai. “Hani, kau cantik. Aku suka kau. Tapi kenapa kau biar aku sakit”. Time ni aku dah tak rasa kesian tapi aku jadi takut. Aku tahu bukan Ika yang cakap macam tu tapi makhluk halus tu. Dia kemudian toleh pada Emy dan jerit, “Aku tak suka kau. Kau tak cantik!!!”.

Bila pak Idris masuk, Ika terus diam. Dia buat gaya paling baik. Akilah dengan Emy dah bersedia dekat pintu. Kak Siti sebelah kanan dan aku sebelah kiri. Pak Idris baca beberapa potongan ayat pada air dan sembur pada Ika. Menjerit sekejap dia. “Kau dari mana? Kenapa kacau budak ni?”, soal pak Idris. “Dari bilik air. Aku suka dia, dia cantik. Diorang bising dekat tempat aku!!!!”, jawab Ika. Dipendekkan cerita. Rawatan histeria macam biasa. Sampailah selesai semuanya. Dan lepas tu pak Idris minta kami buat bacaan yassin sebelum tidur dalam bilik Ika.

Ika kitorang tak biarkan dia tidur di bilik tu. Dia dan roommate dia semuanya menumpang di bilik aku. Cumanya, kesan dari gangguan tu masih ada. Aku yang sihat tiba-tiba terasa sengal-sengal di jari kaki kiri. Cepat-cepat aku bagitahu Kak siti. Dan Kak siti terus minta aku ambil wudhuk. Dan Ika, dia tak sedar apa yang jadi. Cuma apa yang dia ingat, sebelum maghrib dia ke bilik air untuk ambil wudhuk sebab dia dah lewat untuk solat asar. Waktu dalam bilik air, memang ada sekumpulan pelajar sedang mandi dan mencuci pakaian. Dan keadaan didalam bilik air masa tu memang bising. Menurut kata Ika lagi, sewaktu dia berjalan untuk balik ke bilik dia terasa seperti ada sesuatu yang mencuit cuping telinganya dan sekelip mata dia terasa ada seseorang menolaknya dari belakang hingga dia jatuh terduduk. Dan selepas tu dia tak ingat apa-apa.

Cerita Seram★Where stories live. Discover now