Bahagian lima

1.4K 93 1
                                    

Ketika Mahsuri dan Fatma tiba di masjid, sudah ramai yang berada di situ. Sebaik sahaja ternampak kelibat mereka, Tuan Guru Nik Muhamad memberi isyarat supaya Mahsuri segera mengambil tempat di hadapan jemaah perempuan.

Masjid itu dibina dengan sangat ringkas. Lebih menyerupai sebuah balai. Hanya tiang, bumbung atap nipah dan tidak berdinding. Namun begitu, peranan yang dimainkan oleh masjid itu sangat besar.

Tidak lama kemudian, mereka juga disusuli dengan para pemuda dan pemudi yang sibuk berlatih tadi.

Tuan Guru Nik Muhammad duduk di bahagian hadapan masjid. Di atas tempat yang sedikit tinggi untuk menyampaikan khutbah pada hari Jumaat. Terdapat beberapa orang pemuda di sisinya.

Tanpa berucap panjang, Tuan Guru terus kepada intipati utama. “Saudara kita Andak yang membuat tinjauan di Kuala Kedah, telah pun kembali ke Chempaka. Mohon Andak sampaikan laporan apakah yang telah terjadi di sana.”

Pandangan semua orang beralih kepada Andak yang duduk di sisi tuan guru.

Pemuda itu tegap dan tinggi lampai. Kulitnya hitam terbakar dek banyak menghabiskan masa di laut, sama seperti kebanyakan lelaki di situ. Sungguhpun begitu pandangannya sangat tajam, sesuai dengan tugas sebagai perisik.

“Terima kasih guru." Andak membetulkan duduk. Tiada segaris senyum di wajah. "Saudaraku penduduk kampung Chempaka. Dukacita dimaklumkan, tentera Sultan telah pun tewas di Kuala Kedah. Kini Siam sedang meluaskan lagi jajahan takluk mereka.”

Kata-kata itu ibarat mata pedang menusuk dada Mahsuri. Namun begitu, Mahsuri tetap berdiam diri, menanti ulasan Tuan Guru.

Seakan memahami apa yang sedang bermain di fikiran Mahsuri, Tuan Guru Nik Muhamad bertanya lagi, “Ada sebarang khabar berkenaan suami saudara kita yang bernama Wan Derus?”

Andak menggeleng. “Mohon maaf tuan guru. Tiada yang saya kenali bernama Wan Derus. Sama ada yang terkorban atau pun terselamat. Namun begitu, ramai juga daripada tentera Sultan yang dapat melarikan diri. Ada yang turun sehingga ke Perai. Tidak kurang juga yang lari sehingga ke Langkawi dan pulau sekitarnya.”

Nama ‘Langkawi’ seakan memberikan sedikit sinar kepada Mahsuri. Dia tidak dapat menyembunyikan wajah gembira sehingga pipinya bertukar kemerahan.

Tuan Guru Nik Muhamad mengerling ke arah Mahsuri dan berkata, “Harapnya suami anak terselamat dan dapat kembali ke Langkawi.”

Belum sempat Mahsuri membalas kata, Andak menyampuk secara tiba-tiba, “Sebut berkenaan Langkawi, pihak Siam sedang menyediakan kapal untuk membawa tentera melanggar Langkawi dan pulau sekitar. Dijangkakan mereka akan tiba ke Langkawi dalam tempoh dua minggu lagi.”

Kali ini Mahsuri kehilangan warna di wajah. Bait sumpahan yang pernah diucap seperti terngiang-ngiang di telinga. Benarlah doa orang teraniaya akan dimakbulkan tuhan. Namun sumpahan yang dilafaz tatkala dikuasai amarah, hanya menimbulkan kekesalan di dalam hati.

Kembali ke pondoknya, Mahsuri menunaikan solat taubat. Sujudnya panjang. Terlalu lama sehingga sejadah pengalas, basah seperti boleh diperah.

"Tuhan, selamatkan keluarga hambaMu ini. Jauhkan penduduk Langkawi daripada mala petaka!"

MahsuriWhere stories live. Discover now