Bahagian tujuh

1.3K 90 2
                                    

Setelah seharian menangis, Mahsuri akhirnya telah bertekad. Langkah diatur menuju ke masjid. Mata yang bengkak, langsung tidak dipeduli. Dia segera mencari Tuan Guru Nik Muhamad.

Lelaki tua itu sedang memeriksa gerak tempur pemuda Chempaka, ketika Mahsuri datang bertemankan Fatma. Hasrat yang terbuku, segera disampaikan. Permintaan Mahsuri itu membuatkan Tuan Guru berfikir panjang sambil mengurut janggut putih yang panjang sehingga ke dada.

Soal Tuan Guru, “Adakah anak benar-benar pasti dengan pilihan yang anak buat? Malahan anak sendiri tidak punya pengalaman menghayun senjata. Usah bimbangkan keluargamu di Langkawi. Ayahanda telah aturkan orang untuk ke sana menentang Siam. Anak boleh menanti di sini, jauh dari bahaya.”

“Maafkan saya ayahanda guru. Saya tidak betah untuk menanti sahaja sedangkan saya mengetahui keluarga saya di sana dalam keadaan bahaya. Mohon berikan kebenaran untuk saya menjalani latihan senjata dan seterusnya menyertai angkatan ke Langkawi.”

Mahsuri yang berdiri di hadapan Tuan Guru itu bukanlah seperti Mahsuri di hari pertama tiba di situ. Air matanya tidak putus mengalir. Bersulam di antara meratap nasib diri dan merindui anak yang ditinggalkan. Mahsuri hari pertama itu mempunyai semangat yang rapuh. Entah berapa kali dia tidak sedarkan diri dek kesedihan yang teramat sangat.

Namun begitu, perlahan-lahan Mahsuri dipimpin keluar daripada kemuraman. Mahsuri disibukkan dengan kelas pengajian dan ibadah yang sesekali diselitkan majlis qasidah sebagai hiburan. Mahsuri yang berdiri di hadapan Tuan Guru punya sepasang mata dengan keazaman yang menyala-nyala.

Lantas Tuan Guru berpaling ke arah Fatma dan berpesan, “Bawalah Mahsuri bertemu Nur Aisyah di pusat latihan. Biarlah Nur Aisyah yang menentukan apakah latihan yang perlu dijalani oleh Mahsuri. Harapnya, apabila sampai waktu untuk bertolak ke Langkawi, Mahsuri sudah pun bersedia secara lahir dan batin.”

“Terima kasih ayahanda guru!”
+++
Nur Aisyah merupakan anak bongsu Tuan Guru. Wajah dan tingkahnya lembut serta sopan-santun. Namun apabila dia menyarung seragam hitam pasukan pemanah, dia bertukar menjadi seekor singa yang garang.

Ketika pesanan Tuan Guru disampaikan kepadanya, Nur Aisyah memerhati Mahsuri atas bawah. Soalnya, "Kita akan bergerak ke Langkawi dalam tempoh yang tidak panjang. Jika kakak mahu sertai latihan senjata, kakak harus berlatih lebih daripada orang lain."

Balas Mahsuri, "Kakak sanggup."

"Oleh sebab kakak memang tidak pernah belajar silat, saya cadangkan kakak menjadi pemanah. Kakak tidak perlu bertempur berhadapan. Kakak boleh menjadi barisan belakang." Isyarat diberikan kepada salah seorang pelatih di situ untuk menghulurkan busur serta anak panah.

Latihan dimulakan serta-merta. Nur Aisyah menunjukkan cara memegang busur dengan betul. "Kita akan bermula dengan memanah cara berdiri, duduk, berlari dan seterusnya memanah ke belakang."

Mahsuri dibawa ke lapangan sasar. "Memanah cara berdiri, ada tiga keadaan. Pertama, saya akan tunjukkan memanah dengan bahu mengiring. Selepas itu memanah secara bertentangan."

"Apa yang ketiga?"

"Kita akan memanah dalam keadaan di antara mengiring dan berhadapan. Ketika perang, kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku. Oleh sebab itu kita perlu berlatih memanah dalam semua keadaan."

"Betulkan kedudukan kaki dan tangan. Tarik anak panah dan tumpukan pada sasaran." Mahsuri melakukan seperti yang diarahkan oleh Nur Aisyah. "Lepaskan anak panah!"

'Dupp!!' Panahan pertama mengenai sasaran, tetapi kurang tepat.

"Bagus sekali untuk cubaan pertama! Teruskan lagi berlatih."

Mahsuri terus membidik. Setelah mahir memanah dalam keadaan berdiri, Nur Aisyah mengajar Mahsuri untuk memanah dalam keadaan duduk pula. Mahsuri hanya berhenti untuk makan tengahari dan solat. Selepas itu, dia menyambung latihan.

Menjelang petang, Mahsuri sudah boleh memanah sambil berlari.

Bisik Nur Aisya kepada Fatma, "Kakak Mahsuri itu betul-betul bersungguh. Pagi tadi dia datang kosong. Lihatlah sekarang, dia boleh memanah dalam apa jua keadaan. Hanya tinggal belajar berkuda."

Balas Fatma, "Kalau saya ada orang yang perlu diselamatkan, mungkin saya juga boleh menjadi seperti Kak Mahsuri."

"Tidak mengapa, herba-herba kamu juga mampu selamatkan ramai orang."

+++
Malam itu, pengajian Kitab Al-Hikam di masjid terhenti dengan kemunculan Andak secara tiba-tiba. Setelah memastikan Andak dapat menenangkan diri, Tuan Guru Nik Muhamad bertanya, “Apakah yang menyebabkan anak muncul secara buru-buru ke sini?”

“Mohon ampun tuan guru. Saya baru sahaja mendapat maklumat terbaru dari Kuala Kedah. Persiapan tentera Siam ke Langkawi telah pun selesai. Mereka akan berangkat ke sana dua hari lagi. Bukan seperti tempoh yang kita anggarkan sebelum ini. Angkatan yang dihantar tidak sampai seribu, tetapi cukup besar untuk menawan Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya.”

Pertama kali anak-anak murid Tuan Guru Nik Muhamad melihat wajah guru mereka yang sentiasa tenang, bertukar serius. Kitab Al-Hikam yang masih terbuka ditutup perlahan. Tuan Guru memperbetulkan duduk dan memberi arahan, “Kumpulkan kesemua pahlawan kita. Siapkan kapal dan perbekalan. Kita akan berangkat ke Langkawi dengan segera!”

“Baik, guru!”

MahsuriWhere stories live. Discover now